Selasa, 24 Mei 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu amat kaya kata

Oleh Teo Kok Seong
bhnews@bharian.com.my

UKM antara pihak berusaha memodenkan ungkapan teknikal

KETIKA menyampaikan syarahan utama sempena Ekspo Pemacuan Kegemilangan Warisan Ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 3 Mei lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa UKM terus berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sejak ia ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Ini sesungguhnya selari dengan misi UKM untuk menjadi universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu, selain mensejagatkan ilmu beracuankan budaya kebangsaan.

Sehubungan itu, seperti yang ditegaskan oleh Khaled, UKM tidak pernah tergelincir daripada mendukung misi ini dan beliau mendapati UKM dapat merealisasi hasrat itu atas tiga landasan. Pertama, ilmu sejagat ditafsir dan diadun untuk dimanfaatkan dalam konteks Malaysia melalui bahasa Melayu.

Kedua, dalam menjulang tema kepelbagaian bahasa sebagai kecenderungan global untuk pengungkapan ilmu semasa, bahasa Melayu tetap dijunjung tinggi, manakala bahasa dominan lain didukung saja. Ketiga, selain menjadi bahasa ilmu utama, bahasa Melayu dipastikan juga adalah lambang negara yang penting, antaranya dalam menonjolkan jati diri kebangsaan.

Sesungguhnya UKM adalah sebuah universiti istimewa. UKM luar biasa dalam pengertian ia adalah satu-satunya universiti kebangsaan dan memiliki sejarah penubuhannya yang unik sekali. Antaranya untuk membuktikan daya bahasa Melayu yang boleh juga menjadikan bahasa ilmu tinggi, seperti dan setanding dengan bahasa lain yang berjaya di pelbagai tempat lain.

UKM yang kini berusia 41 tahun membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu tinggi, untuk apa juga disiplin ilmu. Antaranya termasuk sains nuklear, teknologi maklumat dan kejuruteraan bioperubatan. Dengan ini, bahasa Melayu sebetulnya adalah setaraf dengan beberapa bahasa ilmu lain. Malah, ia mampu mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh bahasa Inggeris dalam banyak hal.

Untuk sesuatu bahasa itu berfungsi sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi, ia terlebih dulu perlu melalui proses pemodenan kata, khususnya dalam konteks mempunyai bilangan istilah yang agam. Sesungguhnya, bahasa Melayu sudah lama melalui proses ini dan kini memiliki tidak kurang daripada sejuta istilah yang digubal untuk digunakan oleh ratusan bidang ilmu.

Kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sebetulnya adalah usaha perancangan rapi yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 22 Jun 1956, dua jenis perancangan dijalankan oleh DBP dengan jayanya, iaitu perancangan taraf dan perancangan korpus.

Antara kegiatan perancangan taraf ini ialah kempen pada 1960-an untuk menyakinkan golongan bukan Melayu mengenai kebaikan mempelajari bahasa Melayu dalam konteks kenegaraan. Sehubungan itu, perancangan taraf bahasa Melayu banyak dikaitkan dengan penyelesaian isu dan masalah sosial bahasa Melayu, yakni yang berkaitan dengan masyarakat penggunanya.

Manakala kegiatan perancangan korpus memberi tumpuan kepada bahasa Melayu itu sendiri, khususnya mengenai pelbagai aspek dalamannya. Antaranya adalah pembaharuan ejaan dan tulisan, penyeragaman sebutan, perubahan struktur, pengembangan kosa kata, pemupukan laras serta penyediaan bahan untuk tujuan pendidikan.

Untuk bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi, prosedur pembakuan perlu dilakukan untuk tujuan formulasi satu set norma bahasa. Ini adalah usaha besar dan hanya boleh dilakukan oleh agensi bahasa seperti DBP. Dalam hal ini, UKM ikut dibabitkan untuk membantu dalam merancangkan korpus tertentu, terutama pemilihan dan pengembangan kata yang sesuai.

Kata dalam bahasa Melayu yang kini bahasa negara, tidak dapat dinafikan amat kaya dengan pelbagai sumber untuk mengungkapkan banyak bidang komunikasi tradisional. Namun, ia didapati kurang mencukupi dari segi istilah teknikal untuk membolehkannya mengungkapkan komunikasi moden.

Sehubungan itu, kata baharu perlu dicipta. Untuk ini, beberapa kaedah digunakan. Antaranya termasuk kata asing diserapkan secara langsung dengan atau tanpa perubahan mengikut sistem bahasa Melayu, kata asli bahasa Melayu yang usang dikembalikan penggunaannya, dan penggabungan bentuk baru daripada kata yang sedia ada.

Usaha memodenkan kata adalah aspek perancangan korpus bahasa Melayu yang paling penting. Ia perlu dilakukan untuk membolehkan bahasa Melayu mengembangkan kata bagi berbicara mengenai bidang teknologi serta pelbagai ranah bahasa yang sebelum ini tidak wujud.

Pemodenan kata adalah proses yang bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mempertingkat kata dalam bahasa Melayu, bagi mengungkapkan pelbagai teknologi baru yang mempunyai impak besar ke atas masyarakat Malaysia.

Dengan teknologi menjadi semakin sejagat, wujud keperluan untuk menyeragam dan menyatukan istilah teknikal bahasa Melayu yang merentasi wilayah geografi dan kelainan bahasa. Ini adalah untuk memudahkan perbincangan mengenai teknologi yang digunakan bersama itu oleh beberapa negara. Hal ini ditangani dengan baik oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Sebagai universiti negara, UKM tetap akan mendukung Dasar Bahasa Negara. UKM akan terus memartabatkan bahasa Melayu, khususnya dalam kapasitinya sebagai bahasa ilmu tinggi, selain sebagai lambang kedaulatan negara serta etos dan kedudukan bangsa dan negara Malaysia.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan