Jumaat, 29 April 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sastera di IPTA dipinggirkan?

PADA 31 Mac 2011 yang lalu, telah tercatat satu sejarah baru di dalam Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu di universiti-universiti di Malaysia. Pada hari yang bersejarah itu, Profesor Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), melancarkan Sekretariat Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu Universiti-Universiti di Malaysia atau SPESBAM. Sekretariat ini telah ditubuhkan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pada 2010 yang dianggotai oleh pusat pengajian atau fakulti yang ada kaitan dengan pengajian bahasa dan sastera Melayu.

Pelancaran SPESBAM merupakan satu titik tolak kepada satu anjakan perubahan di dalam pengajian sastera dan bahasa Melayu dalam berdepan dengan segala cabaran, dan mengerakkan satu perancangan yang komprehensif bagi menjadikan pengajian sastera dan bahasa Melayu sebagai pengajian yang berdaya maju.

Profesor Dzulkilfli melihat penubuhan SPESBAM sebagi satu usaha yang tepat pada masanya ketika pengajian sastera dan bahasa Melayu begitu diasak dengan pelbagai cabaran dari segi ekonomi, sosial dan politik tempatan dan antarabangsa. Pada masa ini, pengajian sastera dan bahasa Melayu tidak lagi penting bukan sahaja di universiti tetapi juga di sekolah. Maruah pengajian ini telah diruntuhkan dan masa depannya semakin suram.

Pada dasarnya, universiti merupakan institusi pendidikan tinggi yang mempunyai peranan untuk menjayakan aspirasi akademia, masyarakat, negara dan dunia. Sehubungan itu, setiap bentuk pengajian perlu mencakupi aspirasi-aspirasi ini. Begitu juga dengan pengajian sastera dan bahasa Melayu.

Pengajian sastera dan bahasa Melayu boleh menyumbang kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang punya identiti bahasa, nilai murni, kebijaksanaan dan sastera yang dikagumi.

Kuat

Pengembangan Pengajian Melayu di Singapura lebih kuat dirasai apabila Universiti Malaya berpindah ke Kuala Lumpur dan wujud Jabatan Pengajian Melayu dengan tokoh-tokoh yang tidak asing lagi seperti Profesor Emeritus Ismail Hussein, Profesor Mohd Taib Osman dan ramai lagi. Kemudian muncul pula Akademi Pengajian Melayu di UM yang member perhatian kepada bahasa, budaya dan sastera Melayu. Pengajian sastera dan bahasa Melayu di USM bermula di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, pada tahun 1970-an dan pada hari ini, pengajian ini masih wujud dan berkembang tetapi agak perlahan. Di UKM, Pengajian Melayu boleh didapati di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Ramai tokoh pengajian sastera dan bahasa Melayu dilahirkan daripada pusat-pusat pengajian tinggi ini. Di USM, di antara tokoh-tokoh yang pernah menjadi mahaguru di sini ialah Profesor Shahnon Ahmad dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan.

Pada hari ini, pengajian tinggi merupakan sektor pendidikan telah mendapat perhatian yang luas dan kritis daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Bukan sahaja bilangan program bertambah tetapi juga kerencaman program serta pembinaan identiti sesuatu program itu juga telah dilakukan. Pelbagai forum diadakan untuk melihat semula pelbagai aspek pengajian tinggi dari segi governance hinggalah kepada bentuknya. Institusi pengajian tinggi kini telah diminta untuk mempunyai penanda aras yang tertentu yang taraf dunia. USM seperti universiti-universiti tempatan yang lain juga tidak terkecuali daripada penentuan penanda aras' ini. Lantaran itu, setiap disiplin ilmu seperti pengajian sastera dan bahasa Melayu juga perlu mempunyai penanda aras yang bertaraf dunia dan ini satu cabaran baru yang mahu tidak mahu perlu dikuti.

Pada masa ini, pengajian sastera dan bahasa Melayu menghadapi saingan yang sengit daripada pengajian-pengajian yang lain khususnya sains dan teknologi. Pengajian sastera dan bahasa Melayu dilihat tidak memberi kesan yang besar kepada perkembangan negara yang sedang menuju kepada sebuah negara maju. Persepsi masyarakat terhadap pengajian tinggi juga turut berubah.

Masyarakat beranggapan bahawa universiti ialah tempat menjana tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor perdagangan dan industri. Maka pengajian ilmu sains dan teknologi menjadi pilihan sementara pengajian yang membina insan seperti sastera dan bahasa dipandang sepi.

Universiti sebagai tempat menjana ilmu termasuklah sastera dan bahasa tidak lagi mendapat perhatian yang wajar.

Terdapat satu dikotomi ilmu yang sewajarnya tidak berlaku.

Lantaran itu, universiti pada hari ini merupakan tempat melahirkan manusia-robot (cyborg). Mereka berfikir bagaimana hendak mencari untung. Unsur kapitalisme sudah berakar jauh. Keadaan ini sangat mendukacitakan. Sehubungan itu, usaha memanusiakan universiti sangat diperlukan. Unsur kemanusiaan perlu disuburkan di segenap pembinaan sendi ilmu dan penyebaran dan penggunaannya.

Dalam memenuhi tuntutan globalisasi, pengajian sastera dan bahasa Melayu harus melakukan perubahan untuk kelihatan relevan dan lestari. Kelestarian pengajian sastera dan bahasa Melayu perlu dikukuhkan dengan membuat perubahan kepada beberapa aspek' seperti penawaran kursus yang dinamik dengan mengambil kira perkembangan dunia ilmu pada hari ini.

Skop penyelidikan dan penerbitan pengajian sastera dan bahasa Melayu perlu diperhatikan semula. Pembinaan kamus, ensaiklopedia, institusi, dan sebagainya yang telah diadakan semenjak beberapa dekad lalu perlu dilihat semula pengisiannya dan potensi untuk menjana ilmu-ilmu baru. Kita harus berfikir di luar kotak.

SPESBAM yang berpusat di USM untuk dua tahun ini, telah dilancarkan secara sederhana bersama sejumah 23 buah buku terbitan 2010-2011 oleh para sarjana pengajian sastera dan bahasa Melayu dariada empat buah universiti. Sekretariat ini merupakan satu sekretariat yang julung-julung kali diwujudkan di Malaysia dengan enam anggota iaitu USM, UM, UKM, UPM, UPSI dan UiTM. Kewujudan sekretariat ini berpaksi kepada kerjasama di kalangan anggotanya dalam pelbagai aspek seperti penyelidikan, penerbitan, penyelarasan database pengajian sastera dan bahasa Melayu di Malaysia dan seluruh dunia dan pertukaran maklumat, pensyarah serta pelajar. Kerjasama ini pasti dapat membawa kepada satu perubahan kepada pengajian sastera dan bahasa Melayu.

Penulis adalah pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan