Khamis, 12 April 2012
ISU BAHASA : Surat terbuka dua kepada Kementerian Pelajaran
Bersama Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my
HARI Sastera Nasional Ke-15 sudah lebih tiga minggu berlalu, tetapi tetap menjadi sebutan dalam kalangan orang sastera sehingga kini bukan kerana kehebatan program itu, tetapi dek resolusi agar sastera dijadikan mata pelajaran wajib bermula prasekolah ditolak Kementerian Pelajaran.
Cadangan itu antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama-sama 22 kerabatnya ditolak Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, tanpa sebarang rundingan.
Alasan beliau ialah pembelajaran sastera sebagai subjek elektif di sekolah menengah sekarang sudah mencukupi dan tidak perlu diperluaskan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem persekolahan kebangsaan.
Sudah pasti penolakan mentah-mentah itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang sastera yang sejak sekian lama sememangnya tidak puas hati dengan layanan yang diberikan pada bidang terbabit dalam sistem pelajaran mahupun pembangunan negara.
Penekanan berlebihan pada subjek yang membawa pulangan material kepada pelajar generasi kini demi mengejar kemajuan negara menyebabkan nilai murni yang dilihat orang sastera ada dalam sesetengah teks sastera terpilih, tidak dikongsi apalagi dihargai pihak lain.
Jika orang sastera beranggapan segala macam nilai murni yang terkandung dalam teks sastera terpilih ‘wajib’ dikongsi dengan generasi masa depan sebagai pewaris negara, tetapi orang di luar bidang itu masih ‘dihantui’ serta dibelenggu dengan tanggapan naskhah sastera hanya khayalan!
Alangkah moleknya jika Kementerian Pelajaran menangani permintaan terbabit secara lebih panjang akal dengan mengadakan rundingan meja bulat yang membabitkan pakar bidang dan mereka yang arif dalam bidang ini sebelum menolak cadangan berkenaan.
Jika Kementerian Pelajaran boleh melayan permintaan sesetengah kumpulan yang sah bersifat perkauman dan enggan menerima hakikat sejarah bangsa mereka apalagi negara berhubung Interlok karya Sasterawan Negara Ke-9, Datuk Abdullah Hussain, mengapa tidak cadangan menjadikan sastera sebagai mata pelajaran wajib melalui proses sama?
Dengan segala macam kekalutan dalam masyarakat Malaysia yang diamuk gelombang globalisasi nan menggila lagi menyesatkan kini, kelompok sasterawan yakin bahawa antara penyelesaian terbaik ialah dengan memperkenalkan semula sastera sebagai satu subjek wajib.
Selemah-lemah sastera sebagai subjek yang mampu memberi pulangan material, tiada siapa boleh menafikan kehadiran nilai kemanusiaan dalam setiap naskhah tanpa menafikan ada naskhah yang diangkat sebagai teks hanya biasa-biasa dan ‘teruk’, sedangkan sepatutnya karya agung didahulukan!
Penulis tidak menafikan kerajaan sudah pun memperkenalkan Agama dan Moral sebagai satu mata pelajaran wajib untuk bekalan membina sahsiah diri mereka, tetapi penulis yakin pendekatan terbabit kurang menarik minat pelajar kerana subjek itu lebih bersifat ‘khutbah’ dan hafalan.
Sebahagian besar mereka membaca kedua-dua subjek itu untuk lulus periksa daripada menghayati dan mengguna pakainya dalam kehidupan seharian mereka, sama seperti membaca teks sastera dalam Komponan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
Persoalan ketiadaan guru untuk mengajar sekiranya sastera dijadikan subjek wajib sebenarnya tidak timbul kerana khidmat mereka kini sudah digunakan bagi mengajar KOMSAS serta boleh diberi latihan semula bagi meluaskan kemahiran mengajar.
Perjuangan orang sastera yang melahirkan KOMSAS dengan harapan lebih ramai penulis negara ini akan dikenali pelajar bagi penulis ibarat ‘senjata makan tuan’ kerana senario semasa menunjukkan terlalu sedikit karya dengan nilai murni dan sarat estetika diangkat sebagai teks.
Lambakan teks dalam KOMSAS tidak menggalakkan pelajar untuk membaca naskhah, sebaliknya menghafal isi buku bimbingan peperiksaan kerana teks terlalu banyak sedangkan soalan yang dikemukakan dalam kertas peperiksaan terlalu sedikit serta tidak berbaloi diberi tumpuan!
Lalu yang beruntung dalam kes KOMSAS ialah pengarang yang karya mereka diangkat sebagai teks kerana mendapat keuntungan daripada habuan honororium dan paling mencatat keuntungan berlipat ganda ialah penulis buku bimbingan peperiksaan, buku rujukan dan penerbit buku terbabit!
Meskipun laungan sasterawan bahawa teks sastera mampu menyemai budaya membaca pelajar boleh dipertikaikan, tetapi setidak-tidaknya pelajar diberi ruang untuk masuk ke dunia ‘pelarian’ terbimbing berhubung realiti kehidupan daripada membiarkan mereka teraba-raba!
Tidakkah perkembangan ilmu sastera hari ini dapat membuka hati nurani mereka yang berkenaan di Kementerian Pelajaran betapa kebijaksanaan manusia Melayu dirakam rapi dalam karya agung Melayu antaranya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, dengan syarat ia dibaca secara berlapis.
Pemikiran kritis bangsa Melayu silam seperti Raja Ali Haji umpamanya yang terpancar dalam Gurindam Dua Belas membuktikan betapa tokoh itu berpijak di bumi nyata dan bukan khayalan sehingga segala macam sikap serta tegurannya dalam karya sememangnya benar sehingga ke hari ini!
Ralat juga penulis apabila membaca kenyataan akhbar yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran berhubung bantuan kewangan yang diberikan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.
Mana tidaknya, perkataan bursary yang bermaksud biasiswa dikekalkan penggunaannya seolah-olah takut menggunakan istilah sedia ada dalam bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini dan inilah padahnya apabila tidak yakin dengan kelebihan bahasa Melayu!
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan