Khamis, 22 Mac 2012

ISU SOSIAL : Apabila jenayah jadi punca rezeki


Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my


ADAKAH kita berada di dunia yang semakin tidak selamat? Mampukah kita mengekang jenayah yang boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana saja dan tidak mengira sesiapa pun boleh menjadi mangsa?

Sememangnya catatan tentang jenayah mutakhir ini amat membimbangkan. Boleh saja diakui bahawa dunia tidak lagi selamat. Manakan tidak, dalam sekelip mata kawasan yang dahulunya selamat tiba-tiba digemparkan dengan kejadian jenayah.

Pernahkah kita terfikir kawasan tempat kita tinggal yang aman damai rupanya menjadi sasaran penyamun atau penculik. Bayangkan sebuah keluarga yang baru berpindah sedang sibuk menurunkan barang-barang dari lori.

Dalam sibuk seisi keluarga berulang-alik mengangkut barang, datang seorang yang tidak dikenali masuk ke perkarangan rumah selamba mengangkat dua kotak, menuju ke kereta yang sedang menunggu dan terus cabut lari.

Seorang wanita membuka pintu pagar, memasukkan barang di dalam kereta dan mengunci pintu rumah. Belum pun lima saat dia menoleh, seorang lelaki menerpa, membuka pintu kereta dan membawa lari beg tangan dalam sekelip mata.

Satu lagi kejadian, seorang ibu muda di dapur dan dua anaknya leka bermain komputer riba. Suasana senja, tanpa dijangka seorang lelaki menerjah masuk dan merampas komputer riba serta telefon mudah alih yang di atas meja.

Kejadian tersebut adalah contoh kecil bagi menggambarkan betapa mudahnya penjenayah mencari ruang serta kesempatan untuk melakukan jenayah. Bagi mereka masa adalah emas. Setiap saat adalah peluang. Jenayah adalah pekerjaan yang tidak diiktiraf tetapi menjadi pilihan banyak orang sama ada profesional atau amatur.

Justeru mereka mesti berada di mana-mana. Sebab itu dalam dunia sekarang, jenayah boleh berlaku di mana-mana hatta di hadapan mata dan masa yang membezakan antara peluang dan kejadian hanya seminit, atau beberapa saat cuma.

Kalau 30 tahun dulu, kita boleh mengkategorikan kawasan jenayah. Bandar A adalah kawasan hitam, manakala bandar B pula kurang sedikit hitamnya, banyak kawasan yang putih catatan jenayahnya.

Dahulu ada kawasan milik kongsi gelap, ada kawasan milik gengster, akan berlaku pertumpahan darah jika kawasan mereka dicerobohi. Manakala kawasan-kawasan lain adalah selamat, sesekali dicerobohi pencuri yang terdesak mungkin sebab terlalu kelaparan atau kesempitan wang untuk meneruskan hidup.

Di kampung-kampung misalnya, kanak-kanak bebas bermain. Tidak kira 100 meter dari rumah atau 500 meter atau bermain keliling kampung sekali pun, jarang sekali kedengaran anak-anak diculik.

Paling-paling menakutkan pun dikejar orang gila, itu pun tidak selalu. Kalau dikejar pun kebiasaannya angkara diri sendiri mengusik orang gila yang tidak tahu apa akhirnya lari lintang pukang ketakutan akibat dikejar.

Pergaulan di kalangan kanak-kanak dahulu juga tidak terbatas. Lelaki bebas bermain dengan kanak-kanak perempuan. Tidak ada ketakutan, jauh sekali rasa bimbang. Sesekali ibu bapa mengingatkan anak-anak perempuan supaya jaga diri, jangan terlalu bebas dan ada waktu wajib pulang ke rumah.

Waktu makan tengah hari misalnya, akan kedengaran suara ibu atau ayah sayup-sayup melaungkan nama anak-anak mereka mengajak pulang makan bersama - yang sememangnya menjadi kewajipan.

Senja pulang ke rumah, selepas maghrib keluar mengaji dan seterusnya rutin kanak-kanak zaman 1970-an dan awal 1980-an berulang termasuk mandi di telaga ketika matahari belum melimpahkan sinarnya. Jarang sekali kanak-kanak menjadi mangsa jenayah biarpun persekitaran seperti hutan, keadaan gelap gelita kerana ketiadaan elektrik amat sesuai untuk perlakuan jenayah.

Namun siapa yang mahu melakukan jenayah ketika itu dan beranikah mereka berbuat demikian? Hampir setiap orang di dalam kampung mengenali antara satu sama lain. Jika ada anak-anak bergaduh maka berita tersebar begitu cepat. Sampai ke telinga si bapa, siaplah si anak menunggu hukuman rotan.

Jika ada pun yang cuba-cuba mengusik anak perempuan jiran, pantas diberi amaran. Ada satu atau dua kes terlepas, cepat sahaja si pelaku dipaksa memikul tanggungjawab.

Tentunya semangat kejiranan, sikap menjaga tepi kain orang dan 'anak kau, anak aku' menyelamatkan kanak-kanak zaman dahulu daripada menjadi mangsa jenayah. Keadaan itu juga tidak memberi ruang kepada jenayah untuk berlaku. Istilah 'mendapat malu' 'menconteng arang ke muka' mengekang jenayah daripada menjadi pekerjaan seperti mana sekarang ini.


Dalam dunia serba moden, kita tidak lagi mengenal siapa di dalam komuniti, ada yang lebih parah jiran pun tidak dikenali. Sebab itu amat penting bagi sesiapa sahaja untuk mengambil langkah berhati-hati memastikan anak-anak tidak berseorangan di luar rumah.

Ini kerana kawasan perumahan yang kita fikir selamat hari ini boleh saja menjadi tidak selamat esok atau lusa. Tentunya kerana ada saja pendatang baru yang bukan saja tidak dikenali malah tidak diketahui sejauh mana murninya hati mereka.

Menyalahkan ibu atau bapa mangsa jenayah seperti mana dalam kes Nurul Nadirah Abdullah, Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan, Nurin Jazlin misalnya adalah amat tidak adil. Selama ini kawasan persekitaran tempat tinggal mereka adalah selamat.

Nurin misalnya biasa ke pasar malam. Tidak ada kejadian luar biasa menimpa kanak-kanak itu. Begitu juga dengan Nurul Nadirah. Ke kedai membeli mi segera dan telur mungkin telah menjadi kebiasaan atau rutin kanak-kanak itu.

Sebab itu ibu bapa kanak-kanak malang itu berfikiran positif dan bersangka baik bahawa keselamatan anak mereka terjamin lantaran beberapa tahun mendiami kawasan tersebut mereka sekeluarga selamat. Mungkin tidak tercapai dek fikiran mereka bahawa penjenayah zaman sekarang sememangnya sentiasa berlegar di mana-mana mencari ruang serta peluang.

Justeru, dalam mengekang jenayah, bukan hanya ibu bapa. Bukan juga pihak berkuasa. Sebaliknya, semua pihak baik jiran, guru, pekedai, tukang sapu atau sesiapa sahaja di dalam komuniti mesti memainkan peranan. Kembali kepada tradisi di mana keselamatan kita adalah tanggungjawab bersama.


Dalam keadaan ada sekelompok manusia yang menjadikan jenayah sebagai punca rezeki, kita tidak mempunyai banyak ruang untuk mementingkan diri sendiri. Kelompok yang kecil itu semakin membesar kerana jenayah kini adalah peluang untuk mencipta kekayaan.

Kanak-kanak dijadikan peminta sedekah untuk mengayakan si penjenayah. Kanak-kanak dirogol dan dibunuh semata-mata untuk memuaskan nafsu si penjenayah, maka apa lagi pilihan kita selain bersatu hati memerangi jenayah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan