Khamis, 26 April 2012
ISU KENEGARAAN : Melayu jumlah tertinggi pengundi baru
KUALA LUMPUR 25 April - Seramai 2,270,002 pengundi baru telah didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan orang Melayu mencatatkan jumlah tertinggi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (gambar).
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 155,420 orang berdaftar pada 2008 manakala 279,270 pemilih (2009); 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih pada tahun lalu.
Beliau berkata, bagi keempat-empat tahun berkenaan orang Melayu mencatatkan pendaftaran tertinggi, diikuti kaum Cina, India dan lain-lain kaum.
Untuk tahun 2008, seramai 82,309 pengundi Melayu atau 53 peratus mendaftar diikuti Cina (29.4 peratus) dan India (8.1 peratus).
Bagi 2009, jelasnya, seramai 187,828 pemilih atau 67.3 peratus ialah Melayu diikuti Cina (19.8 peratus) dan bumiputera Sarawak (4.8 peratus) manakala pada 2010, seramai 466,137 pemilih (56.4 peratus) adalah orang Melayu diikuti Cina (27 peratus) dan India (6.6 peratus).
‘‘Pada tahun lalu pula, seramai 611,498 pemilih atau 60.6 peratus terdiri daripada orang Melayu diikuti Cina (22 peratus) dan India (6.7 peratus)," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Ng Fook Heng yang ingin tahu jumlah pengundi baru yang telah didaftarkan sejak 2008 mengikut kaum.
Vui Keong berkata, hak untuk mendaftar sebagai pengundi adalah hak warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal itu, kata beliau, pengundi tersebut mesti seorang warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun.
‘‘Sehubungan itu, adalah wajar jika kita melihat daripada perspektif yang lebih besar bagi keseluruhan rakyat dan bukan hanya menjurus kepada kaum semata-mata," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Fook Heng mengenai dakwaan sesetengah pihak terhadap tindakan memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain, beliau berkata, ia tidak dihalang dan terpulang kepada sesiapa untuk menukar pusat mengundi masing-masing.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan