Isnin, 1 Ogos 2011

ISU SOSIAL : Memahami inspirasi generasi belia Islam

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my

Hasil kajian boleh dijadikan panduan bentuk masyarakat masa depan

HARI ini, umat Islam sekali lagi memulakan ibadat puasa Ramadan, antara satu daripada lima rukun Islam. Puasa melatih kita untuk membentuk sahsiah diri, ahli keluarga dan ummah dalam semua bidang kehidupan. Puasa juga menuntut kita mengelak melakukan perkara tidak berfaedah, apa lagi yang dilarang agama seperti memfitnah, saling tuduh menuduh dan berbalah sesama sendiri.


Ramadan kali ini disambut bukan saja ketika negara masih lagi menghadapi kekalutan politik yang nampaknya tiada kesudahan, malah di kalangan yang mendakwa diri mereka ulama pun, bagaikan sudah hilang kebijaksanaan.


Gejala tuduh menuduh secara terbuka antara golongan yang mendakwa sebagai ulama sejak kebelakangan ini tentu tidak berlaku jika masing-masing ikhlas mahu melihat perpaduan ummah.

Umat Islam di negara ini sudah pun berpecah akibat persengketaan politik, janganlah keadaan diburukkan lagi oleh perbalahan golongan ulama semata-mata kerana segelintir mereka yang tidak mahu menerima pandangan berbeza.

Apa yang dibimbangi, jika perbalahan di kalangan ulama ini berterusan, ia menimbulkan kekeliruan di kalangan ummah, terutama generasi muda Islam.

Setakat ini, kita masih boleh bersyukur kerana secara umumnya, generasi muda Islam kita masih berpegang kepada konsep kesederhanaan dalam mengejar kebahagiaan dunia dan akhirat, seperti dituntut oleh agama.

Kajian terbaru ‘Nilai, Impian, Ideal: Belia Islam Asia Tenggara’ yang disiarkan sebuah akhbar tempatan semalam, mendapati 92 peratus belia Islam di Malaysia dan 93.8 peratus di Indonesia berpuas hati dengan kehidupan mereka serta percaya pendidikan menjadi faktor utama kemajuan diri dan pergerakan sosial.

Bagaimanapun, kajian yang diterajui Goethe Institute dan The Friedrich Naumann Foundation for Freedom itu, mendapati hanya 0.8 peratus belia Islam Malaysia berminat menjadi ahli politik, lebih rendah daripada mereka yang bercita-cita menjadi artis (2.7 peratus).

Hanya kira-kira 23 peratus belia Islam di Malaysia berkata, mereka mempunyai minat dalam politik, peratus sama dengan rakan mereka di Indonesia. Seramai 1,060 belia Islam berusia 15 hingga 25 tahun di Malaysia dan 1,496 di Indonesia terbabit dalam kajian yang dilakukan dengan kerjasama Merdeka Center, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Lembaga Survei Indonesia pada Oktober hingga November lalu itu.

Selain itu, menjadi usahawan atau menceburi bidang perniagaan menjadi pilihan utama belia Islam Malaysia (24.3 peratus), diikuti menjadi ibu bapa yang baik (18.4 peratus) dan menjadi kaya (14.9 peratus).

Kira-kira 73 peratus responden di Malaysia yakin keadaan ekonomi mereka akan meningkat, manakala 94.9 peratus percaya bahawa bekerja kuat akan menghasilkan kejayaan dan kekayaan. Pada masa sama, 94.2 peratus berpendapat mempunyai keluarga adalah keutamaan dalam mencapai kebahagiaan hidup.

Kajian itu juga mendapati, kira-kira 72 peratus belia Islam di Malaysia menyokong saranan supaya al-Quran menggantikan Perlembagaan Persekutuan, manakala 98.3 peratus berkata umat Islam tidak harus dibenar menukar agama.

Sebahagian besar responden menyokong langkah untuk memperkenalkan hukum Islam seperti memotong tangan atas kesalahan mencuri (71.5 peratus); hukuman mati ke atas pembunuh (92.5 peratus) dan hukuman sebat terhadap peminum arak (92.4 peratus).

Namun, 59.3 peratus belia Islam di Malaysia percaya bahawa keganasan mencemarkan nama baik Islam dan tiada sebarang petanda yang menunjukkan mereka memilih keganasan sebagai cara menuntut perubahan.

Malah sebahagian besar responden (62.4 peratus) mengutuk tindakan keganasan, walaupun mereka memandang Osama bin Laden sebagai pejuang kebebasan.

Walaupun secara umum, belia Islam Malaysia dilihat sebagai konservatif, kajian itu mendapati hanya 18.1 peratus responden berkata mereka kerap membaca al-Quran, manakala 28.7 peratus mengaku menunaikan solat lima kali sehari.

Sebahagian besar responden, walaupun mahu menjadi Muslim yang baik, lebih suka menonton televisyen, mendengar muzik dan melayari internet daripada pergi ke masjid.

Hasil kajian ini mungkin belum cukup untuk mencerminkan gambaran sebenar mengenai nilai belia Islam di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terbabit dalam membentuk generasi masa depan.

Yang agak menarik ialah sikitnya belia Islam mahu menjadi ahli politik. Jika kekalutan politik di negara ini boleh diandaikan menjadi faktor generasi muda tidak meminati bidang itu, kita bimbang perbalahan di kalangan ulama boleh menyebabkan generasi muda Islam mula menjauhi agama. Selamat berpuasa!


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan