Sabtu, 21 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Memahami perguruan sebagai institusi keinsanan, peradaban

Oleh Zaini Ujang

SETIAP 16 Mei kita meraikan Hari Guru. Perdana Menteri biasanya berucap memperihalkan pelbagai dasar baru untuk memartabatkan lagi kerjaya guru sesuai dengan impak guru kepada pembangunan negara. Skim dan pelbagai insentif baru diperkenal yang sudah pasti diterima dengan pelbagai tanggapan. Ramai suka, tetapi ada juga kecewa.

Penyair menggambarkan guru dengan warna pelangi menggunakan metafora dan susunan bahasa indah. Penulis pula meletakkan peranan guru dalam konteks pembangunan dan citra bangsa. Sementara pemimpin kesatuan dan tokoh meluahkan hasrat supaya penghargaan terhadap jasa guru diterjemahkan dalam bentuk persekitaran kerja lebih kondusif, kemudahan dan sistem saraan lebih kompetitif secara lebih menyeluruh.
Sepanjang ingatan saya, setiap tahun itulah kebiasaannya, walaupun diungkapkan dengan pelbagai tema, lokasi dan acara berbeza. Pokoknya sama, nadanya sekata. Memang kepentingan dan jasa guru perlu kita kenang, bukan hanya 16 Mei. Memang peranan guru kepada pembangunan bangsa wajib kita nobatkan sebagai penyuluh zaman. Dalam segala hal, gurulah pemula, gurulah pelopor dan guru jugalah yang perlu kita hargai sentiasa. Dalam kalangan ahli sufi misalnya, guru adalah segala-galanya, doa dan salasilah sehingga Rasulullah SAW disebut setiap bermulanya zikir dan amal.

Jika kita menyusur sejarah kemerdekaan negara, golongan guru cukup berperanan. Merekalah yang menjadi nadi kefahaman rakyat untuk bangkit menyuburkan jiwa merdeka. Tanpa terlalu memikirkan masa depan pangkat dan kedudukan dalam perkhidmatan, gurulah yang menjadi pemangkin kegiatan politik dari akar umbi sehingga kepemimpinan nasional. Peranan institusi perguruan dari Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) sejak 1922, kerjaya guru sehinggalah aktiviti guru di luar sekolah terakam dengan catatan tinta emas dalam sejarah negara.

Maka lahirlah beberapa nama besar seperti Ghaffar Baba, Za’ba, Aminudin Baki, Hamdan Sheikh Tahir, Shaharom Husein dan Syed Nasir Ismail dalam kalangan guru yang berperanan bukan sekadar mengajar dengan sukatan formal untuk memastikan anak murid mereka mendapat kejayaan cemerlang menduduki peperiksaan.

Guru turut membina sikap dan watak, mencanai jiwa dan aspirasi anak bangsa. Demikian peranan guru yang pada hakikatnya, menurut perspektif Islam, lebih daripada sekadar muddaris (pengajar) malah adalah muaalim (penyampai ilmu), muaddib (pembina adab), murabbi (pendidik akhlak) dan murshid (inspirator).

Itulah pendorong sehingga peranan guru juga mewarnakan dasar utama dan kepemimpinan negara. Ini begitu ketara pada 1959 apabila Kesatuan Guru-Guru Melayu mendesak Tunku Abdul Rahman supaya segera membangunkan sekolah menengah Melayu.

Ketika itu hanya sekolah rendah saja disediakan untuk aliran Melayu walaupun aliran Inggeris sudah lama dimulakan menerusi penubuhan Penang Free School pada 1902. Walaupun Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ditubuhkan pada 1905 tetapi matlamatnya adalah untuk meraikan golongan bangsawan Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Demikianlah besar jasa dan peranan guru. Selain mencetuskan pelbagai bentuk idea dan kesedaran baru berkaitan pendidikan, mereka juga komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memartabatkan bangsa. Kadangkala mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan.

Bertugas jauh di pedalaman, keadaan sekolah serba kekurangan dan latar belakang sosiobudaya murid yang ketinggalan. Kenyataannya, keadaan ini memperkuat dan meningkatkan lagi komitmen guru untuk lebih cemerlang memberi sumbangan kepada kemajuan bangsa.

Membaca sejarah hidup Pendeta Za’ba menyedarkan kita bahawa idealisme guru berkait rapat dengan kemerdekaan jiwa dan pembangunan minda. Guru juga berfungsi menggerakkan pemikiran bangsa bukan hanya dengan lisan kepada anak murid dalam bilik darjah, malah dengan tulisan kepada seluruh anak bangsa dalam pelbagai media.

Kita juga terkesan bahawa tokoh guru seperti Ghaffar Baba dan Pendeta Za’ba melaksanakan tugas mendidik dan membina bangsa tidak terhad ketika memegang jawatan sebagai guru sekolah. Sepanjang hidup mereka dalam pelbagai lapangan, aspirasi guru sebagai mudarris dan murshid tetap didokong dan mengembang. Tugas muallim dan muaddid tidak hanya terlaksana ketika mengajar di dalam darjah atau dewan kuliah.

Sehubungan itu, ada baiknya kita melihat semula kebiasaan kita meraikan Hari Guru setiap 16 Mei. Memang kerjaya guru perlu mendapat sorotan utama dan dokongan istimewa. Memang kerjaya guru perlu diperkasa dan terus dimartabatkan. Memang lebih banyak kemudahan perlu disediakan supaya guru boleh berperanan dengan lebih berkesan mendidik anak bangsa.

Hakikatnya tidak ada imbuhan yang boleh menyamai peranan dan jasa guru. Tidak ada skim perkhidmatan yang setara dengan kepentingan guru kepada pembinaan sesebuah bangsa dan tidak ada insentif duniawi yang setanding dengan karamah guru sebagai murshid dan muaddib.

Justeru, dalam kemeriahan menyambut 16 Mei, kita juga perlu memahami bahawa institusi perguruan adalah institusi keinsanan dan peradaban. Tugas muaddib dan muallim sebenarnya adalah peranan semua pihak.

Justeru, kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berkhidmat sebagai guru sekolah semata-mata apabila pelajar sekolah terbabit dalam pelbagai aktiviti tidak sihat, apatah lagi jenayah. Hakikatnya peranan membangunkan minda, akhlak dan aspirasi bangsa adalah tugas bersama seluruh warga.

Justeru, pada hemat saya, institusi perguruan melebihi batas sesuatu kerjaya. Dalam konteks Islam sebagai contoh, kita dituntut untuk mengajar kepada mereka yang tidak tahu walaupun sepatah ayat, seperti maksud sebuah hadis.

Kita juga diperintah untuk menyuburkan akhlak mulia, sebagai muaddib dan murabbi bukan saja untuk diri sendiri dan keluarga, malah jiran tetangga dan masyarakat sekitar. Apabila melihat kemungkaran dan salah laku, kita bertanggungjawab untuk mencegah sama ada dengan kuasa, tangan atau lisan.

Itulah rasional pada hemat saya setiap 16 Mei, selain meraikan jasa dan peranan guru maka kita juga perlu menghidupkan semula jiwa pendidik dalam setiap anggota masyarakat. Tarikh 16 Mei seharusnya dihayati dengan melihat semula komitmen semua pihak terhadap penghayatan memajukan bangsa dan negara menerusi institusi pendidikan yang melewati sempadan sekolah, kolej dan universiti. 16 Mei seharusnya kita sambut dengan penuh kesedaran bahawa membangunkan umat, memajukan bangsa dan menyuburkan adab perlu dilaksanakan sesuai dengan peranan setiap anggota masyarakat sebagai ‘guru’ – muddaris, muallim, muaddib, murabbi dan murshid.

Malang sekali jika 16 Mei sekadar ritual perhimpunan rasmi tahunan dengan acara menyanyikan lagu dan deklamasi puisi, serta menanti-nanti pengumuman rasmi mengenai insentif baru dalam skim perkhidmatan, apatah lagi jika diriuhkan dengan perdebatan tentang siapa dapat apa?

Zaini Ujang ialah penulis buku Menghayati Budaya Ilmu (Penerbit UTM, 2009)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan