Isnin, 7 Mei 2012

ISU SOSIAL : Dadah boleh jadi punca umat Islam lemah


Oleh Suhaila Said
bhagama@bharian.com.my


Mati akibat ambil dadah secara berlebihan dikategori perbuatan haram bunuh diri

PENYALAHGUNAAN dadah adalah masalah sosial yang makin berleluasa dan mencemaskan negara untuk ditanganinya. Pembabitan rakyat dengan dadah tidak mengenal usia atau lapisan masyarakat sama ada golongan miskin, kaya, pelajar, profesional atau artis khususnya umat Islam.

Hari ini, bilangan penagih kian bertambah sedangkan yang sedia menagih tidak pula berkurangan. Peningkatan penagih dadah membuatkan kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Statistik penagihan dadah yang dikesan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November 2011 dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (BIONADI), menunjukkan 10,383 penagih telah dikesan.

Mereka ini terdiri daripada 6,535 penagih baru, manakala penagih berulang pula 3,848 orang. Secara purata, seramai 20 penagih baru dan 12 penagih berulang telah dikesan setiap hari sepanjang Januari hingga November tahun lalu.

Berdasarkan risalah kecil ‘Islam Memusuhi Dadah’ yang diterbitkan Pasukan Petugas Khas Anti Dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada 1993, telah memberi penjelasan bahawa dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ketara terhadap sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih dan gangguan tingkah laku.

Takrif ini tidak meliputi alkohol dan tembakau serta ubat yang juga bahan kimia asli atau tiruan yang digunakan untuk mengesan, mencegah atau mengubati penyakit.

Kita dimaklum musuh tidak suka melihat perkembangan Islam maju dan terkehadapan dalam pelbagai aspek. Justeru, pelbagai agenda yang mereka laksanakan bagi menjatuhkan Islam dan cara paling berkesan ialah melemahkan kekuatan umat Islam itu sendiri.

Buktinya, penggunaan dadah sudah diketahui umum cukup berjaya dan inilah yang dibawa musuh Islam. Keghairahan kita mengejar kehidupan kadangkala menyebabkan kita lupa jerat yang sentiasa menanti.

Penggunaan dadah berterusan mendatangkan pelbagai implikasi kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama Islam. Jenayah sering dikaitkan dengan penagih. Kebiasaannya, masalah kewangan memenuhi keperluan keluarga dan diri menyebabkan penagih hilang kawalan.

Akhirnya, cara paling mudah untuk mendapatkan wang adalah dengan melakukan jenayah seperti mencuri, memeras ugut, merompak atau membunuh seperti dilaporkan media mengenai jenayah membabitkan penagih dadah baik dalam mahu pun luar negara.

Perkara yang sungguh menyedihkan ialah penagih yang tidak tidak dapat dipulihkan lagi, keadaan mereka sukar untuk dikawal hingga ada antaranya hidup gelandangan dalam keadaan kotor, busuk dan tidak terurus.

Keadaan mereka yang sanggup melakukan apa saja demi memenuhi ketagihan menjadi satu pandangan yang memilukan. Mereka sudah tiada haluan hidup, dibenci masyarakat dan membebankan negara.

Selain itu, penyalahgunaan dadah juga menghancurkan institusi rumah tangga dan membawa kepada perpecahan keluarga. Urusan kekeluargaan atau nafkah seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya akan terabai jika salah ahli keluarga terbabit dalam penagihan khususnya suami yang sepatutnya menjadi ketua keluarga.

Islam mengharamkan umatnya membunuh diri walau dengan apa cara sekalipun. Kematian disebabkan pengambilan dadah berlebihan hingga membawa maut turut termasuk sebagai membunuh diri.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah melainkan dengan jalan yang hak.” (Surah al-An’am, ayat 151)

Pemulihan rohani suatu usaha positif untuk membaiki atau meningkatkan aspek dalaman manusia. Unsur kerohanian mempunyai tuntutan yang sesuai dengan tabiat kerohanian seperti keperluan harian jasmani kepada akidah, akhlak dan pengendalian.

Perspektif Islam mengajak kita mengembalikan segala jawapan kepada permasalahan kerana setiap yang fitrah kepada manusia bertujuan melengkapkan, menyempurnakan dan sesuai dengan tabiat semula jadi manusia itu sendiri.

Oleh itu, apabila hidup tidak mematuhi fitrah, keadaan menjadi huru-hara seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Keutamaan terhadap keimanan seseorang menjadi tunjang utama untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Syariat Islam memelihara kesatuan ummah dengan memelihara perkara utama iaitu akal, jiwa, keturunan, agama, dan kehormatan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan