Rabu, 12 Januari 2011

ISU KEPENGGUNAAN : Bendung kenaikan harga komoditi

ISU kenaikan harga barangan terus mencengkam pengguna walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berusaha membendungnya dari semasa ke semasa.

Terkini, kekurangan bekalan minyak masak mula mencetuskan kerisauan masyarakat yang akhirnya mendorong kepada pembelian panik sehingga fenomena kekurangan bekalan minyak masak berlaku dalam pasaran.

Penduduk di beberapa buah negeri seperti di Melaka, Pulau Pinang dan juga sekitar ibu kota mula melahirkan rasa tidak puas hati dan mengadu mengalami kesukaran untuk memperoleh bekalan minyak masak.

Keadaan lebih serius apabila pemborong dan peruncit dikatakan tiada bekalan yang mencukupi, malah ada yang menganggap kekurangan bekalan minyak masak kali ini adalah yang paling terburuk dalam sejarah.

Semuanya timbul apabila ada yang mengaitkan isu ketiadaan bekalan ini dengan usaha pihak-pihak tertentu untuk menaikkan harga komoditi tersebut. Akibatnya bekalan dikatakan disorok supaya dapat memaksa kerajaan menaikkan harganya mengikut kehendak mereka.

Pada masa yang sama, aktiviti penyeludupan komoditi ini yang semakin rancak berleluasa turut dikaitkan sebagai antara punca berlakunya kekurangan bekalan minyak masak dalam negara.

Bekalan minyak masak adalah antara komoditi keperluan asas pengguna, justeru diharapkaan pihak yang bertanggungjawab terutamanya KPDNKK dapat mengambil inisiatif dan langkah yang sewajarnya untuk mengatasi kekurangan bekalan minyak masak dan sekali gus membendung kenaikan harga komoditi terbabit.

Hal ini penting kerana seperti kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, kementerian yang dipertanggungjawabkan seharusnya lebih serius dalam menangani masalah itu kerana hal ini sering berulang dan mencengkam pengguna. Misalnya, ingatan kita masih lagi segar dengan krisis gula yang melanda negara pada tahun lepas.

KPDNKK dan kementerian yang bertanggungjawab memberi AP perlu mencari punca penyebab utama yang membawa kepada kekurangan bekalan seperti ini yang mencetuskan pelbagai kesan negatif seperti kenaikan harga bekalan terbabit serta kenaikan harga barangan ataupun makanan yang diperbuat menggunakan bekalan tersebut sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Keadaan ini juga dilihat menjejaskan nama baik kerajaan kerana ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak dapat membendung kekurangan bekalan keperluan asas pengguna serta membendung kenaikan harga barangan di pasaran.

Pada masa yang sama, kita juga berharap agar pihak pembekal, pemborong dan peruncit juga akan lebih bersikap tanggungjawab dan mengutamakan kebajikan pengguna dengan tidak sewenang-wenangnya menyorok bekalan tersebut dengan tujuan untuk menaikkan harganya.

Semoga krisis gula tempoh hari menjadi iktibar kepada semua dan sebagai pengguna, kita berharap agar pisang tidak berbuah dua kali apatah lagi menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen