Khamis, 21 Jun 2012

ISU BAHASA : Bahasa Melayu makin gawat!



Oleh :  Salbiah Ani

NAMPAKNYA Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersungguh-sungguh dengan langkahnya untuk mengaudit bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan seperti pertama kali disuarakan pada 14 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan, mengulangi ketegasannya berhubung perkara terbabit kelmarin dengan menjadikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sasaran pertama organisasi terbabit dalam melaksanakan misi yang akan dimulai pada akhir tahun ini.

Penulis ucapkan syabas kepada Dr Awang yang mengambil langkah berani sebaik menerajui DBP daripada bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz yang sebelum ini bergelut dengan permasalahan penerbitan dan pemasarannya disebabkan Dawama Sdn Bhd (DAWAMA).

Hendaknya ‘keberanian’ itu seperti bara api dalam sekam, biarpun ramai rakyat Malaysia termasuk bangsa Melayu sendiri memperlekehkan bahasa itu dan bukannya angan-angan tahi ayam apabila masalah demi masalah melanda institusi terbabit dalam hal memperkasakan bahasa kebangsaan.

Seperti diketahui bahasa Melayu yang diberi haknya dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan pendidikan negara, diserang ‘jerebu’ yang gawat apabila semakin ramai rakyat Malaysia, baik dalam kerajaan apalagi sektor swasta, sanggup ‘melacurkannya’!

Penulis berharap ia tidak sekadar janji kosong seperti yang pernah ditunjukkan seorang pemimpin politik negara ini yang mengumumkan DBP akan diberi kuasa menghukum pesalah bahasa, tetapi hampir sedekad berlalu, tiada perkembangan didengar berhubung perkara terbabit!

Terus terang penulis tidak nampak masa depan yang cerah bagi bahasa Melayu di Malaysia, baik dalam ranah rasmi mahupun tidak kerana banyak bukti menunjukkan ia menuju kehancuran, semakin lebur daripada dimartabatkan apalagi diperkasakan!

Tentunya kesungguhan DBP tidak akan membawa sebarang makna dan ibarat perjuangan tanpa kesudahan, jika ia tidak disusuli dengan sokongan dan dokongan daripada pihak berkuasa atau individu berwewenang dalam politik tanah air demi menjadikan hasrat itu suatu kenyataan.

Lihat saja bagaimana bahasa Melayu ‘disembelih’ ibarat kilat sama ada oleh bahasa rojak - campuran Melayu dan Inggeris atau terus dipinggirkan dan digantikan sepenuhnya oleh bahasa Inggeris, Mandarin mahupun Tamil, sesuka hati!

Apa yang penulis katakan ini bukan diada-adakan, tetapi hakikat yang dapat dilihat dengan mata kepala saban hari dan ketika, baik sewaktu membaca papan tanda, bergebang di kedai kopi, membeli-belah di kedai kecil apalagi gergasi, mendengar radio mahupun menonton televisyen.

Pelakunya pula tidak berasa bersalah kerana sememangnya diarahkan berbuat demikian oleh penerbit rancangan dalam usaha mengumpul pendengar atau penonton, selain tuan punya syarikat mahu ia berlangsung secara demikian kerana ‘aku punya wang, aku punya kuasa, aku punya pasal’!

Bagaimana agaknya DBP hendak menangani iklan milik kerajaan seperti dipamerkan di televisyen baik yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, apalagi stesen milik swasta?

Lihat saja iklan kesungguhan kerajaan menepati janji yang diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan semangat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', betapa banyak peraturan bahasa kebangsaan yang dilanggar?

Apakah DBP yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran punya keberanian untuk menegur pemimpin politik tertentu yang lebih kerap bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu, hatta dalam acara rasmi apalagi jika bukan?

Bagaimana pula dengan nasib bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi negara ini yang menyaksikan kedudukannya semakin diambil alih bahasa Inggeris dan mendapat restu daripada Kementerian Pengajian Tinggi?

Inilah bahayanya apabila kuasa ekonomi bukan di tangan Melayu dan bertambah gawat apabila Melayu yang menguasai ekonomi mahupun politik, lupa diri akan hakikat asal bangsa dan bahasa serta jati diri sebagai rakyat Malaysia!

Apabila bercakap dalam hal bahasa Melayu, mahu atau tidak, penulis terpaksa tabik hormat kepada Indonesia yang sentiasa mendahulukan bahasa mereka dalam apa juga keadaan, baik hal politik mahupun ekonomi, lalu bahasa mereka terus diperkasakan, hatta oleh orang asing di negara itu!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen