Selasa, 1 Mei 2012
ISU SOSIAL : Produktiviti dan keamanan
Oleh ROHAMI SHAFIE
HARI Pekerja disambut pada setiap tahun. Selepas bertungkus-lumus bekerja mencari rezeki selama setahun, para pekerja di Malaysia diiktiraf atas usaha mereka ini pada Hari Pekerja.
Dahulu, para pekerja membanting kudrat dalam sektor pertanian, kini kepakaran dan gabungan teknologi terkini banyak membantu para pekerja. Gaji ketika itu lebih murah berbanding sekarang. Sektor pekerjaan Malaysia tidak lagi bergantung pada kos buruh yang murah.
Dengan kenaikan taraf hidup rakyat Malaysia selari dengan peningkatan kos sara hidup, kos buruh yang murah tidak lagi berdaya saing.
Setiap pekerja sedikit demi sedikit diberi kenaikan gaji. Terbaru, para pekerja sektor awam menikmati kenaikan gaji. Tidak terkecuali, gaji minimum untuk para pekerja sektor swasta.
Selari dengan kenaikan gaji, mahu tidak mahu produktiviti wajib ditingkatkan. Dengan menggunakan kepakaran, ilmu pengetahuan yang mendalam dan teknologi terkini serta disulami dengan usaha tanpa kenal penat-lelah, sasaran untuk meningkatkan produktiviti bukanlah omongan semata-mata. Peningkatan produktiviti boleh membawa negara ke arah kemajuan ekonomi yang mapan.
Jika para pekerja tidak berjaya meningkatkan produktiviti, tetapi pada masa yang sama menuntut agar kenaikan gaji diberi, kesan negatif akan terpalit ke atas ekonomi negara. Inflasi akan semakin tinggi dan tidak mustahil lebih tinggi berbanding kadar kenaikan gaji. Sasaran negara untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) pastinya tidak dapat dicapai.
Natijahnya, negara boleh terjerumus dalam kemelesetan ekonomi. Sebab itulah produktiviti jangan dibuat main-main. Ia bukan sahaja melibatkan para pekerja tetapi majikan dan pemimpin.
Majikan tidak boleh mengharapkan produktiviti para pekerja sahaja ditingkatkan. Majikan juga kena memastikan diri mereka lebih produktif. Umpamanya, bekerja untuk mencari peluang-peluang perniagaan yang lebih baik di samping memastikan perniagaan sedia ada tetap berdaya saing.
Yang menjadi masalahnya, terdapat sesetengah majikan hanya pandai menyalahkan para pekerja jika sasaran keuntungan tidak dapat dicapai.
Dimarahi para pekerja, kononnya semuanya salah mereka, walhal majikan sendiri tidak nampak kesalahan mereka selama ini.
Contohilah majikan di negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan, mereka tidak hanya bergantung harap pada para pekerja tetapi mereka sendiri berusaha bekerja bersungguh-sungguh dan memberi teladan yang baik.
Satu lagi contoh pengukuran mudah produktiviti adalah ketepatan masa yang menjadi budaya para pekerja dan majikan di Jepun. Di Malaysia, ketepatan masa tidak begitu dititikberatkan. Sering kali kita lihat banyak majlis rasmi terlewat dimulakan.
Maka, terpaksalah para pekerja menunggu begitu lama sehinggalah majlis tersebut berakhir. Akhirnya, kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan pada hari tersebut tidak dapat disiapkan. Dengan kata mudah, produktiviti pada hari berkenaan adalah pada kadar rendah.
Begitu juga, sering kali mesyuarat diadakan berjam-jam berbanding jadual asal. Ia menyebabkan begitu banyak masa terbuang begitu. Bagaimana para pekerja ingin mencontohi ketua mereka jika perkara mudah sebegini tidak mampu dilakukan oleh ketua mereka.
Tidak kurang juga, berapa ramai dalam kalangan para pemimpin politik yang mengajak rakyat bekerja lebih produktif. Yang sering kita dengar, mereka ini lebih mahir untuk berceramah di sana sini tidak kira masa.
Kandungan ceramah mereka sudah diketahui umum asyik menghentam di pihak yang satu lagi. Tiada satu pun yang baik seolah-olah mereka ini cukup sempurna. Adakah ceramah sebegini boleh meningkatkan produktiviti?
Kebanyakan ceramah ini diadakan sampai jauh malam. Keesokan harinya rakyat yang menghadiri ceramah tersebut akan letih untuk bekerja. Belum masuk lagi, perbualan sesama mereka mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan dalam ceramah tersebut yang tidak tentu lagi kebenarannya. Terlalu banyak masa dibuang dengan menghadiri ceramah-ceramah yang tidak menguntungkan rakyat.
Sama juga, ada di kalangan ahli politik yang lebih suka berdemonstrasi dan mengajak rakyat turut serta berdemonstrasi. Tidak diketahui sejauh manakah para pemimpin sebegini bekerja secara produktif demi rakyat.
Itu belum diambil kira sejauh manakah prestasi sebenar para pemimpin sebegini. Tunjukkan bukti prestasi sebenar agar rakyat boleh mencontohi dan membuat pilihan bukannya mengajak rakyat berdemonstrasi sampai menjejaskan produktiviti orang lain.
Umpamanya, peniaga-peniaga di sekitar kawasan demonstrasi tidak boleh bekerja seperti biasa. Orang ramai juga tidak boleh bergerak dengan mudah untuk menyelesaikan kerja-kerja mereka. Ini belum termasuk jika berlakunya kekecohan sehingga menjejaskan keamanan negara.
Kita terlalu diajar untuk menegakkan hak diri sendiri sedangkan ini adalah ajaran Barat. Ajaran agama Islam mengiktiraf hak orang lain lebih penting daripada hak diri sendiri. Umpamanya, mana lebih baik tangan yang memberi sedekah atau tangan yang menerima sedekah?
Jawapannya sudah tentu yang memberi sedekah kerana mengiktiraf hak orang lain untuk mendapatkan bantuan. Tetapi tidak, sesetengah para pemimpin politik lebih suka bercakap mengenai hak diri sendiri dan hak sama rata sampai melupakan hak saksama orang lain.
Akibatnya banyak kekecohan telah berlaku dan menjejaskan keamanan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12. Akhirnya penumpuan rakyat (juga sebagai pekerja) terpesong ke arah hal- hal politik seumpama ini berbanding peningkatan produktiviti. Yang rugi sudah tentulah rakyat dek kerana ekonomi negara tidak dapat dipacu dengan peningkatan produktiviti.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA)dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe)Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan