Khamis, 26 Januari 2012

ISU AGAMA : Kepentingan dakwah, tarbiyah mengatasi isu penyelewengan akidah


PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


SUASANA masyarakat pada awal abad 21 sedang mengalami perubahan yang amat pesat dalam semua lapangan. Proses pembaratan yang berlaku diperkukuhkan lagi dengan strategi globalisasi yang menyebabkan corak komunikasi dan telekomunikasi berubah, sistem maklumat dan keilmuan menjadi sejagat dan rangkaian internet, website dan blog telah menjadi semakin dekat dengan masyarakat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda.

Kalangan pendakwah pula berdepan dengan cabaran baru yang lebih sengit. Sesetengah orang Melayu tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti yang berlaku pada tahun-tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Sesetengahnya mula terpaut dengan faham liberal akibat pengaruh Barat, materialisme dan konsumerisme yang semakin kuat khususnya di kalangan kelompok menengah Melayu.

Suatu aspek lain yang muncul ialah di sebalik usaha pengukuhan Islam dalam konteks pentadbiran Islam di Malaysia, mula muncul suara-suara di kalangan yang bukan Islam tentang makna pluralisme yang baru dan pengungkitan kembali aspek-aspek teras dalam Perlembagaan negara dan ia boleh menjejas hubungan antara kaum.

Oleh itu amat penting para pendakwah di abad ini mencari kebijaksanaan dalam mengambil pendekatan memilih kaedah yang terbaik dalam realiti yang pantas berubah. Pendekatan 'bawah ke atas' harus diperkasa dengan memberikan strategi alternatif terhadap isu Islam. Ilmuwan Islam sama ada yang lahir dalam orientasi Al Azhar, Jordan, Madinah, UIAM atau yang pernah belajar di Barat dan di Timur atau pernah terimbau dengan gerakan dakwah dan jamaah seharusnya mencari jalan terbaik bagaimana cabaran keilmuan menjadi faktor utama yang bakal menentukan arah aliran perubahan dan pembangunan masa depan.

Al-Quran adalah sumber ilmu. Manusia itu sendiri adalah dalam pencarian. Yang tersirat dalam al-Quran memberikan manusia kefahaman. Faktor fikir dan zikir memberikan manusia makna. Faktor makna sangat penting supaya akliah dan ruhhiyah bertaut membina keyakinan terhadap yang nyata dan yang ghaib.

Oleh itu melakukan dakwah dan tarbiyah mestilah dengan ilmu dan pendekatan. Ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijksana boleh mencetuskan perubahan kepada diri manusia. Ia terungkap dalam al-Quran dalam Surah An Nahl ayat 125 yang menganjurkan dakwah berlaku secara bijaksana, contoh teladan yang baik dan disampaikan dengan hujah yang terbaik.

Bagi saudara baru, di samping ilmu dan amalan yang harus diberi dan dididik, faktor contoh dan kebajikan harus dijadikan perhatian. Para pendakwah dan orang Islam sendiri seharusnya menjadi contoh kepada mereka. Apabila mereka menerima Islam, cabaran yang dihadapi tidak saja akidah dan ibadah tetapi cabaran yang sering terjadi ialah masalah dengan keluarga, pihak sekeliling malah sesetengah mereka dipinggirkan.

Dengan kesabaran menghadapi mereka, terus melakukan pendidikan terhadap mereka perkara kebajikan mereka harus diutama. Cabaran sebenar di kalangan saudara baru ialah selepas memeluk Islam. Perkara kebajikan mereka harus menjadi keutamaan para dai' dan murabbi dan pihak yang berkaitan. Mereka mendatangi Islam dengan harapan dapat berada dalam suatu jamaah.

Jamaah atau masyarakat Islam harus melihat mereka sebagai saudara yang perlu dibantu. Apabila menerima Islam kehidupan mereka menjadi lebih payah, mereka terasa dipinggirkan, ia menyebabkan pemurtadan berlaku. Oleh itu amat penting anggota umat melihat rakan saudara baru ini sebagai sebahagian daripada kita.

Lazimnya hal-hal kebajikan mengenai pekerjaan, perhatian, ziarah, kemiskinan menjadi isu. Kadang-kadang mereka didekati semula oleh ejen pemurtadan dan menyebabkan mereka kembali ke agama lama atau menganut agama baru yang menawarkan perhatian dan bantuan terhadap mereka.

Dalam kalangan orang yang sudah sedia Islam, pemurtadan boleh berlaku akibat kejahilan ilmu. Kefahaman mereka terhadap Islam amat terbatas. Keteguhan ilmu, iman dan takwa tidak ada. Apabila didekati oleh ejen pemurtadan mereka mudah terpengaruh.

Sebahagian dari mereka juga terjebak kerana faktor pergaulan, perkahwinan, kebendaan dan terlajak. Akibat kejahilan ilmu dan tiadanya pendidikan agama menyebabkan kekosongan jiwa diisi oleh fahaman atau anutan lain.

Sebab lain yang terjadi ialah faktor kemiskinan. Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran. Ejen-ejen pemurtadan sering mencari kesempatan ini dengan memberi mereka pekerjaan dan bantuan dan akhirnya mereka terpaut dengan agama yang mereka bawa. Sekali mereka terpaut tidak mudah untuk ditunjukkan jalan kembali. Oleh itu pendekatan pencegahan adalah lebih baik daripada langkah mengubati.

Justeru amat penting para dai' dan murabbi, anggota masyarakat Islam, organisasi Islam memberi perhatian lebih kepada usaha dakwah dan tarbiyyah khususnya di kalangan generasi muda di samping perhatian terhadap saudara-saudara baru.

Kepada orang Islam amat penting dibina fikrah Islami sejak awal umur lagi. Jadikan anak-anak ibarat ikan di laut masin, semasin mana sekitarnya daging ikan tetap tawar. Sehebat mana pengaruh sekelilingnya iman tetap teguh, akidahnya tetap kental dan tidak mudah untuk dirosakkan.

Kepada orang bukan Islam dan saudara baru, ilmu, kefahaman dan contoh teladan menjadi faktor penting mengajak mereka kembali kepada fitrah dan mengekal serta mengukuhkan mereka terus berada dalam Islam.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan