Isnin, 27 Februari 2012

ISU BAHASA : DBP teruskan usaha mantapkan bahasa Melayu


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) akan meneruskan usaha memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, rasmi dan pengantar ilmu yang utama selaras dengan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan berkata, DBK penting bagi menjamin keseimbangan pembangunan di negara ini agar turut memberi penekanan pada aspek modal insan yang sama penting dengan pembangunan fizikal seperti jambatan, jalan raya dan bangunan.

“DBP akan cuba memenuhi cita-cita negara dalam menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman terutama daripada segi bahasa, ilmu dan sastera yang dapat menghaluskan budi pekerti serta pemikiran masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan DBP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shahrudin.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Sasaran Kerja Utama (SKU) yang dirancang DBP bagi tempoh 2011 sehingga 2015.

Antara program yang dirancang DBP ialah Muzakarah Bahasa dan Persuratan pada 17 dan 18 Mac ini yang akan menghimpunkan kelompok pemegang kepentingan dalam soal bahasa, sastera dan ilmu termasuk budayawan, media, ahli bahasa serta pakar sains mahupun teknologi.

“Dengan menjemput kelompok pemegang kepentingan ini, kami berharap kami tidak bergerak sendiri dalam hal ini, tetapi bergerak bersama-sama seluruh sektor masyarakat negara ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan