Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.myKetua Pengarah DBP dan ‘pakar’ kamus jawab kritikan
APAKAH benar Kamus Dewan tidak mencerminkan kemajmukan sosial dan teknikal di negara ini seperti dikatakan oleh Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara, Northern Illinios University (NIU), Amerika Syarikat (AS), Prof Dr James T Collins? Bolehkah kamus utama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, memuatkan semua perkataan dan makna yang tertulis dan diucapkan oleh pengguna bahasa Melayu dari semasa ke semasa.
Dua persoalan itu sebenarnya selalu menjadi isu dalam kalangan pengguna biasa kamus kerana beranggapan semua perkataan sepatutnya ada dalam kamus, khususnya perkataan baru yang muncul akibat ledakan teknologi komputer dan maklumat (ICT).
Persoalan itu terjawab apabila Ketua Program LG221, Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Norizah Ardi, yang menegaskan ia boleh dilihat berdasarkan konsep sesebuah kamus yang menentukan jenis entri atau perkataan, subentri dan frasa entri yang dimasukkan.
“Kamus Dewan berkonsepkan kamus umum dalam bahasa Melayu sebagai rujukan utama pengguna bahasa Melayu di negara ini, selain negara yang menggunakan bahasa Melayu.
“Ini berbeza pula dengan Kamus Inggeris-Melayu DBP dengan konsep kamus untuk penterjemah, manakala Kamus Pelajar DBP pula bersesuaian dengan pelajar di sekolah,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Akademi Pengajian Bahasa UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.
Sebagai kamus umum, Dr Norizah berkata, tidak semua perkataan khususnya kata majmuk dan maknanya daripada pelbagai perspektif termasuk budaya dan teknikal dapat dimasukkan ke dalam Kamus Dewan.
“Bayangkan jika semua entri dan subentri dimasukkan dengan pelbagai makna diberikan, saya tidak tahu berapa tebal Kamus Dewan yang akan terhasil nanti.
“Justeru, ada prinsip tertentu dalam pemilihan perkataan dan makna yang dimasukkan ke dalam sesebuah kamus berpandukan konsep yang boleh kita lihat pada pendahuluan kamus berkenaan,” katanya yang turut berpengalaman menjadi antara penyusun Kamus Inggeris-Melayu DBP.
Dalam konteks penyusunan kamus di DBP, beliau berkata, perkataan berbentuk khusus atau teknikal akan dimasukkan ke dalam glosari bidang dan subbidang tertentu selepas ia didapati tidak ada dalam Kamus Dewan.
“Ini kerana sekiranya perkataan itu sudah ada dalam Kamus Dewan, ia dianggap perkataan biasa yang tidak perlu dimasukkan ke dalam glosari seperti roti, manakala jenis roti pula dimasukkan ke dalam Glosari Sains Rumah Tangga.
“Oleh itu, Kamus Dewan bertindak sebagai kamus rujukan maklumat bahasa umum tanpa mengira sama ada ia berbentuk slanga atau sastera lama, tetapi diberikan tanda tertentu,” katanya.
Mengenai saranan Prof Collins supaya DBP menambah entri baru sesuai dengan perubahan zaman, Dr Norizah bersetuju kerana hal berkenaan dibuat oleh kamus utama dunia seperti Collins English Dictionary yang berbuat demikian dua tahun sekali.
“Kita dapati mungkin ada data diubah suai sedikit dengan beberapa penambahan dimasukkan dan format serta reka bentuk baru diperkenalkan supaya lebih mutakhir.
“Bagaimanapun, saya berharap seandainya masukan itu diambil daripada korpus dalam Google, ia dibuat secara berhati-hati kerana bukan semua tulisan berbahasa Melayu yang betul daripada segi tatabahasa,” katanya.
Dr Norizah turut menyarankan DBP supaya menerbitkan kamus elektronik yang bersifat 10 dalam 1 yang mengandungi Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu DBP dan kamus glosari yang boleh dikemaskini berdasarkan kemasukan entri dan subentri yang baru dari semasa ke semasa.
Pandangan Dr Norizah itu diperakukan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz yang menjelaskan Kamus Dewan ialah kamus umum yang tidak memerlukan huraian secara terperinci kerana maklumat pragmatik yang disediakan sudah diketahui penutur aslinya.
“Apatah lagi konteks penggunaannya ditentukan oleh banyak faktor pragmatik yang relatif sifatnya seperti usia penyapa dan individu yang disapa serta beza usia di antara kedua-duanya.
“Data korpus DBP dan data bahasa Melayu di Internet juga memperlihatkan banyak penggunaan ‘pak cik’ dalam konteks tidak rasmi tanpa pengetahuan latar orang yang disapa mahupun dalam konteks pemilik kedai berbangsa Cina, India atau bangsa apa sekali pun seperti ‘Pak Cik Raju’, ‘Pak Cik Wong’ atau ‘Pak Cik John’,” katanya.
Mengenai Kamus Dewan yang tidak memberi tumpuan kepada definisi yang bersifat teknikal, Termuzi berkata, entri teknikal yang sudah banyak digunakan dalam wacana umum saja yang diterima masuk ke dalam edisi barunya.
“Untuk kata teknikal atau istilah, DBP menerbitkan kamus istilah, iaitu kamus khusus yang pemilihan dan penghuraiannya bersifat preskriptif.
“Oleh itu, perkataan sains dan teknologi dimuatkan pelbagai kamus istilah mengikut bidang dan subbidang, selain turut dimasukkan dalam Kamus Sains dan Teknologi yang diterbitkan pada 2008, manakala edisi keduanya dengan tambahan dan pembaikan sedang diusahakan oleh Bahagian Leksikologi dan Peristilahan,” katanya.
Termuzi meminta pihak yang memerlukan makna perkataan bersifat teknikal untuk memanfaatkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dapat dicapai melalui laman sesawang DBP.
“PRPM digunakan sebagai wahana penyebaran istilah teknikal dan dapat dimanfaatkan oleh pengguna sebagai sumber rujukan untuk kata teknikal termasuk pelbagai jenis skru dan sepana,” katanya.
Mengenai projek Online Multimedia Learner’s Dictionary of Malay yang diusahakan Prof Collins, beliau berkata, konsep kamus itu sesuai untuk penutur bahasa asing yang memberi tumpuan kepada aspek budaya dengan bersumberkan korpus internet.
“Perkembangan kata dalam bahasa Melayu di internet kini amatlah jauh bezanya dengan korpus yang digunakan dalam penyusunan Kamus Dewan Edisi Keempat yang diterbitkan pada 2005, apatah lagi Kamus Dewan Edisi Pertama (1970).
“Lantaran itu, DBP kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyusunan Kamus Besar Bahasa Melayu Dewan (KBBMD) yang bakal menampung dan menghuraikan perkembangan bahasa pada hari ini, sekali gus mengisi kelompangan Kamus Dewan,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan