Khamis, 3 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Dialog nasional dan kajian semula pendidikan


Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

“KEMBALIKAN semula dasar PPSMI," “Wujudkan sekolah rendah Inggeris atau SRJK Inggeris seperti sekolah vernakular lain di setiap daerah" dan “Wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris syarat lulus peperiksaan SPM."

Demikian antara puluhan cadangan dan saranan yang dilontarkan oleh peserta dialog nasional yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 27 April lepas.

Suasana Dewan Utama yang pada mulanya dingin memuatkan hampir 2,000 orang peserta tiba-tiba menjadi panas apabila peserta dialog silih berganti mengeluarkan pendapat. Ada yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh tanda setuju daripada hadirin tetapi tidak kurang pula yang mendapat cemuhan dan suara mengeluh tanda tidak setuju.

Dialog nasional bagi merangka semula sistem pendidikan negara dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam ucapan perasmian beliau memberi masa selama tiga bulan kepada Jawatankuasa Pelaporan atau panel yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr. Wan Zahid, bersama dua belas anggota untuk menyiapkannya.

Pasukan panel akan menjelajah ke seluruh negara bertemu warga pendidik, NGO, pemimpin masyarakat dan tokoh tertentu. Tiga kaedah digunakan iaitu berdialog dengan kumpulan ramai atau sesi townhall, meja bulat bilangan sederhana dan menemui tokoh tertentu.

Dialog nasional bertujuan mendengar aspirasi, rasa hati dan cadangan daripada pelbagai pihak sebagai bahan menyediakan kajian semula pendidikan. Kaedah ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sampai masanya dalam menyediakan sesuatu dasar perlu merujuk kepada pihak yang berkepentingan atau stakeholders dan tidak hanya datangnya daripada pihak kerajaan.

Sesungguhnya perkembangan pendidikan boleh dibahagikan kepada empat tahap bermula Laporan Razak (1956). Laporan ini disesuaikan dengan negara baru merdeka yang menekankan pembentukan jati diri dan membina negara bangsa. Pendidikan dijadikan sebagai alat penyatuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dicadangkan juga penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah.

Laporan Rahman Talib (1961) dan Laporan Kabinet (1971) memantapkan lagi Laporan Razak. Kedua-dua laporan itu turut menekankan keperluan kemudahan pendidikan luar bandar dan keseragaman bahasa pengantar serta peperiksaan peringkat pra sekolah hingga menengah atas.

Tahap kedua perkembangan pendidikan apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988) digubal bagi melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pendidikan dilihat sebagai elemen penting bagi mengembangkan bakat serta potensi individu dan usaha menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar.

Sementara itu, tahap ketiga adalah ketika negara memasuki era abad ke-21. Bagi memacu pembangunan negara pendidikan berperanan melahirkan manusia yang berpengetahuan, berkemahiran ICT dan bersifat holistik. Penekanan diberikan kepada bidang sains dan teknologi serta persaingan peringkat global.

Salah satu dasar yang masih segar iaitu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Kini perkembangan tahap keempat akan memberi fokus kepada menyediakan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Pendekatannya berkait rapat dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) menekankan rakyat yang berpendapatan tinggi. Bagi mencapai hasrat itu pendidikan mesti berupaya melahirkan individu yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Pencapaian pelajar tidak hanya dilihat atas kecemerlangan akademik tetapi perlu mempunyai berbagai kebolehan, menguasai beberapa bahasa dan memiliki kemahiran softskills.

Walau apa pun pendapat bagi meningkatkan kualiti pendidikan ia perlu menekankan kepada beberapa isu tertentu iaitu tahap kompetensi guru, kewibawaan pengetua atau guru besar, kemantapan kurikulum, kemudahan infrastruktur dan keberkesanan sistem penyampaian.

Tidak dapat dinafikan guru memainkan peranan penting bagi melahirkan pelajar berketerampilan. Guru berkesan bukan sahaja berkelulusan tinggi tetapi mempunyai kriteria tertentu seperti sikap mesra, suka kepada kanak-kanak, rajin mencuba, sentiasa mencabar keupayaan pelajar dan tidak mudah putus asa. Bagi melahirkannya kaedah pemilihan bakal guru perlu diperketatkan dan latihan perguruan perlu ditingkatkan kualitinya.

Satu lagi isu adalah menyediakan sistem penyampaian yang baik. Kaedah pentadbiran secara desentralisasi perlu difikirkan kerana bilangan sekolah yang besar melebihi 10,000 buah.

Dasar one size fit all tidak lagi sesuai kerana perbezaan latar belakang dan lokaliti sekolah. Jumlah warga pendidik yang hampir setengah juta orang turut memerlukan sistem penyampaian yang berkesan. Oleh itu, kaedah terbaik perlu disediakan seperti mempunyai data pelbagai maklumat yang kemaskini dan sistem pemantauan yang canggih.

Membandingkan sistem pendidikan dan mendapatkan praktis terbaik daripada negara-negara lain perlu dilakukan. Negara seperti Finland, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura dikatakan mempunyai tahap pendidikan yang baik. Lawatan kerja dan penempatan sementara pegawai dan guru perlu kerap dilakukan bagi tujuan penambahbaikan.

Kajian semula pendidikan ini dilaksanakan melalui dialog dalam sesi pertemuan townhall, meja bulat dan perbincangan dengan tokoh tertentu. Kepada yang berminat dijemput hadir. Pendapat juga boleh disalurkan melalui kertas cadangan, memorandum atau melayari laman web.

Kepada pasukan panel Kajian Semula Pendidikan selamat menjalankan tugas!

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan