Khamis, 5 Januari 2012
ISU SOSIAL : Pengertian Tahun Baru bagi golongan remaja
Oleh NURUL IZZAH SIDEK
BAGI sesetengah remaja, tahun baru hanyalah suatu upacara untuk meraikan tanggal pertama bulan pertama dalam kalendar Masihi dengan menunggu upacara detik jam 12.01 tengah malam, bersorak beramai-ramai dan menyaksikan pertunjukan bunga api.
Sesetengah remaja merasakan bahawa tahun baru adalah saat untuk memperbaharui azam dan matlamat serta memperkemas strategi untuk menghadapi rancangan pada tahun tersebut.
Mungkin ada juga remaja yang merasakan tahun baru adalah hari-hari yang sama seperti seperti hari-hari pada tahun sebelumnya, melainkan memang ada perubahan besar yang berlaku dalam hidupnya pada tahun baru tersebut.
Tidak kira apa persepsi remaja terhadap tahun baru, hakikatnya tahun baru adalah sempadan pemisahan tahun yang berlalu dan tahun yang mendatang.
Menyambut tahun baru dengan azam baru dengan matlamat yang baik, tidaklah salah kerana itu juga tujuan penghijrahan kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah.
Detik penghijrahan itu yang dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam menunjukkan betapa pentingnya umat Islam untuk sentiasa berusaha mencari jalur hidup yang lebih baik.
Malah dalam kehidupan seharian juga orang Islam dituntut untuk bermuhasabah serta berusaha untuk memperbaiki diri menjadi orang yang lebih kompetitif, berdaya saing serta meningkatkan kualiti kehidupan.
Mata rantai kehidupan
Tahun-tahun yang berlalu merakamkan seribu satu peristiwa manakala pada tahun yang mendatang, para remaja yang menempuh tempoh keremajaan belum mengetahui keadaan pada tahun yang tersebut.
Justeru, remaja harus sentiasa bersikap reflektif terhadap tahun-tahun yang berlalu agar ia menjadi sumber teladan.
Jejak-jejak peristiwa pada tahun yang terdahulu boleh dijadikan asas atau landasan mengukuh tindakan pada masa hadapan. Yang tidak memberi manfaat pada masa lalu harus ditinggalkan untuk dijadikan sempadan manakala usaha yang berfaedah diteruskan dan dipertingkatkan.
Tahun-tahun terdahulu adalah ibarat mata rantai yang membawa peningkatan usia dan banyaknya pengalaman. Peningkatan usia adalah jalan menuju kedewasaan.
Remaja tidak akan kekal sebagai remaja dengan sifat keremajaannya tetapi akan berubah menjadi dewasa. Adakah di tahap remaja, mereka telah mempersiapkan diri dengan ilmu, kekuatan rohaniah dan pedoman-pedoman amali yang berguna?
Sekiranya para remaja hanya melalui peningkatan umur tanpa ilmu dan kosong pengalaman, para remaja berada di tahap kelompangan fikir dan kekosongan hati. Ini tidak akan mampu menjadikan remaja seorang yang matang dan bersedia untuk memasuki alam dewasa.
Tahap remaja adalah tempoh yang sangat kritikal bagi membentuk sikap dan cara berfikir yang positif. Tahap remaja adalah tahap ingin mencuba dan mengalami akan sesuatu.
Ada ketikanya para remaja terjebak dengan pelbagai corak, tingkah laku tanpa asas yang jelas membimbing remaja untuk menjadi orang dewasa yang berwibawa.
Oleh itu, mengingati masa lalu dan meneroka hari depan harus membina keinsafan remaja bahawa tanpa kekuatan ilmu, keterampilan serta kekuatan peribadi, tidak mungkin dewasanya dalam kematangan dan kehebatan.
Kedapatan para remaja cenderung untuk tidak mengalami perubahan dari segi pemikiran, watak dan peribadi akibat terpengaruh dengan elemen-elemen yang melalaikan.
Ini menyebabkan potensi remaja tidak dapat dikembangkan secara holistik (menyeluruh). Sebahagian remaja Malaysia umumnya sering terpikat dan terjebak dalam pengaruh media baru yang menyebabkan mereka kehilangan jati diri.
Memang sifat remaja yang sedang menuju ke alam dewasa masih tercari-cari tentang makna kehidupan lalu para remaja banyak bergantung kepada imej dan perkara di luar diri yang menyebabkan suatu proses pembelajaran tidak terbina dengan baik.
Kerenah lingkungan dan beban zaman
Justeru tahun baru yang mendatang diharapkan dapat mengatasi kelemahan-kelemahan pada masa yang lalu.
Antara kelemahan masa lalu dan cabaran hari depan ialah tidak ramai remaja yang benar-benar belajar daripada kesilapan silam sebaliknya terus mengukuhkan kesilapan silam yang menyebabkan para remaja menjadi beban zaman.
Beban zaman ini sekiranya dipikul menyebabkan para remaja tidak dapat belajar daripada kesilapan lalu dan akan terus mengulangi kesilapan yang sama pada tahun mendatang.
Oleh itu, bersikap reflektif terhadap kesilaman memberi manfaat yang besar kepada remaja kerana para remaja memerlukan teguran, nasihat pedoman dan bimbingan di kalangan mereka yang lebih dewasa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Jika tidak para remaja bakal menyelesaikan masalah masing-masing secara sendiri-sendiri. Lebih buruk lagi jika para remaja yang tidak memiliki kesedaran dan cetusan untuk berubah menjawab sendiri persoalan-persoalan di mindanya.
Amat penting bagi para remaja memiliki agenda diri untuk dilaksanakan pada tahun mendatang supaya tahun mendatang akan menjadi lebih baik daripada tahun dahulu.
Fokus terpenting remaja pada ke arah peningkatan pada zaman kini ialah memperkasakan ilmu pengetahuan dan keterampilan diri. Tanpa ilmu, tidak mungkin para remaja mampu menghadapi cabaran zaman serta kerenah lingkungan.
Cabaran zaman tidak sahaja membawa arus kemodenan tetapi ia boleh menyebabkan jati diri remaja terheret sama berubah menjadi seperti lalang ditiup angin.
Kerenah lingkungan bermakna cabaran semasa yang sifatnya berubah-ubah. Bayangkan para remaja yang melalui jalur perubahan yang tidak terarah, boleh menyebabkan para remaja tidak memiliki dan mengalami manfaat berbanding yang bertambah.
Sebaliknya bertambahnya usia remaja bakal menampilkan watak remaja yang tidak mampu menghadapai masalah zaman yang dihadapi. Oleh itu, para remaja harus bersedia untuk merenung secara mendalam garis pedoman untuk menjadi orang yang berdaya maju dan upaya kompetensi yang baik.
Memilih jalan mediocre (jalan sederhana) semata-mata tidak akan mampu melonjakkan remaja untuk menjadi orang yang cemerlang.
Ini adalah antara kelemahan umat Islam pada masa kini iaitu berasa rendah diri dengan keupayaan masing-masing serta merasakan mereka tidak mampu menandingi kehebatan orang Barat ataupun daripada bangsa-bangsa negara lain yang lebih maju.
Dalam hal ini remaja perlu sedar bahawa bangunnya tamadun mereka pada hari ini adalah kerana sumbangan tamadun Islam kepada mereka suatu masa dahulu, jika tidak umat Islam akan selamanya menjadi umat pengguna.
Perlu diingat bahawa maju dalam acuan kita sendiri adalah sangat penting kerana ia menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri yang kukuh dalam membangun masyarakat maju dan berdaya saing.
Pendek kata, dalam usaha melonjakkan diri dalam kelompok terbaik, nilai-nilai murni dan jati diri harus diperkukuhkan supaya ia bergerak seiring dengan pencapaian yang berbentuk mekanistik.
Justeru azam tahun baru harus terbina atas asas peningkatan ilmu, peningkatan kualiti peribadi agar dapat dimanfaatkan kepada pembangunan bangsa dan umat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan