Selasa, 18 Januari 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan

Oleh Teo Kok Siong

Rakyat perlu yakin bahasa kebangsaan mampu sampaikan ilmu


SESI persekolahan 2011 bagi semua pelajar Tahun Satu menandakan berakhirnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Mulai tahun ini, yakni setahun lebih awal daripada 2012 yang diumumkan, semua pelajar Tahun Satu akan mempelajari dua mata pelajaran ini dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan. Di sekolah vernakular, Sains dan Matematik akan diajar kepada pelajar Tahun Satu dalam bahasa etnik masing-masing, iaitu bahasa Mandarin atau Tamil.

Kebalikan ini berlaku selepas PPSMI berlangsung selama tujuh tahun sejak pertama kali diperkenal pada 2003. Walau bagaimanapun, pemansuhan PPSMI yang diumumkan pada Julai 2009, tidak disambut baik sesetengah pihak, khususnya golongan elit yang tidak yakin kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan bangsa dan negara Malaysia.

Golongan ini mahu diberi pilihan untuk anak mereka supaya dapat terus mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Mereka mahu keistimewaan ini diberikan dan membandingkan penggunaan bahasa Inggeris di beberapa sekolah yang akan dipilih khas, dengan sekolah vernakular yang diberi kebenaran untuk mengendalikan dua mata pelajaran itu dalam bahasa etnik masing-masing.

Penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil dalam konteks ini, hendaklah dilihat sebagai bahasa ibunda kepada sektor bukan Melayu dalam kependudukan Malaysia. Sehubungan ini, sesetengah pihak mempercayai penggunaan bahasa ibunda adalah kaedah terbaik untuk tujuan pendidikan, khususnya pada peringkat awal. Ini antaranya kerana pelajar didapati lebih mudah mengikuti pelajaran dalam bahasa yang mereka ketahui, lebih-lebih lagi yang dituturkan sebagai bahasa ibunda, apabila menjejak kaki ke sekolah. Dalil penggunaan bahasa ibunda ini ikut digunakan oleh orang Melayu yang mahu dua mata pelajaran ini diajar semula dalam bahasa Melayu.

Alasan ini ada rasionalnya walaupun tidak selalunya benar. Ini dapat dilihat pada pelajar bukan Melayu yang belajar di sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Sebilangan mereka didapati berjaya mengikuti pelajaran yang disampaikan dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Ramai juga yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, sedangkan bahasa Melayu bukan pun bahasa ibunda mereka. Tambahan pula, sesetengah mereka ini tidak pernah pun didedahkan kepada bahasa Melayu ketika zaman prasekolah.

Begitu juga halnya dengan pelajar Melayu dan pelajar lain di sekolah vernakular Cina. Sesetengah mereka mampu meraihkan kejayaan luar biasa, sehingga berjaya mengatasi prestasi pelajar Cina yang bertutur dalam bahasa Mandarin, sesetengahnya sejak dari kecil lagi sebagai bahasa ibunda. Dalam kes ini, bahasa Mandarin bukan pun bahasa ibunda pelajar bukan Cina ini, dan rata-ratanya tidak pernah mempelajarinya secara formal sebelum memasuki sekolah.

Sebagai bahasa negara yakni bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa semua rakyat Malaysia. Ia mewakili seluruh negara dan setiap seorang rakyat Malaysia, sama ada yang Melayu mahupun bukan Melayu. Dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah simbol negara. Statusnya sebagai bahasa pribumi menambahkan lagi kepentingan peranannya untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berasal daripada pelbagai kaum.

Berdasarkan hal ini saja, bahasa Melayu bukan saja bahasa yang sah, tetapi adalah pilihan yang tepat lagi bijak untuk dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah bahasa yang dapat membangkitkan selain memupuk semangat kebangsaan.

Sebagai bahasa yang boleh membawa kejayaan pragmatik kepada rakyat Malaysia, bahasa Melayu mempunyai modal linguistik yang bukan saja mencukupi, malah agam sekali. Ia memiliki korpus yang efisien sekali. Antaranya, sistem ejaan yang kemas, dua sistem tulisan Rumi dan Jawi yang mantap, kosa kata yang senantiasa berkembang, bilangan lebih daripada sejuta istilah ilmiah dan nahu yang dibakukan.

Tetapi malangnya, bahasa Melayu tidak pernah diyakini sepenuhnya oleh rakyatnya sendiri, sejak dinobatkan sebagai bahasa negara pada 1957. Untuk sekian lama, ia dibelenggu pelbagai persoalan kemasyarakatan yang semuanya ditimbulkan rakyat Malaysia sendiri, sering kali pula oleh orang Melayu sebagai penutur natifnya. Pelbagai komen yang memperlihat sikap negatif daripada orang Melayu sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu, bukan saja amat dikesali tetapi yang lebih mudarat lagi adalah ia boleh memberi implikasi tidak baik kepada orang bukan Melayu untuk terus menghormati bahasa Melayu, apatah lagi menyanjunginya!

Sudah tiba masanya dengan pemansuhan PPSMI pada 2011 ini, rakyat Malaysia menganugerahkan penghormatan linguistik tertinggi yang dapat kita semua kurniakan kepada bahasa Melayu, di tanah watannya sendiri. Kita perlu berhenti daripada selalu menyalahkan bahasa keramat ini yang dicipta Tuhan untuk memajukan, selain menyatupadukan kita semua di tanah yang kita cintai ini.

Sesungguhnya bahasa Melayu tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan penyebab utama kepada penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan rakyat, faktor penghalang kepada kemajuan rakyat pada era globalisasi ini yang mementingkan bahasa Inggeris, dan faktor penentang kepada hak linguistik rakyat Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bahasa Inggeris.

Mari kita semua memperlihat keyakinan penuh kepada bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa Malaysia serta generasi mendatang, sama ada untuk memahami asas sains dan juga lunas ilmu lain. Sebenarnya tidak ada sebarang cacat cela pun pada bahasa Melayu yang tidak membolehkannya digunakan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan.

Ia adalah sistem linguistik yang sempurna, seperti yang ada pada bahasa besar lain di dunia. Dalam konteks ini, bahasa Melayu mampu menyampaikan ilmu pengetahuan moden, dengan berkesan sekali, seperti yang diperlihatkan oleh bahasa Inggeris dan lain-lain.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

2 ulasan:

  1. Salam cikgu,
    Saya tertarik dgn isu bahasa yg cikgu utarakan di blog ini. Saya sedang mencari statistik keciciran bahasa melayu di kalangan pelajar SJKC/SJKT. Amat bersyukur saya kiranya cikgu dapat berkongsi dgn saya (jika ada). Cikgu boleh emailkan kepada saya di azmahasif@gmail.com atau mungkin cikgu boleh ke blog lersonal saya http://yang-teristimewa.blogspot.com/

    terima kasih

    BalasPadam
  2. Bahasa kita dipijak di bumi sendiri kalau dibiarkan. Keadaannya akan semakin nazak jika bangsa Melayu tak mempertahankan bahasa sendiri.

    BalasPadam