Ahad, 19 Februari 2012

ISU BAHASA : Menyemarakkan budaya debat


SAIFUDDIN ABDULLAH

Pada 15 Februari lalu, saya menghadiri pertandingan Debat Diraja antara universiti yang dihoskan oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebagai antara pengasas pertandingan ini dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), iaitu penganjurnya dan selaku penasihat Alumni Debat Institusi Pengajian Tinggi (ADI) serta bekas pendebat dan jurulatih debat, saya amat teruja serta puas menghadirinya.

Pertandingan ini bermula pada 1995 dengan kategori Bahasa Melayu dan Inggeris. Kini, telah ada kategori bahasa Arab dan ada cadangan untuk ditambah dengan bahasa Mandarin dan Perancis.

Terdapat lebih 10 pertandingan debat antara universiti dalam Bahasa Melayu. Begitu juga dalam bahasa Inggeris. Justeru, universiti mempunyai lebih daripada satu pasukan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan itu. Tetapi, pasukan terbaik dihantar ke Debat Diraja kerana ia pertandingan paling berprestij.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada johan dan naib johan tahun ini, iaitu bagi Bahasa Melayu: Universiti Malaya (UM) dan USM; bahasa Inggeris: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dan bahasa Arab: UIAM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).



Namun, debat tidak terhad hanya dalam bentuk pertandingan. Ia juga bukan semata-mata soal menang dan kalah. Terdapat debat dalam bentuk lain. Ada yang menggunakan istilah lain, iaitu forum, diskusi, wacana dan sebagainya.

Debat melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak yang membicarakan sesuatu tajuk di hadapan khalayak. Ia wahana untuk mengemukakan dan mempertahankan idea bagi menghasilkan idea yang lebih baik. Ia antara teras dalam disiplin dan budaya ilmu dan digunakan dalam banyak bidang.

Debat antara pendekatan dalam dakwah Islamiah, iaitu seperti dinyatakan an-Nahl:125, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik...”.

Dalam tradisi Islam, terdapat perdebatan ilmu yang hebat di antara para sarjananya. Buku-buku besar ditulis berdasarkan perdebatan tersebut. Sekolah-sekolah agama mempunyai pasukan debat yang kuat.

Debat telah diterangkan dengan sistematik oleh Aristotle dalam bukunya Ars Rhetorica (Seni Retorika). Menurutnya, pendebat perlu memiliki sifat ahli logik dan ahli psikologi.

Mesej dan pembuktian yang dibawa pendebat boleh dicapai melalui tiga elemen utama, iaitu hujahannya, keperibadiannya dan emosinya. Ini serupa dengan tiga elemen utama perdebatan moden, iaitu isi, penghujahan dan penyampaian.

Meskipun Aristotle orang pertama menulis tentang debat, tetapi Socrates telah lebih awal menggunakan debat, iaitu dengan menyoal pelajar-pelajarnya sehingga menimbulkan perdebatan. Kaedah ini dikenali sebagai Soalan Socrates.

Ia adalah asal-usul pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam dunia pendidikan hari ini. Debat pendekatan paling klasik dan efektif untuk mengasuh dan memperkukuh pemikiran intelektual dan memupuk akal budi dalam kepetahan, kejelasan dalam pemikiran dan luahan serta keadilan dalam penilaian.

Dari segi modal insan, debat memenuhi tiga objektif, iaitu, kemampuan berkomunikasi dengan efektif, berfikiran kritikal dan memberi alasan bermoral. Dalam dewan legislatif, debat adalah proses memutuskan peruntukan dan perundangan.

Dalam perundangan, debat adalah kaedah mencari kebenaran dan keadilan. Politik baru yang sihat, segar, progresif dan matang, menggunakan debat untuk memberi peluang kepada rakyat, yang semakin cerdik, menilai dasar dan program ditawarkan pihak-pihak bertanding. Debat ada adab dan etikanya. Ia budaya yang perlu disemarakkan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan