Rabu, 23 Mei 2012

ISU SOSIAL : Kembali kenal, selami budaya berbilang bangsa


DR. JESSICA ONG HAI LIAW

SETELAH puluhan tahun merdeka kita kelihatan masih mencari-cari erti perpaduan yang sering dilaungkan, dan ada ketikanya terfikir adakah belia pada hari ini memahami semangat 1Malaysia. Semangat perpaduan yang dilaungkan demi membangunkan masyarakat yang aman dan makmur.

Sempena Hari Belia, kita perlu merenung sejenak, melihat apa peranan belia dalam mencapai semangat 1Malaysia? Di manakah kita perlu bermula? Di rumah, sekolah, tempat kerja atau di mana sebenarnya? Adakah Sekolah Wawasan berjaya? Adakah Program Latihan Khidmat Negara berjaya?

Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara memang ada kebaikannya dan kejayaannya, tetapi terdapat keperluan untuk ditambah pengisiannya. Malah digiatkan lagi program-program lain sepertinya.

Perpaduan perlu datang dari hati yang ingin kenal dan menyelami setiap budaya dan bangsa di Malaysia. Kalau kita tidak tahu, kita cuba fahami. Kalau kita tidak pasti, kita cuba ikuti. Pengalaman hidup adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.

Pengalaman hidup saya yang biasa bergaul dengan kaum Melayu dan India membuatkan saya tidak pernah rasa kekok atau terpinggir apabila bersama mereka. Sebenarnya bermula dari kecil lagi keluarga menggalakkan saya hidup dalam suasana berbilang kaum terutama bersama orang Melayu. Di sini saya melihat sikap hormat-menghormati antara sesuatu bangsa sangat penting apatah lagi menghormati agama masing-masing.

Kepentingan perpaduan disokong oleh bekas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.

Pada satu kesempatan, saya bertanyakan kepada beberapa belia berlainan bangsa tentang perayaan-perayaan di Malaysia. Ternyata kebanyakan mereka tidak tahu apa itu Perayaan Pesta Tanglung, Hari Cheng Beng, Hari Thaipusam, Hari Ponggal, Hari Vaisakhi, Maulidur Rasul dan beberapa perayaan lain.

Mereka cuma tahu perayaan penting seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Bagaimana mereka hendak tahu jika tidak pernah diberitahu dari kecil? Bagaimana mereka dapat mengenali budaya bangsa lain jika ibu bapa tidak menerangkan dan membawa mereka melawat kawan-kawan yang berlainan bangsa?

Kita semua sibuk dengan urusan pejabat dan harian dan akhirnya penat kerana mencari rezeki maka kita terlepas pandang tentang pentingnya bertandang ke rumah kawan-kawan kita yang lain dan mengeratkan silaturahim antara kita.

Saya ingin memetik kisah pakcik saya yang kami panggil Ah Koo, maksudnya pakcik dalam bahasa Hokkien yang kini masih menetap di Gunung Keriang, Kedah. Ah Koo sangat sayangkan kanak-kanak Melayu di kampungnya kerana memang majoriti penduduknya ialah Melayu. Ah Koo mengatakan bahawa semua kanak-kanak Melayu telah dianggap anaknya sendiri.

Apabila tiba Tahun Baru Cina, maka Ah Koo akan mengupah orang Melayu membuat kuih Melayu dan tetamu yang datang akan dihidangkan dengan ketupat, rendang, kuih-kuih tradisional Melayu dan minuman air kelapa. Buah kelapa pula dipetik oleh orang Melayu.

Saya bertanya kepada Ah Koo, Kenapa makanan Melayu? Katanya: "Semua rumah orang Cina bagi makanan yang sama, aku nak jamu makanan Melayu, senang semua orang Melayu datang nanti tak was-was nak makan sebab yang masak orang Melayu". Begitulah prihatinnya Ah Koo yang disayangi di Gunung Keriang.

Saya juga terharu dengan penduduk di Tandop Besar, Kedah semasa saya mengajar di sana selama dua tahun. Sesuatu yang tidak dapat dilupakan bagaimana masyarakat Melayu di sana menjaga saya dengan baik.

Jika ada kenduri di kampung, saya akan disediakan makanan tambahan. Tuan rumah akan bertanya: "Cikgu makan daging lembu tak, makcik dah sediakan lauk ayam ini khas untuk cikgu". Saya terharu kerana makcik itu memahami tanpa diberitahu pun.

Kenangan berbuka puasa bersama orang Melayu di kampung memang diingati kerana sayalah orang yang paling sibuk sebagai tukang rasa lauk pauk yang dimasak untuk berbuka puasa nanti.

Begitu juga dengan seorang kawan bernama Geetha, seorang cikgu keturunan India yang bertugas di sebuah kampung memberitahu bahawa dia juga diberi layanan yang sangat baik di kampung tempatnya mengajar.

Mereka memahami budaya orang India dan ada penduduk kampung yang masak di kuali lain khas untuk Geetha yang hanya makan sayur. Tersentuh hati Geetha kerana layanan orang Melayu kepadanya.

Semangat 1Malaysia memang wujud dari dahulu lagi dan kita perlu memperkukuhkannya melalui usaha yang proaktif dan bukan hanya melaungkan slogan tanpa mempraktikkannya.

Program seperti Program Khas Anak Angkat Berbilang Bangsa perlu diwujudkan dari awal lagi oleh Kementerian Pelajaran bergabung dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta Kementerian Belia dan Sukan.

Konsepnya boleh diadakan secara secara santai seperti menerangkan kepada anak-anak Malaysia tentang perayaan, budaya dan bangsa di Malaysia. Anak-anak Malaysia ini perlu dibawa dalam program begini dan penerangan perlu diberikan kepada mereka bagaimana menghormati budaya berbilang bangsa.

Jelajah Belia 1Malaysia ke Perkampungan Cina yang berbilang etnik seperti Teochew, Hokkien, Kantonis, Hakka, Foochow dan lain-lain. Jelajah ke Perkampungan Jawa, Perkampungan Orang Asli dan merentas ke Sabah dan Sarawak yang lagi unik dengan etniknya berbeza.

Apabila kita merasai sendiri pengalaman hidup bersama bangsa lain, maka kita akan mengenali budaya yang pelbagai itu dengan hati dan jiwa. Ketika ingin memasuki alam perkahwinan, saya teringat pesan kata orang tua-tua ketika itu:

"Belum kahwin tak tahu lagi tapi bila dah kahwin dah hidup serumah baru tahu banyak perbezaan yang wujud antara suami isteri". Itu contoh suami isteri yang sama bangsa. Bagaimana kalau kita sama bangsa tetapi berlainan etnik? Kita fikirkan bersama?

Bagi saya, apabila kita cuba kenal maka kita akan cinta dan apabila cinta maka kita akan setia. Apabila setia pada satu, maka kita akan terus setia selamanya kepada Malaysia. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan