Isnin, 11 April 2011

ISU KEMALANGAN MAUT : Pemandu lori perlu lebih bertimbang rasa

Seluruh rakyat Malaysia berasa sedih, pilu, geram dan marah apabila membaca laporan berita terbaru yang mengorbankan lapan nyawa dalam tiga kejadian kemalangan berasingan.

Lebih menyayat hati apabila kemalangan tersebut turut meragut nyawa dua kanak-kanak yang tidak berdosa yang masing-masing baru berusia dua dan empat tahun, selain dua pelajar tingkatan empat yang maut dirempuh lori tangki di Batu 12, Jalan Kapar, Klang pada 8 April lalu.

Kejadian lain yang turut melibatkan lori menyaksikan dua wanita terkorban apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah lori yang terbabas selepas merempuh sebuah kereta lain di Kuantan, Pahang pada tarikh yang sama.

Ironinya persamaan kemalangan maut tersebut ialah pertama ia melibatkan lori dan kedua, pemandu ketiga-tiga lori tersebut pula hanya mengalami kecederaan ringan. Itulah yang membuatkan kita berasa cukup geram dan marah.

Kesemua kemalangan maut ini memperlihatkan betapa bahayanya kemalangan yang melibatkan lori.

Sebagai sebuah kenderaan yang besar, ternyata pemandunya seringkali terselamat sebaliknya pihak yang satu lagi baik pemandu mahupun penumpang kereta ataupun motosikal pasti akan maut atau paling tidakpun akan mengalami kecederaan yang sangat serius. Jarang sekali kita mendengar pemandu lori turut terkorban.

Kemalangan maut melibatkan lori bukanlah suatu isu baru di negara kita. Hampir setiap hari kita boleh membaca laporan tentang kemalangan yang melibatkan lori di seluruh negara.

Ini menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan khalayak misalnya apakah para pemandu lori kita sudah tidak mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan juga apakah pemandu lori kita semakin bongkak dan menganggap diri mereka hebat apabila berada di atas jalan raya kerana memandu kenderaan yang jauh lebih besar berbanding dengan orang lain?

Memang tidak wajar untuk kita menuduh kesemua pemandu lori berperangai sebegitu, namun kejadian yang baru berlaku ini terus memperkukuhkan dan mengiyakan persoalan-persoalan tersebut. Ternyata kemalangan melibatkan lori adalah antara kemalangan yang paling ngeri dan cukup membahayakan.

Akibatnya juga, setiap kali musim perayaan, pergerakan lori di lebuh raya disekat ataupun dihadkan oleh kerajaan untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini seperti ini berlaku sepanjang musim perayaan.

Walaupun tidak semua kemalangan yang berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lori terbabit, namun ada baiknya pemandu lori juga lebih berhati-hati dan lebih bertimbang rasa.

Hal ini penting kerana pengalaman kita menunjukkan baik di lebuh raya mahupun di jalan persekutuan, pemandu lori sering kali seolah-olah mengetepikan soal keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain di mana mereka akan memandu dan memotong kenderaan lain dengan laju terutamanya apabila tiada muatan. Ini menyebabkan mereka mudah hilang kawalan sehingga boleh merempuh kenderaan lain.

Apa yang diharapkan ialah di samping pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas ke atas pemandu seperti ini, kita juga menuntut perubahan sikap dan tingkah laku para pemandu lori kita.

Sikap timbang rasa dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu dipupuk dan dihayati oleh setiap pemandu lori agar tidak mudah hilang kawalan dan pertimbangan.

Justeru, kita merayu dan juga berharap sangat agar kemalangan yang meragut lapan nyawa yang tidak berdosa ini akan dijadikan pengajaran dan iktibar oleh semua pemandu lori di negara kita agar tidak terus menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut dan ngeri seperti ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen