Jumaat, 21 Januari 2011

ISU IPT TEMPATAN : Ada masa kita tonjol potensi, merendah diri

Oleh Dr Zaini Ujang

Universiti tempatan tidak patut sembunyi kelebihan elak tanggapan negatif negara luar

RAKYAT Malaysia secara umumnya mempunyai sifat merendah diri yang ketara. Dalam masyarakat Melayu misalnya, semakin merendah diri, semakin dipandang tinggi, tandanya semakin beradab. Selain itu kita sering kali diperingatkan supaya tidak mengikut resmi ayam, telur sebiji riuh sekampung. Apatah lagi berlagak seperti 'tin kosong'. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Dalam kehidupan harian kita juga kerap memohon maaf sebelum berbuat sesuatu, atau memula bicara kerana mungkin ada kelemahan atau kesilapan nanti. Malah sudah menjadi prosedur rasmi dalam mana-mana majlis diakhiri dengan kata-kata stereotaip pengerusi atau pengacara majlis memohon maaf terhadap apa saja kepincangan pada majlis itu, walaupun hakikatnya sangat cemerlang.

Justeru, sifat merendah diri atau tawaduk itu membuatkan kita jarang menonjolkan kehebatan diri. Kita selalunya ‘beralas’ dalam mengemukakan sesuatu pendapat atau idea. Hal ini juga terbawa-bawa dalam bidang saintifik dan pengajian tinggi.

Biasanya apabila menjawab persoalan orang asing berkaitan kualiti akademik atau pencapaian saintifik, kita akan mencari pendekatan merendah diri. ‘Kami baru bermula’ atau ‘peralatan belum lengkap dan tidak begitu canggih’. Barangkali hal ini kita ungkapkan dalam konteks pembandingan dengan negara serantau yang semakin maju, terutama Singapura, China dan Korea Selatan.

Bagi kita masih banyak kelemahan yang ada perlu ditangani. Malah tidak sedikit yang melihat kelemahan sebagai suatu ‘deskripsi utama’ terutama dalam sistem pendidikan dan pembangunan saintifik. Maka itulah sebabnya kita sering kali kritis terhadap mutu kebanyakan graduan yang tidak mahir berkomunikasi. Kita juga menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaan generasi muda memacu daya saing negara dalam bidang strategik.

Namun hal ini ada juga baiknya. Itu tandanya kita tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa. Kita ingin lebih maju dan mantap. Kita juga sentiasa berusaha untuk mencari kekuatan baru, pengetahuan dan ilmu baru. Hal ini mudah ditanggapi ramai pelancong dan tetamu yang berkunjung ke Malaysia.

Minggu lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan rombongan peringkat tertinggi dari Universiti Qatar (UQ), diketuai oleh Presidennya, Prof Sheika Abdalla Al-Misnad dan timbalannya, Profesor Sheika Jabbor Al-Thani. Bagi mereka sifat merendah diri orang Malaysia begitu ketara, sekali gus menimbulkan tanda tanya. Menurut mereka pencapaian Malaysia dalam bidang akademik jauh melebihi promosi dilakukan. Standard pengajian tinggi universiti utama di Malaysia mengatasi banyak universiti yang lebih tua dan berbelanja besar.

Malangnya, sifat merendah diri itu juga membuatkan kita tidak begitu dikenali. Ada kalanya tidak begitu dihargai dalam kalangan komuniti antarabangsa. Pakej promosi kita, khususnya universiti awam dan agensi berkait penyelidikan dan inovasi di Malaysia, tidak menggambarkan pencapaian sebenar kita yang jauh lebih baik. Pakej promosi kita juga kurang mantap dalam konteks strategi dan penyampaian, berbanding, misalnya Singapura.

Hal ini diaibkan lagi dengan komentar negatif yang sering kali tersiar dalam media massa yang turut dibaca pelancong dan pengamat luar, seolah-olah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan tidak relevan dengan keperluan industri.

Set kemahiran graduan tempatan seolah-olah tidak relevan dengan kehendak pasaran, dan sebagainya. Hal ini diulang-ulang seolah-olah suatu fenomena lumrah dalam pelbagai kesempatan, media dan forum. Walaupun banyak langkah pembaikan sudah diambil tetapi lebih bersifat defensif, bukan dalam konteks pembinaan set minda baru.

Lawatan UQ ke UTM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) itu bertujuan untuk mencari kerangka baru mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengajian siswazah. Secara terbuka, pada majlis yang turut dihadiri oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofia.

Prof Sheikha Al-Misnad menyebut mengenai kelainan dan kekuatan universiti di Malaysia berbanding universiti di Korea Selatan dan Hong Kong yang beliau baru kunjungi, malah universiti lain di serata dunia. Universiti awam berstatus universiti penyelidikan di Malaysia bukan saja cemerlang tetapi mempunyai perancangan realistik, hala tuju jelas, mengambil kira kepentingan negara sendiri dan berdaya saing.

Hal ini disedari apabila ramai graduan universiti di Malaysia menyerlah dalam pelbagai lapangan di Negara Teluk ketika ini. Mereka adalah model kelompok profesional yang semakin mendapat perhatian. Malah ‘label Malaysia’ adalah suatu jaminan kualiti dari segi etika, kemahiran dan profesionalisme. Walaupun kita sering merungut mengenai kemampuan berbahasa Inggeris dalam kalangan graduan tempatan, apabila berada di alam kerjaya, mereka cepat belajar dan menyesuaikan diri berbanding graduan dari negara lain.

Tanggapan positif terhadap graduan Malaysia di Negara Teluk sama dengan tanggapan terhadap graduan universiti ternama India di Amerika Syarikat. Mereka bukan saja diberi kedudukan yang baik malah menjadi penggerak pembangunan teknologi di negara terbabit.

Dalam konteks ini, saya berpendapat kita perlu melakukan lonjakan minda supaya tidak lagi terikat dengan sikap merendah diri keterlaluan. Promosi kita memerlukan pakej lebih bergaya dan kelas tersendiri.

Henry Ford (1863-1947) menyebut bahawa ‘sama ada kita fikir boleh (positif) atau sebaliknya, kedua-duanya betul’.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen