Ahad, 30 Januari 2011

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Cerita sebuah tragedi

Khabar mudah yang kita terima ialah novel Interlok terus menjadi buku teks sekolah tetapi perlu disunting bab yang 'menyinggung' orang India. Khabar sukar yang kita fikir ialah siapa orangnya yang berhak untuk menyunting yakni mengubah maksud Interlok?

Siapa orangnya yang sangat arif untuk mengatakan istilah itu atau ini dibuang dan kemudian digantikan dengan istilah pilihan mereka? Siapa mereka?

Saya tidak fikir orang yang mempunyai peribadi tinggi sanggup melakukan kerja ini. Malah saya juga tidak fikir ada kalangan sasterawan rela menyunting Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Bukan kerana mereka takut tetapi mereka faham adab dan susila untuk mengubah isi dan maksud karya orang lain.

Sebagaimana yang sudah jelas ditunjukkan kepada kita, isu Interlok bukanlah isu kandungan karyanya.

Tetapi isu Interlok adalah mempunyai ruang untuk pelobi politik perkauman memainkan peranannya. Memberi wajah seolah-olah Interlok menghina orang India yang datang dengan kapal dari India adalah kerja jahat.

Malah mukadimah mereka juga sangat jahat, mendesak secara biadap, tidak tahu adab sopan, membakar potret pengarang dan membuat provokasi melampau.

Penjahat-penjahat ini akhirnya meraih kemenangan politik apabila diberi kuasa untuk mengoyak sebuah karya sastera yang tidak sejahat mereka.

Abdullah Hussain seorang tua yang tidak punya kuasa, jauh sekali kuasa pendesak atau kuasa politik seperti mereka yang membakar potretnya.

Beliau tidak punya apa-apa kecuali bercakap kepada bangsanya sambil memberi peringatan dari pengalaman dan pengamatan.

Saya membaca Interlok pada akhir tahun 1970-an, kemudian meminjamkan kepada seorang rakan saya orang India dan seterusnya seorang keturunan Siam di Perlis. Mereka tidak mengkritik isi kandungan novel itu tetapi generasi masa ini seolah-olah lebih tajam mata mereka menangkap hal-hal yang buruk.

Sebenarnya saya tidak terkejut apabila novel itu akan disunting semula oleh sebuah jawatankuasa bebas.

Malah, baru tahu bahawa jawatankuasa yang memilih Interlok dianggap tidak bebas oleh pelobi-pelobi politik dan akhirnya jawatankuasa 'bebas' inilah yang akan menentukan bab mana yang perlu dibuang dan sebagainya.

Apabila sesuatu menjadi tawar menawar politik, atau menjadi bahan ugutan politik, kita lebih banyak beralah. Kalau kita sedang duduk, kita akan bangun untuk memberi ruang kepada orang lain duduk.

Inilah yang berlaku kepada Interlok dan sekiranya Abdullah Hussain 'izin dalam paksa' novelnya dikoyak, ini adalah pengorbanan besar seorang rakyat yang mahu melihat gerbang kesejahteraan bangsa dibina daripada jiwanya yang luka.

Selepas ini ruang berkarya khususnya dalam kesusasteraan Melayu akan menjadi semakin kecil. Akan ada lagi pihak yang mengambil kesempatan dan mendakwa karya itu dan ini menghina mereka.

Nah, siapa kata mata pena lebih tajam daripada mata pedang?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan