Rabu, 25 April 2012

ISU SOSIAL : Mendidik anak-anak budaya urus kewangan berhemah


Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

"IBU, duit sekolah yang ibu berikan tak cukuplah". "Ayah, harga makanan di kantin sekolah sudah naik, boleh tambah sedikit lagi duit saku saya?" Sebagai ibu bapa, pasti ada antara kita pernah mendengar anak-anak merungut dengan nada seperti ini.

Apa yang tersirat adalah pernyataan bahawa wang perbelanjaan di sekolah yang diberikan sehari-hari sudah tidak mencukupi. Rungutan ini lebih selalu kedengaran dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau lain-lain lagi.

Jika hari ini, RM2 sehari diberikan kepada setiap anak-anak ini, ia mungkin sekadar habis untuk membeli makanan di kantin sekolah pada waktu rehat. Itu tidak termasuk bayaran untuk tambang bas awam, komuter, LRT, teksi, dan sebagainya bagi kanak-kanak yang tidak menaiki bas sekolah.

Begitu juga, pada zaman serba canggih dengan ledakan teknologi maklumat mutakhir ini, ramai kanak-kanak yang memerlukan ibu bapa membelanjakan lebih sedikit untuk melanggan perkhidmatan Jalur Lebar (Broadband) demi penerokaan ilmu pengetahuan melalui internet.

Diakui bahawa pada zaman sekarang tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas, semua harga barangan atau perkhidmatan telah berlipat kali ganda lebih tinggi. Kalau dahulu, kantin sekolah menjual sepinggan nasi lemak pada harga sekadar 50 sen hingga 70 sen dan kadang-kadang dengan harga tersebut turut disertakan dengan sekeping telur goreng atau kuih. Hari ini, jangankan telur, bahkan timun, kacang dan ikan bilis pun tidak disajikan bersama dalam sepinggan nasi lemak kosong berharga RM 2.00 di sesetengah kantin sekolah!

Kalau dahulu, tambang bas untuk kanak-kanak mungkin sekadar 25 sen hingga 50 sen, di mana mereka diberi diskaun khas kerana masih bersekolah. Sekarang ada syarikat bas yang tidak membezakan harga penumpang sama ada orang awam atau kanak-kanak sekolah, semuanya sama rata.

Begitu juga harga sebuah buku latihan yang dijual di sekolah yang harganya lebih dari RM1 berbanding 30 sen hingga 40 sen dijual pada sedekad yang lalu. Hanya kerana buku latihan sekolah terpampang cap dan logo sekolah, jangan terkejut sekiranya ada pelajar yang perlu (dan wajib!) membeli buku-buku latihan tersebut pada harga yang sekali ganda lebih mahal daripada biasa.

Ini adalah contoh yang sejajar dengan perkembangan taraf sosio ekonomi masyarakat Malaysia yang semakin meningkat dan 'kuasa beli' yang semakin besar dimiliki oleh segenap anggota masyarakat. Hal ini tidak dapat disekat, bahkan tidak boleh dinafikan akan hak pihak-pihak terbabit untuk menetapkan harga perkhidmatan atau produk yang disediakan.

Mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah, pengangkutan, kos sewa, kos perkhidmatan, dan cukai yang juga semakin meningkat saban hari. Cumanya, apa yang perlu kita fikirkan adalah untuk membantu anak-anak dalam masalah 'duit belanja sekolah' yang semakin menjerat dan tidak mencukupi sebegini?

Anak-anak tidak seharusnya dibebankan dengan masalah sebegini kerana mereka perlu fokus kepada usaha mentelaah pelajaran di sekolah dan seterusnya mendapatkan keputusan peperiksaan yang bagus.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan tinggi, tuntutan anak-anak terhadap tambahan wang saku sehari-harian bukanlah masalah besar, bahkan elaun saku untuk tempoh setahun pun mereka boleh berikan dalam satu-satu masa tanpa berfikir panjang.

Namun, bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah, ditambah lagi golongan yang memiliki anak yang ramai dan bersekolah, tuntutan wang saku tambahan oleh anak-anak ini benar-benar meletakkan mereka dalam dilema.

Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendepani permasalahan sebegini. Ibu bapa perlu mewujudkan situasi 'menang-menang', di mana mereka masih dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan bulanan mereka dan memenuhi keperluan anak-anak.

Antaranya adalah mengajar anak-anak untuk faham dan mengamalkan budaya berjimat-cermat dan tidak bermewah-mewah. Anak-anak perlu dididik supaya tidak terikut-ikut gaya berbelanja besar oleh rakan-rakan yang berada dan seakan-akan mampu memiliki 'seisi dunia'.

Ada sesetengah ibu bapa yang mengamalkan kaedah di mana anak-anak turut diberitahu tentang jumlah pendapatan ibu bapa dan perbelanjaan bulanan seisi rumah yang perlu dilangsaikan. Misalnya memberitahu anak-anak agihan wang untuk makanan, bayaran bil-bil air, elektrik dan telefon, bayaran sewa rumah dan kereta, sehinggalah kepada agihan untuk tabungan kecemasan keluarga.

Dengan cara ini, baru anak-anak faham hakikat bahawa ibu bapa tidaklah sebenarnya lokek untuk memberikan mereka duit saku tambahan, tetapi ada keperluan kewangan yang lebih penting pada aspek-aspek yang lain.

Anak-anak perlu dilatih untuk mengetahui 'aliran tunai' duit perbelanjaan mereka. Caranya mudah iaitu dengan mengajar mereka untuk mempunyai 'buku akaun' sendiri yang mencatatkan berapa banyak duit yang mereka terima dan berapa banyak pula duit yang mereka belanjakan sehari-harian.

Dengan cara ini, anak-anak faham jika duit keluar itu lebih banyak daripada duit masuk, ini menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menyingkirkan apa-apa pembelian barangan yang tidak patut dan merugikan.

Kaedah ini juga melatih anak-anak supaya jangan 'muflis' yang bermaksud bahawa mereka perlu ada wang simpanan untuk tujuan kecemasan dan keperluan terdesak pada masa hadapan.

Seterusnya, anak-anak boleh dididik dengan konsep 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.' Ini adalah sesuai bagi anak-anak yang mungkin mahukan sesuatu seperti membeli basikal, buku rujukan, gadjet permainan yang diidamkan, dan sebagainya di mana mereka perlu menyimpan duit secukupnya hasil lebihan duit saku sehari-harian untuk memiliki apa yang dihajatinya.

Konsep ini juga selaras dengan amalan menabung sama ada menyimpan duit dalam tabung di rumah, atau dalam institusi perbankan atau institusi amanah saham yang ternyata lebih selamat. Lebih-lebih lagi sejak lapan tahun lepas, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah diwujudkan bagi menggalakkan tabungan untuk pembiayaan pengajian anak-anak di menara gading merupakan platform terbaik untuk anak-anak membuat tabungan.

Melalui skim ini, bukan sahaja duit dapat ditabung dengan selamat, bahkan ibu bapa dan anak-anak sendiri mendapat faedah sampingan seperti pelepasan cukai, perlindungan insurans dan kadar dividen yang kompetetif.

Anak-anak sebaiknya dirutinkan untuk membawa bekal makanan sendiri dari rumah yang lebih terjamin kebersihan dan keseimbangan gizi dan khasiatnya. Dalam hal menggunakan buku-buku latihan, wajar mereka diasuh untuk menggunakan semula buku-buku latihan lama yang masih boleh digunakan agar ianya tidak dibuang dengan sia-sia.

Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak akan ajaran agama yang melarang seseorang untuk membazir, kerana membazir itu adalah amalan kesukaan syaitan. Bahkan, perlu juga anak-anak diterapkan dengan amalan bersedekah kerana sedekah itu tidaklah merugikan, tetapi akan diberikan ganjaran keberkatan dan pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT.

Apabila anak-anak dapat diasuh mentaliti dan tindakan mereka untuk berjimat-cermat dan menghargai setiap sen yang dimiliki, maka diyakini bahawa mereka dapat membentuk peribadi berhemah dalam berbelanja dan mengusir jauh akan tabiat boros dan 'biar papa, asal bergaya'.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan