Isnin, 19 Mac 2012

ISU SOSIAL : Pendermaan organ Melayu-Islam


DR MASHITAH IBRAHIM

Antara punca kecilnya bilangan orang Melayu-Islam menderma organ ialah anggapan ia perbuatan menganiaya jenazah. Ada juga keadaan di mana orang yang berniat menderma organ tidak diketahui waris, justeru apabila beliau meninggal dunia pihak keluarga tidak membenarkan organnya dipindah atau didermakan.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perlunya usaha dan pendekatan baru untuk meningkatkan bekalan organ. Pada 2011, hanya 47 organ dan tisu kadaverik (penderma yang meninggal dunia) didermakan. Ini pun dikira banyak, kerana bilangannya lebih kecil pada tahun-tahun sebelumnya.

Padahal bilangan mereka yang menunggu bekalan ginjal lebih 11,000 orang, selain mereka yang perlukan gantian hati, paru-paru dan mata. Setiap tahun, lebih 4,000 orang alami kegagalan fungsi organ kerana penyakit dan faktor lain. Tempoh menunggu biasanya bertahun-tahun. Hakikatnya, ramai yang mati dalam keadaan tidak sempat memperoleh organ ganti.

Orang Melayu-Islam tidak perlu was-was dari segi agama. Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1970 memutuskan bahawa pendermaan organ si mati kepada orang lain atau menerima organ orang bukan Islam dibenarkan, selagi tiada unsur jual beli kerana organ adalah kurniaan ALLAH SWT yang tiada nilai gantinya.

Dr Yusuf Qaradhawi mengatakan bahawa mengikut syariat, tubuh manusia adalah miliknya dan ALLAH SWT. Walaupun diri manusia amanah ALLAH SWT, namun dia diberi kuasa untuk menguruskan dirinya sendiri, sama seperti dia menguruskan hartanya. Bezanya ialah sementara seseorang itu boleh dermakan semua hartanya, dia tidak boleh dermakan semua tubuhnya.

Ramai ulama bersetuju dengan keharusan menderma organ kerana ia memenuhi salah satu maqasid syariat Islam, iaitu memelihara nyawa. Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di mana mata pejuang Islam Qadatal bin Nukman telah terkeluar dalam satu peperangan lalu dipindahkan semula oleh Rasulullah SAW.

Begitu juga dengan Muawiyah bin Afra dan Habeeb bin Yusuf yang terputus tangan mereka ketika berperang. Tangan-tangan mereka disambung semula melalui kaedah pemindahan organ.

Beberapa cadangan diutarakan untuk meningkatkan bilangan penderma organ.

Antaranya meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan pelajar dan belia, khususnya antara umur 15 hingga 25 untuk menjadi pengikrar dan penderma organ, selain menempatkan kaunselor untuk berunding dengan waris mangsa kemalangan jalan raya bagi mendapatkan kebenaran pindah organ untuk didermakan.

Ada juga cadangan supaya semua pemandu berikrar secara automatik apabila memohon atau perbaharui lesen. Dengan cara ini, organ mereka boleh diambil jika berlaku nahas kemalangan dan dipindahkan kepada orang lain yang memerlukan.

Di Sepanyol, misalnya, semua yang meninggal dunia dikira penderma organ kecuali dimaklumkan sebaliknya. Kerajaan membelanjakan kira-kira RM171 juta antara 2001 dan 2010 - diberi sebagai subsidi kepada pelbagai NGO yang sediakan perkhidmatan dialisis kepada orang ramai. Setakat ini, lebih 23,400 pesakit buah pinggang mendapat manfaatnya.

Di Malaysia dan kebanyakan negara lain, pemerdagangan organ diharamkan, selaras dengan prinsip panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pemindahan organ. Satu Akta Transplantasi Organ sedang digubal untuk mencegah kegiatan ini.

Dalam pada itu, rekod Hospital Kuala Lumpur menunjukkan lebih 1,000 rakyat negara ini pernah ke China dan India untuk mendapatkan organ, walaupun menghadapi risiko seperti jangkitan penyakit, radang hati, HIV, hepatitis B dan komplikasi organ baru berfungsi. Ada yang membayar antara RM70,000 hingga RM250,000 untuk sesuatu organ.

Terdapat lebih 190,000 pengikrar derma organ di negara kita, tetapi hanya 16 peratus ialah Melayu-Islam. Bilangan penderma kadaverik Melayu-Islam antara 1976 hingga 2011 hanya 18 orang. Oleh sebab orang Melayu-Islam paling rendah menderma, mereka bagaikan ‘menagih’ organ daripada bukan Islam.

Justeru, agensi seperti jabatan agama pusat dan negeri, dan NGO Islam perlu memainkan peranan lebih giat hebatkan kempen. Tidak timbul soal organ Islam atau bukan Islam; yang utama ialah akidah dan amalan di dunia.

Pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar kelak, setiap manusia akan dihisab amalannya, bukan kerana kurang organ atau menggunakan organ orang lain.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan