Khamis, 21 April 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Usaha pengkomersialan produk inovasi

RosPin produk inovasi pelajar sekolah pertama dipasarkan

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ingin merujuk kepada penulisan rencana oleh Aznan Bakar, “Hargai Budaya Inovasi Tempatan” (Utusan Malaysia, 20 April 2011).

MOSTI ingin membetulkan beberapa kenyataan yang dibuat oleh penulis mengenai peranan MOSTI yang tidak begitu tepat dan boleh menimbulkan tanggapan negatif. Sebagai makluman penulis, usaha pengkomersialan tidak sahaja terletak di bawah tanggungjawab MOSTI, tetapi juga pelbagai pihak yang lain seperti universiti-universiti, institusi-institusi penyelidikan, kementerian-kementerian yang menerima dana R&D, Unit Inovasi Khas (UNIK) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Setakat 31 Disember 2010, MOSTI telah membiayai 4,558 projek R&D. Daripada jumlah ini, sebanyak 2,558 projek atau 56 peratus telah siap manakala selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Dalam tempoh tersebut juga pelbagai peringkat pengkomersialan R&D telah dicapai. Ini termasuklah pengwujudan 1,308 harta intelek, terdiri daripada 578 paten, 28 reka bentuk industri, 462 hakcipta dan 240 cap dagang. Malah sebanyak 272 projek atau 10.6 peratus daripada projek siap telah berjaya dikomersialkan dengan nilai jualan sebanyak RM3.838 bilion.

Dalam usaha untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan untuk manfaat masyarakat, MOSTI telah memupuk kerjasama R&D antara institusi pengajian tinggi dengan sektor swasta bagi menjalankan projek-projek yang mendapat geran MOSTI. Malah, kerjasama antara institusi pengajian tinggi atau institusi penyelidikan dengan pihak swasta merupakan salah satu syarat pembiayaan dana.

Pihak swasta telah memainkan peranan yang aktif dalam pengkomersialan hasil R&D bagi projek-projek yang mendapat Dana Pengkomersialan R&D (CRDF) yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Sebanyak 131 projek telah mendapat kelulusan dana CRDF untuk dikomersialkan pihak swasta.

Selain itu, MOSTI juga menyediakan platform dalam bentuk sesi pemadanan perniagaan (business matching) di antara pihak penyelidik dengan industri bagi tujuan pengkomersialan dengan kerjasama agensi-agensi MOSTI iaitu SIRIM, Technology Park Malaysia, MTDC dan Multimedia Development Corporation (MDeC).

Sebagai langkah untuk memperkasa ekosistem inovasi negara, kerajaan telah menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Pejabat Perdana Menteri pada 16 Julai 2010. Antara lain tujuannya mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan yang mempunyai potensi tinggi untuk dipasarkan.

Penulis juga menyentuh mengenai produk Rostrum Pintar yang dihasilkan oleh Sekolah Menengah Vokasional Kuantan. Sebenarnya, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pelajaran telah berjaya mengkomersialkan produk inovasi Rostrum Pintar (RosPin) ini di mana satu perjanjian pengkomersialan telah dimeteraikan di antara Syarikat Muslim Global Intelek Sdn. Bhd. dengan Sekolah Menengah Vokasional Kuantan pada 22 Februari 2011.

Di atas keprihatinan akan keperluan perekacipta individu atau akar umbi, MOSTI juga telah menubuhkan Innospace atau Pusat Inovasi Komuniti sebagai pusat rujuk kepada masyarakat setempat untuk membangunkan rekaan mereka. Buat masa ini terdapat dua buah Innospace iaitu di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah. Sebuah lagi Innospace akan ditubuhkan di Melaka pada tahun ini.

Kerajaan sememangnya amat menyedari keperluan diwujudkan pangkalan data mengenai produk inovasi sedia ada. Dalam perkara ini, UNIK telah menubuhkan pangkalan data harta intelek R&D untuk seluruh negara bagi tujuan pengkomersialan. Begitu juga dengan Yayasan Inovasi Malaysia yang telah menubuhkan pangkalan data inovasi akar umbi bagi tujuan yang sama.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan