Isnin, 20 Februari 2012
ISU PENDIDIKAN : 35,000 guru, pelajar jadi ejen antidadah
Seramai 35,000 guru dan pelajar telah dilatih sebagai ejen perubahan pencegahan dadah di sekolah di seluruh negara sejajar dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia Sekolah Bebas Dadah 2012.
Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, bagi memastikan matlamat murni itu tercapai, Pemuafakatan Program Pencegahan Dadah (PPDa) antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Petronas telah dilaksanakan.
Menurutnya, fokus pelaksanaan program adalah kepada aktiviti-aktiviti luar bilik darjah yang memberi peluang kepada pelajar mengetahui dengan lebih mendalam tentang akibat penyalahgunaan dadah dan langkah pencegahan untuk menghindari diri daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Ia juga selari dengan usaha membangunkan modal insan yang memiliki ketahanan dan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.
"Selain itu, ia membentuk nilai PPDa iaitu budaya sihat, tingkah laku positif, amalan nilai murni dan sikap benci dadah di kalangan warga sekolah sejak dari kecil lagi," katanya ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Program Sahabat PPDa-Petronas 2011 di Bukit Gambang Resort Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mazlan Mohamad yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin.
Haniff memberitahu, tujuan program ini juga adalah untuk mewujudkan permuafakatan warga sekolah dengan masyarakat luar sekolah dalam usaha mencegah dadah selain menyediakan alternatif yang berfaedah supaya dapat menyekat pelajar daripada terlibat dengan dadah.
Tambah beliau, melalui permuafakatan tersebut ia memberi peluang penglibatan ramai pelajar dan memberi pengalaman kepada pelajar untuk meningkatkan motivasi ke arah kecemerlangan hidup.
Katanya, usaha pihak sekolah menyediakan sama ada bilik sumber dan sudut/lorong PPDa dengan pelbagai informasi berkaitan pendidikan dadah, rokok, inhalan, arak dan HIV/Aids adalah usaha yang sangat baik.
"Majlis Anugerah Alumni Sahabat PPDa-Petronas kemuncak kepada program Sahabat PPPDa-Petronas yang mula diwujudkan sejak tahun 2009 dalam membantu Kementerian Pelajaran menghapuskan penyalahgunaan dadah pada tahun 2012," jelasnya.
Hal ini ujarnya, adalah tanggungjawab sosial Petronas seperti mewujudkan Universiti Petronas atau Petrosains kepada pelajar supaya rakyat Malaysia lebih berpendidikan serta celik sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan