Jumaat, 27 April 2012

ISU SOSIAL : Gilaplah jantung jangan biarkan ia kelam


MARWAN BUKHARI A HAMID

DALAM kehidupan ini, mendapat nikmat jantung hati (spiritual heart/qalb) yang suci dan teguh dengan keimanan sudah tentu menjadi idaman sekalian orang beriman. Malah itulah pertimbangan utama ALLAH SWT di dunia dan akhirat. Apalah guna mendapat pujian dan sangkaan baik manusia namun dalam masa sama memiliki jantung hati yang melantik hawa nafsu dan syahwat sebagai raja.

Kita selaku seorang Muslim dididik supaya sentiasa menyimpan malu apabila mendapat pujian lantaran kita lebih mengetahui siapa diri yang sebenarnya, terutama apabila sedang berjauhan daripada mata semua manusia.

Sememangnya banyak pesanan daripada al-Quran dan hadis berkaitan qalb, salah satu ayat yang menggugah nurani kita ialah ayat ke-14 daripada Surah al-Muthaffifin. Firman ALLAH: “Sekali-kali jangan! (ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.”

Selaput kekotoran yang terdapat dalam ayat tersebut telah menarik perhatian saya untuk membaca ulasan ulama demi memahami apakah selaput dan bagaimanakah ia menutupi jantung hati kita.

Kalimah raan telah digunakan oleh ALLAH dalam ayat tersebut bagi merujuk kepada kekotoran qulub (jamak {plural} kepada perkataan qalb) yang berada dalam diri manusia akibat daripada keingkaran manusia dalam mentaati ALLAH.

Merujuk kepada al-Mu’jam al-Wasit (lihat halaman 410), perkataan raan membawa beberapa maksud; antaranya ialah tadannasa iaitu 'menjadikan sesuatu kotor', sebagai contoh raan al-nafs bermaksud 'jiwa menjadi kotor'.

Ia juga bermaksud 'menutupi' (ghattho) dan 'mengalahkan' (ghalaba). Pengarang kamus itu memberikan contoh raana ‘ala qalbihi al-dzanb yang bermaksud 'dosa telah menutupi hatinya'.

Imam Ibn Kathir rahimahullah (lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jilid keempat, halaman ke-470) menyebut bahawa al-rayn (kata terbitan {masdar} kepada raan) menimpa kepada jantung hati orang-orang kafir, sementara Imam Muhammad Toher Ibn ‘Ashoor dalam kitab beliau bertajuk at-Tahrir wa at-Tanwir (jilid ke-12, halaman 199) pula menyatakan al-rayn menurut bahasa Arab ialah karat/hakisan yang menutupi besi di pedang dan (karat) cermin. Pandangan Ibn ‘Ashoor tersebut turut disebut dalam al-Mu’jam al-Wasit semasa menyebut maksud al-rayn.

Sementara itu, seorang ilmuwan terkenal era moden khasnya berkaitan terjemahan dan tafsiran al-Quran edisi Inggeris iaitu almarhum Muhammad Asad dalam magnum opus beliau bertajuk The Message of The Quran telah menafsirkan raan sebagai berikut:

Lit., “that which they were earning has covered their hearts with rust”: implying that their; persistence in wrongdoing has gradually deprived them of all consciousness of moral responsibility and, hence, of the ability to visualize the fact of God’s ultimate judgment."

Terjemahan: “Pengertian literal, “apa yang mereka lakukan telah menjadi karat yang menutup hati mereka”: menunjukkan bahawa amalan buruk yang mereka lakukan terus-menerus lama kelamaan telah menghapus kesedaran mereka akan tanggungjawab moral dan, kemampuan untuk melihat kebenaran tentang keputusan Tuhan.”

Demikian sebahagian pandangan dan makna perkataan raan yang disebut oleh ALLAH dalam ayat ke-14 tersebut. Secara umumnya kita bisa memahami bahawa raan ialah karat, kotoran dan penutup kepada jantung hati disebabkan dosa-dosa yang telah dilakukan.

Ibn ‘Ashoor dan Ibn Kathir masing-masing turut mendatangkan sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurairah di mana Baginda bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), muncul titik hitam pada jantung hatinya. Apabila dia menanggalkannya, memohon ampun kepada ALLAH dan bertaubat, maka bergilap hatinya, sekiranya dia kembali (melakukan dosa) ditambah titik hitam pada jantung hatinya sehingga (titik hitam itu) mengatasi jantung hatinya, itulah al-raan yang ALLAH telah menyebutnya dalam kitab-Nya; “Sekali-kali jangan! (Ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (at-Tirmizi menyatakan hadis ini hasan sahih)

Sabda Baginda itu secara jelas menceritakan kepada kita betapa jantung hati kita tidak pernah sunyi daripada dikotori dan ditimpa karat, gara-gara kita ialah manusia yang sentiasa terjerumus dalam kesalahan dan dosa. Benarlah sebahagian manusia mengibaratkan jantung hati persis tandas yang sentiasa ditimpa najis sekalipun dicuci selepas digunakan.

Ibnu ‘Ashoor menyatakan bahawa perkataan yaksibun yang datang menerusi sighah al-mudhari’ menunjukkan bahawa pengulangan yang berterusan dan banyaknya dosa yang dilakukan oleh mereka yang diisyaratkan dalam ayat tersebut. Adapun kalimah kaanu yang mendahului perkataan yaksibun pula mengisyaratkan perbuatan syirik yang dilakukan mereka sebelum kedatangan Islam.

Namun begitu, sekalipun ayat tersebut membidas orang kafir yang angkuh menolak hujah kepada Islam, namun penjelasan oleh hadis Riwayat at-Tirmizi berkenaan jelas menunjukkan sekalian manusia ditimpa karat dan kekotoran pada jantung hati mereka seandainya tidak dicuci dengan istighfar, penyesalan dan taubat. Alangkah tebalnya selaput kekotoran itu jika kita terus membiarkan hari-hari yang berlalu tanpa taubat kepada ALLAH.

Selain itu, seorang tabi’in terkenal iaitu Imam Hasan al-Basri tatkala merujuk kepada ayat tersebut, beliau menyatakan: “(al-raan) itu ialah dosa di atas dosa sehingga hati menjadi buta, kemudiannya mati”. (Ibnu Kathir, halaman 471)

ALLAH berfirman: “Sekali-kali jangan, sesungguhnya, mereka pada Hari itu akan terdinding daripada [rahmat] Tuhan mereka.” (Surah al-Muthaffifin Ayat 15)

Selain rahmat, para ulama menyebutkan bahawa mereka yang sudah diselaputi kekotoran sebagaimana terdapat dalam ayat ke-14 terdinding daripada melihat ALLAH pada hari akhirat kelak, berbanding nikmat orang beriman yang dapat melihat wajah Tuhan mereka. (Ibnu Kathir, halaman 471)

Demikianlah antara sifat jantung hati yang bisa mati sekalipun jasad pemiliknya masih tangkas di atas dunia. Hati yang sentiasa resah dan merindui maksiat pasti akan buta daripada melihat Tuhan-Nya di akhirat kelak, sebagaimana mereka buta dari petunjuk ALLAH di dunia.

Mengakhiri renungan terhadap kalam Tuhan di atas, saya memetik pesan Rasulullah berkenaan jantung hati yang termaktub dalam sebuah hadis yang telah dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari (hadis ke-52) dan Muslim (hadis ke-1,599) bahawasanya Baginda bersabda:

“Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad sementara apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah itulah jantung hati.”

Tiadalah dinamakan al-qalb melainkan sifatnya yang taqallub (berbolak-balik), maka berhati-hatilah kita daripada memiliki jantung hati yang berbolak-balik ke arah maksiat dan dosa. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan jantung hati, tetapkanlah jantung hati kami terhadap agamamu! (salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah (dikeluarkan oleh at-Tirmizi, hadis ke-2140, 3522), hadis hasan menurut at-Tirmizi).

SUMBER: Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan