Isnin, 7 Februari 2011

ISU SOSIAL : Laporan tangani kecederaan kanak-kanak

SETIAP tahun lebih 2,000 kanak-kanak meninggal dunia akibat kecederaan yang tidak disengajakan. Berdasarkan satu laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF, berjuta-juta kanak-kanak pada setiap tahun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan, yang sering kali menyebabkan kecacatan seumur hidup.


Laporan ‘Pencegahan Kecederaan Kanak-Kanak’ ini memberikan satu pendekatan yang komprehensif mengenai penilaian kecederaan kepada kanak-kanak yang tidak disengajakan dan kaedah untuk mengelakkannya. Laporan ini juga merumuskan bahawa jika kaedah ini dilaksanakan, ia dapat menyelamatkan nyawa sekurang-kurangnya 1,000 kanak-kanak di seluruh dunia setiap hari.

Kecederaan kanak-kanak adalah satu isu yang amat penting dalam kesihatan awam. Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 830,000 kematian kanak-kanak dicatatkan setiap tahun dan berjuta-juta kanak-kanak lagi menderita disebabkan kecederaan serius yang memerlukan mereka ditempatkan di hospital dan pusat rawatan.Selain itu, kos rawatan boleh menyebabkan sesebuah keluarga itu menderita, terpaksa berhutang dan ada yang diisytiharkan muflis.

Keadaan menjadi lebih teruk jika kanak-kanak ini berasal daripada keluarga miskin. Laporan ini disediakan berdasarkan hasil perbincangan 180 pakar dari seluruh dunia. Laporan ini juga menunjukkan kecederaan yang tidak disengajakan ini menjadi faktor utama kematian kanak-kanak di bawah umur sembilan tahun, 95 peratus daripada mereka berasal dari negara sedang membangun.

Pengarah Eksekutif UNICEF berkata, banyak langkah perlu diambil untuk mengurangkan bahaya kepada kanak-kanak.

Berikut lima faktor utama yang menyebabkan kematian kanak-kanak tidak disengajakan iaitu:

Kemalangan jalan raya: Menyebabkan kematian 260,000 kanak-kanak dalam tempoh setahun. Ia juga mencederakan 10 juta kanak-kanak yang berusia antara 10 tahun hingga 19 tahun. Ramai pula yang cacat akibat kecederaan ini.

Lemas: Lebih 175,000 kanak-kanak meninggal dunia dalam setahun. Begitu juga setiap tahun, seramai tiga juta kanak-kanak berjaya diselamatkan daripada lemas. Namun begitu, ada yang mengalami kecederaan dan kecacatan otak selepas diselamatkan.

Kebakaran: Sudah mengorbankan hampir 96,000 orang setiap tahun. Jumlah kematian ini 11 kali lebih ramai dalam kalangan penduduk di negara sedang membangun dan kurang membangun berbanding negara membangun.

Jatuh: Hampir 47,000 kanak-kanak meninggal dunia disebabkan terjatuh. Ada beratus-ratus dan beribu-ribu kanak-kanak lain yang menderita disebabkan kecederaan yang dialami akibat terjatuh.

Keracunan: Setiap tahun lebih 45,000 kanak-kanak yang mati disebabkan oleh keracunan yang tidak disengajakan.


MOHANA PRIYA,
Persatuan Pengguna Standard Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan