Jumaat, 27 Januari 2012
ISU SOSIAL : Keupayaan kawal emosi bawa kejayaan, kecemerlangan diri
Oleh Ma Hassan Salleh
Ramai tokoh dunia berjaya walaupun IQ tak tinggi
SEJAK akhir-akhir ini, media banyak melaporkan aktiviti remaja yang tidak bercorak konstruktif untuk pembangunan diri mahupun masa depan mereka dan negara.
Bermula dengan peristiwa demonstrasi menurunkan bendera Perdana Menteri hinggalah ugutan untuk meletupkan pesawat yang dinaikinya, ditambah pula dengan gejala mat rempit, gangsterisme, hedonisme melampau, seks bebas dan seumpamanya, semuanya menggambarkan kecelaruan dan ketidaktentuan arah tuju remaja untuk merancang masa depan cemerlang. Kecelaruan dan ketidaktentuan hala tuju di kalangan remaja ini berpunca daripada kegagalan mereka mengurus emosi.
Emosi sangat dominan ketika alam remaja. Dikatakan bahawa sebahagian besar tindakan yang dilakukan remaja berdasarkan emosi.
Apabila meningkat dewasa akal pula lebih dominan, yang mana sebahagian besar tindakan dilakukan berdasarkan pemikiran. Bagaimanapun pendapat ini tidak konsisten. Ada juga sebaliknya. Ini bergantung kepada sejauh mana tahap kecerdasan emosi dan intelektual yang dimiliki individu berkenaan.
Mengikut pandangan ahli psikologi, ada dua faktor utama menentukan kecemerlangan seseorang manusia. Pertama kecerdasan intelektual (IQ) dan kedua kecerdasan emosi (EQ). Walaupun IQ kelihatan begitu utama menentukan kejayaan seseorang individu, namun ahli psikologi menemui bukti bahawa faktor utama yang membawa kejayaan ialah EQ.
Ini dinyatakan oleh Goleman, D (1998) bahawa penilaian seseorang individu bukan saja diasaskan kepada IQ tetapi lebih penting ialah EQ. Faktor ini meninggalkan kesan mendalam dalam keseluruhan aspek kehidupan seseorang individu, termasuk kesihatan dan sosial.
Kecerdasan emosi ialah tahap keupayaan seseorang individu mengurus emosi. Ertinya jika seseorang sedang marah, dia berupaya mengawal kemarahannya itu dengan tidak melakukan perkara merugikan diri dan orang ramai ketika menunjukkan kemarahan itu.
Banyak kisah dan cerita menunjukkan tidak semua manusia mempunyai IQ tinggi berjaya dalam kehidupan. Sebaliknya, manusia yang mempunyai EQ tinggi lebih berjaya dan apabila diukur dari segi IQ berdasarkan taraf pendidikan adalah tidak seberapa.
Sebagai contoh, Bill Gates, pengasas Windows dikatakan seorang pelajar yang tidak dapat menghabiskan pelajaran tingginya tetapi sangat berjaya dalam dunia perniagaan perisian komputer.
Begitu juga dengan Tan Sri Lim Goh Tong, tidak fasih berbahasa Inggeris sebaliknya hanya berurus niaga dengan menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Melayu tetapi menjadi orang terkaya di Asia Tenggara dengan nilai kekayaan RM421.8 bilion.
Tun Abdul Ghafar Baba hanya seorang guru lepasan maktab perguruan, tetapi akhirnya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebaliknya, ramai orang yang memiliki IQ tinggi tetapi akhirnya menemui kegagalan dalam hidup mereka.
Secara umum, kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat berjaya dalam mengurus emosinya. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kutukan dan tohmahan, didapati beliau sentiasa tenang dan senyum ketika berucap atau menjawab soalan wartawan.
Berbeza dengan sesetengah ahli politik lain, sekali sekala menampakkan api kemarahan, melenting dan menjawab menggunakan nada suara tinggi serta bahasa kasar.
Berbalik kepada dua contoh tindakan remaja di atas, ia adalah fenomena yang diambil untuk melahirkan rasa marah, benci dan geram. Tetapi tindakan berasaskan emosi tidak dapat dikawal itu akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri dan orang ramai.
Ia memberi gambaran seolah-olah keseluruhan mahasiswa di negara ini mempunyai sikap, pemikiran dan nilai moral yang sama dengan mereka.
Jika sesuatu perkara itu tidak sealiran dengan kita, menyebabkan kita rasa marah, geram dan benci, kita masih boleh menyatakannya dengan pelbagai cara lebih bersopan dan bijaksana.
Menyatakan bangkangan untuk menggambarkan rasa tidak puas hati melalui tindakan keterlaluan di luar batasan kemanusiaan, agama dan nilai moral menggambarkan seseorang itu tidak mampu mengurus emosi.
Memang kita mempunyai hak kebebasan menyatakan setuju atau tidak setuju terhadap sesuatu perkara. Kita juga dibenarkan mengadakan demonstrasi secara aman seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2011. Tetapi berdemonstrasi dengan diikuti aktiviti merosakkan harta benda awam, menurunkan bendera Perdana Menteri, serta menyatakan ugutan meletupkan pesawat (walaupun berjenaka) tidak dapat diterima oleh masyarakat.
Kegagalan mengurus emosi bukan saja berlaku di kalangan remaja tetapi juga di kalangan orang dewasa. Ramai pemimpin kehilangan karier politik mereka kerana bertindak mengikut emosi.
Ramai juga usahawan, penjawat awam yang mempunyai kehebatan dari aspek akal atau intelektual, akhirnya tidak sampai ke mana kerana tidak dapat mengurus emosi. Akibatnya mereka dipecat, disingkir atau dengan rela hati menarik diri daripada sesuatu aktiviti.
Dalam mengurus emosi ada dua kecekapan yang perlu dimiliki; pertama kecekapan peribadi dan kedua ialah kecekapan sosial. Dalam konteks kecekapan peribadi, seseorang individu perlu menguasai tiga aspek iaitu kesedaran kendiri, pengurusan kawalan kendiri dan motivasi.
Kemahiran sosial pula mengandungi dua aspek utama iaitu kemahiran empati dan kemahiran sosial. Keupayaan menguasai dan mengurus gabungan kelima-lima elemen berkenaan membolehkan seseorang mempunyai kecerdasan emosi baik.
Kesimpulannya mengurus emosi sangat penting dalam kehidupan menuju kejayaan dan kecemerlangan. Daya intelektual tinggi tidak berguna jika gagal mengurus emosi dengan baik.
Justeru remaja yang berada di universiti atau di mana-mana saja, berlatihlah mengurus emosi. Kejayaan mengurus emosi adalah kejayaan dalam kehidupan. Kejayaan anda dalam kehidupan ialah kejayaan menjadi manusia berguna kepada diri, agama, bangsa, dan negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan