Selasa, 17 April 2012

ISU SOSIAL : Pelaksanaan gaji minimum kena ambil kira kemampuan majikan


Oleh Kassim Thukiman
m-kassim@utm.my


ISU tuntutan pekerja terhadap gaji minimum bukan perkara baru. Pelaksanaan gaji minimum pula bukan perkara mudah kerana kerajaan perlu mengambil kira pelbagai perkara dan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan. Biasanya kerajaan akan berunding dengan majikan dengan mengambil pendekatan 'sama-sama menang'.

Kerajaan tentu lebih memihak kepada rakyat, tetapi pada masa yang sama tidak mahu kehilangan pekerjaan untuk rakyat. Tentu juga kerajaan tidak mengambil tindakan terburu-buru semata-mata atas nama transformasi.

Banyak perkara perlu diambil kira sebelum pelaksanaan gaji minimum. Antaranya dasar transformasi kerajaan, kuasa pasaran, produktiviti pekerja, kos hidup, kemampuan majikan dan lain-lain. Perkara yang menjadi tumpuan utama sekarang ialah berapakah jumlah pendapatan minimum yang akan ditetapkan.

Sehingga kini, pelbagai anggaran gaji antara RM800 hingga RM1,500. Pada hemat penulis, sebarang cadangan penentuan gaji minimum perlu rasional dan bijaksana. Pekerja perlu lebih rasional dalam membuat tuntutan terhadap nilai yang sesuai berkaitan gaji minimum.

Analoginya, penetapan itu agar tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Kita boleh mengambil semangat kesederhanaan (wasatiyyah) dalam kehidupan. Pada masa sama, harapan pekerja memanglah tinggi berkaitan penetapan gaji minimum.

Penetapan gaji minimum perlu mengambil kira keperluan asas pekerja dan keluarga. Ini berkaitan dengan faktor garis kemiskinan yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri. Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi ke arah pembentukan negara maju, kerajaan tidak mahu ada rakyat terpinggir dan ketinggalan daripada arus pembangunan.

Atas semangat kemajuan dan pembangunan negara dikecapi bersama seluruh rakyat, maka majikan juga perlu mempunyai hati dan perasaan terhadap pekerjanya. Memang betul pekerja boleh berusaha untuk survival dalam kehidupan, tetapi mereka terpaksa menggunakan segala kudrat dan masa yang maksimum untuk menempuh cabaran kehidupan.

Penetapan gaji minimum harus juga mengambil kira kemampuan majikan untuk membayar dalam tempoh panjang. Jika tidak berkemampuan, mungkin majikan akan menutup perniagaan, akhirnya pekerja yang hilang pekerjaan.

Pepatah Melayu menyebutkan ‘orang tamak selalu rugi.’ Di sinilah semangat muhibah perundingan bersama dititikberatkan antara pekerja, majikan dan kerajaan.

Bagi pihak kerajaan, penetapan gaji minimum adalah satu usaha transformasi untuk mewujudkan sosioekonomi rakyat yang stabil. Inisiatif ini adalah pencernaan daripada semangat 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Dalam konteks inilah, dasar dan program transformasi ekonomi mengambil perhatian terhadap kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Sementara rakyat berhak menikmati dan mengecapi kemakmuran ekonomi, kerajaan juga mengambil perhatian terhadap kepentingan majikan dan pelabur asing. Sikap kerajaan adalah jelas. Kerajaan mengambil kira pelbagai faktor membabitkan kepentingan semua pihak. Pelbagai pertimbangan digunakan sebelum melaksanakan sesuatu dasar termasuk penentuan kadar gaji minimum.

Penetapan gaji juga boleh dibuat berdasarkan faktor wilayah yang amat mempengaruhi kos dan kualiti hidup di kalangan pekerja. Walaupun rakyat membayar barangan dengan harga sama walau di mana mereka tinggal, secara relatifnya, kos hidup di luar bandar lebih rendah berbanding bandar.

Justeru, jika kita hendak menetapkan suatu nilai gaji minimum untuk seluruh Malaysia adalah kurang sesuai. Begitu juga dengan jenis atau sektor ekonomi yang pelbagai – peladangan, perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Hakikatnya, setiap sektor ekonomi mempunyai fokus dan cabaran perniagaan tersendiri.

Persoalannya, apakah perkara asas pekerja atau rakyat? Pekerja sering menghadapi masalah apabila gaji pokok terlalu rendah. Mereka menghadapi masalah apabila berurusan dengan sektor perbankan untuk membuat pinjaman.

Kesimpulannya, kita perlu menyedari usaha yang diambil kerajaan untuk merealisasikan penentuan kadar gaji minimum. Sebagai ‘bapa’, kerajaan perlu bertindak seadil-adilnya terhadap ‘anaknya’ iaitu rakyat dan ‘sahabatnya’ majikan. Semua pihak perlu berlapang dada untuk berunding dan mengambil keputusan bijaksana, umpama ‘menarik rambut dalam tepung.’

Jelasnya semua orang hendak menikmati dan mengecapi kesenangan serta kebahagiaan hidup yang sementara ini. Jasa pekerja amat besar dalam menggerak pembangunan negara sejak sekian lama. Walau apapun polemik yang timbul berkaitan pelaksanaan gaji minimum, biarlah kita menunggu kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan mengumumkan penentuan kadarnya pada sambutan Hari Pekerja nanti.

Semoga pengumuman itu menjadi hadiah paling besar kepada pekerja. Satu perkara yang kita tidak boleh lupakan ialah ‘Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi’ yang menjadi moto Hari Pekerja 2012.

Penulis ialah Pensyarah Kanan UTM dan Felo Institut Sumber Manusia Kebangsaan, Kementerian Sumber Manusia, boleh dihubungi di e-mel m-kassim@utm.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan