Sabtu, 31 Mac 2012

ISU SOSIAL : Kasih sayang lahirkan empati


Oleh Sharifah Hayaati
bhagma@bharian.com.my


Sifat ithar bantu hilang sikap individualistik, egoistik

DALAM kesibukan bekerja mencari rezeki serta berurusan dengan masyarakat, kadangkala kita menjadi terlalu individualistik. Yang dikejar hanyalah kepentingan diri.

Justeru, tanpa disedari, kita menjadi ibarat pekerja tanpa jiwa. Apabila memberikan layanan perkhidmatan seperti robot yang diatur butir bicara dan skripnya, apabila melemparkan senyuman hambar seperti terpaksa, apabila berhadapan masalah mudah lepas tangan dan menyalahkan orang, apabila sesuatu masalah bukan dalam bidang dan skop kerja, tidak langsung menunjukkan minat membantu. Pelbagai sikap, membentuk suasana persekitaran kerja yang boleh menjejaskan komunikasi kita.

Namun, ada banyak contoh yang perlu diteladani supaya kehidupan kita dirahmati. Ada yang bekerja serta melayan pelanggan dengan sepenuh hati, berhemah, bersungguh-sungguh, sabar dengan kerenah dan kehendak mereka. Berusaha menyegera dan memudahkan urusan perkhidmatan, mendidik pelajar dengan dedikasi, mengubati pesakit, meringankan beban mereka yang dalam kesempitan, mengawasi keselamatan, kesesakan lalu-lintas dan kemalangan, melindungi anak yatim, HIV Aids, menyediakan rumah perlindungan dan pendidikan kepada mereka, mencari penawar ketagihan dadah dan pelbagai usaha lain yang menunjukkan keprihatinan dan kepekaan sosial terhadap masyarakat di mana saja kita bertugas sama ada di hospital, pejabat, sekolah, masjid dan lain-lain. Ia adalah petunjuk sifat empati yang ada dalam diri.

Justeru, jika simpati bermaksud rasa kasihan terhadap masalah dan kesusahan orang lain, empati pula istilah yang menggambarkan perasaan melebihi simpati iaitu tidak sekadar dengan mendengar apa juga yang dikongsikan tetapi cuba memahami dan menyelaminya disertakan dengan bantuan. Sama ada nasihat, bimbingan, kaunseling mahupun tenaga dan wang ringgit. Sifat empati membuka jalan kepada yang bermasalah untuk tidak berada pada jalan buntu, sebaliknya menemui nafas baru menjalani kehidupan dengan lebih berjaya.

Empati boleh dipupuk bukan semata-mata dengan pendidikan, tetapi perlu dirasai sendiri. Semakin luas pengalaman melalui pahit maung kehidupan, semakin mudah kita memahami dan merasai penderitaan orang lain. Tetapi semua memerlukan kesedaran minda mengenai kelebihan mereka yang memiliki sifat empati, selain perlu sentiasa nasihat menasihati terutama apabila mengecapi kesenangan. Ia juga perlu dilakukan bersama-sama. Jika hanya sebelah pihak memiliki sifat ini sedangkan yang menerima tidak menghargai, malah mengambil kesempatan serta tidak mencontohinya, maka dikhuatiri berlaku ‘jurang nilai’ yang lama-kelamaan menghakis sifat manusiawi yang mulia.

Islam amat menekankan umatnya memiliki sifat empati melalui pelbagai panduan dan galakan. Malah lebih tinggi nilai dirinya kerana berkait rapat dengan keimanan seperti sifat ithar. Antaranya Allah menyebut dalam Surah al-Dahr mengenai golongan Abrar (yang berbuat kebaikan) dan kenikmatan kekal disediakan baginya. Antara sifat mereka ialah memberi makan kepada orang miskin, anak yatim dan yang dalam tahanan walaupun mereka memerlukannya.

Perkataan ‘ala hubbihi’ bermaksud walaupun mereka sayang berbuat begitu menunjukkan yang menghulur itu juga memerlukan makanan itu tetapi mereka mendahulukan golongan lebih memerlukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbandingan orang Mukmin dalam soal kasih sayang, belas ihsan dan keprihatinan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Apabila ada anggotanya sakit, maka seluruh badan sakit, tidak dapat tidur dan demam.” (Hadis Muttafaq alaih)

Justeru, tidak hairanlah sahabat Nabi sanggup mengorbankan harta, nyawa dan berhijrah. Jiwa empati mereka memikirkan orang lain serta meyakini bahawa apa yang dilakukan tanda kasih kepada Allah akan mendapat balasan. Dalam Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir mengisahkan pemuda bernama Huzaifah al-Adawi yang mencari sepupu Ikrimah yang parah dalam peperangan di Yarmuk untuk diberikan minuman. Tetapi apabila dibawa air kepadanya, ia mendengar suara sahabatnya yang lain mengaduh kesakitan akibat cedera juga. Lalu diminta kepada sepupunya untuk memberi air itu kepada sahabat berkenaan, tetapi seperti juga dia, sahabat itu tidak terus minum kerana mendengar suara kesakitan yang lain lalu meminta agar air itu diberikan terlebih dulu kepadanya. Tetapi belum sempat air diberi, sahabat itu meninggal dunia dan apabila Huzaifah kembali kepada yang kedua, dia juga meninggal dan begitu juga sepupunya. Semua mereka tidak sempat minum air itu semata-mata mendahulukan orang lain yang dirasakan lebih memerlukan daripadanya. Semoga Allah merahmati mereka kerana jiwa kasih sayang yang tinggi melahirkan pengorbanan iaitu empati. Barangkali jika ditanya pada diri, mampukah kita melakukan sedemikian? Atau paling tidak, tidak membiarkan begitu saja? Marilah kita renungkan sejenak sejauh mana sifat ini menjalar dalam diri kita. Sejauh mana kita berusaha membudayakannya dalam persekitaran kita? Kerana menilainya juga bererti kita menilai tahap keimanan sendiri.

Justeru apabila menilainya dalam organisasi, maka kita sedar bukan nyawa dan harta yang perlu dikorbankan. Yang perlu ialah sifat empati dengan berusaha mengubah sedikit cara bekerja yang individualistik, egoistik, sombong, berat tulang dan lidah kepada saling membantu, saling mengambil tahu, saling prihatin, saling menyelesaikan masalah dan mengambil tindakan dengan penuh bertanggungjawab. Sifat ini meringankan yang berat dan memudahkan yang sukar dalam bekerja dan Insya-Allah setiap niat, hasrat dan komitmen kita diberkati.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan