Jumaat, 4 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : 2,214 murid miskin, luar bandar diterima ke SBP


BATU PAHAT, 2 Mei - Seramai 2,214 murid daripada keluarga miskin yang mendapat 3A, 2B dan murid luar bandar memperoleh keputusan 4A, 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peluang yang diberikan itu bertujuan membolehkan mereka bersaing dengan lebih adil dalam merebut tempat untuk belajar di sekolah berkenaan.

"Berbanding murid-murid lain, golongan ini tiada kemudahan tuisyen, capaian Internet malah guru-guru cemerlang juga sukar untuk sampai ke pedalaman. Saya difahamkan ada guru agama yang terpaksa mengajar bahasa Inggeris kerana kekurangan guru.

"Bagaimanapun, kita akan pastikan mereka dapat bersaing dengan rakan yang mendapat 5A.

"Kita akan berikan motivasi dan bimbingan tambahan supaya mereka dapat bersaing," katanya selepas merasmikan majlis pendaftaran 170 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang mula beroperasi hari ini.

Sekolah berasrama penuh dengan kos melebihi RM40 juta itu mula dibina pada 2007, namun dikategorikan sebagai projek 'sakit' ekoran gagal disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada September 2009 tetapi berjaya disiapkan oleh kontraktor baru yang dilantik.

Sekolah tersebut mampu menampung 900 pelajar dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti blok asrama putera serta puteri, stadium mini, kediaman guru dan surau selain sistem persidangan video bernilai RM23,000 yang disumbangkan menerusi peruntukan Parlimen Batu Pahat.

Mohd. Puad berkata, terdapat lebih 50,000 murid mendapat 5A dalam UPSR 2011, sedangkan SBP hanya mampu mengambil kira-kira 7,000 pelajar.

"Peluang yang diberikan kepada pelajar miskin khususnya miskin tegar dan pelajar di luar bandar ini merupakan satu lagi inisiatif 'titik sentuhan' kerajaan selain pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100.

"Kita tidak mahu ada golongan yang dipinggirkan daripada menikmati kemudahan pendidikan terbaik kerana halangan kemiskinan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara, beliau berpendapat, ia bukan satu pembaziran, sebaliknya adalah pelaburan untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.

"Cadangan program latihan luar negara itu adalah sebahagian daripada kepelbagaian program latihan termasuk di dalam negara dan pengambilan guru penutur jati bahasa Inggeris.

"Ia bukan pembaziran tetapi satu pelaburan untuk kemajuan pelajar," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan