Ahad, 1 Julai 2012

ISU GLOBAL : Pahit manis kemenangan Mursi


Oleh : ZIN MAHMUD

KEJAYAAN wakil Ikhwanul Muslimin, Muhammad Mursi sebagai Presiden Mesir adalah bersejarah, penuh harapan tetapi ia adalah kemenangan pahit dengan menghadapi cabaran berlapis-lapis.

Paparan dari media antarabangsa menunjukkan rakyat Mesir bergembira dengan kemenangan beliau dan penyokong-penyokong Ikhwan melakukan sujud syukur.

Perkembangan bersejarah itu, bukan saja bagi Mesir tetapi juga bangsa Arab, rantau Timur Tengah dan umat Islam.

Kalau hendak dikirakan, kemenangan Mursi itu merupakan peristiwa pertama di mana penduduk Mesir memilih pemimpin mereka sejak 5,000 tahun negara itu diwujudkan.

Mesir adalah antara negara purba yang masih wujud, walaupun sekarang dalam bentuk moden. Pada zaman Firaun, sudah tentu rajanya tidak dipilih rakyat. Begitu juga semasa menjadi sebahagian daripada empayar Yunani dan Rom. Juga semasa pemerintahan kerajaan Islam dan selanjutnya di zaman moden ini.

Ketika Mesir diwujudkan sebagai negara bangsa yang muncul daripada runtuhan Khilafah Uthmaniah, ia diperintah pula oleh raja, terakhir ialah Al Malik Farouk sebelum digulingkan oleh pihak tentera nasionalis pimpinan Mohammad Naguib dan Gamal Nasser.

Penubuhan Republik Arab Mesir yang asasnya bersifat kiri dan progresif tetap tidak memberi ruang sistem demokrasi bagi membolehkan ketua negara dipilih oleh rakyat. Hinggalah ketua negara akhir rejim tentera ini, Hosni Mubarak jatuh akibat kebangkitan rakyat Arab yang turut merebak ke Kaherah.

Kebangkitan yang menuntut sistem demokrasi, urus tadbir baik dan pembangunan untuk rakyat akhirnya membuka ruang kepada Ikhwan memperoleh kuasa melalui kemenangan dalam pilihan raya dewan perundangan dan presiden.

Keadaan ini bukan saja mengejutkan tetapi merupakan satu ironi. Kebangkitan rakyat Mesir ini tidak digerakkan oleh Ikhwan tetapi berpunca daripada apa yang berlaku di Tunisia dan seterusnya digerakkan oleh kaki tangan syarikat Facebook.

Cumanya Ikhwanul sejak penubuhannya pada tahun 1920-an telah muncul sebagai pergerakan sosial yang memberi perkhidmatan rakyat di samping menjadi organisasi politik pembangkang paling tersusun dan menyeluruh.

Berjuang

Dari segi asasnya Ikhwan tidak memperjuangkan demokrasi kerana ia merupakan gerakan Islam yang mahu berjuang untuk pembaharuan masyarakat. Pengasasnya, Hassan Al-Banna berdakwah hingga ke kelab-kelab malam kerana mendapati masyarakat Mesir pada zaman Raja Farouk begitu bobrok, iaitu tidak bermoral dan tanpa semangat membangun.

Ikhwan bersepakat dengan gerakan nasionalis pimpinan Gamal Nasser menggulingkan Farouk. Tetapi Nasser mempunyai fahaman lain. Beliau memperjuangkan nasionalisme dan sosialisme tetapi tidak menerima fahaman gerakan Islam.

Maka tidak hairanlah Nasser bukan saja menyingkirkan Ikhwan, tetapi gerakan itu diharamkan dan pendokong-pendokongnya ditangkap, diseksa dan dibunuh.

Maka dari keadaan ini muncullah syuhada Ikhwan seperti Sayid Qutb yang mencorakkan pemikiran bagi gerakan itu, dengan pengaruhnya merebak ke seluruh dunia.

Tetapi semasa Anwar Sadat dan Hosni Mubarak, Ikhwan menyesuaikan diri. Walaupun diharamkan, mereka tetap menyertai pilihan raya melalui parti lain umpamanya Parti Buruh. Pilihan raya yang disertai mereka pada zaman Mubarak dimanipulasi rejim tentera dan kuasa sebenar tidak pernah dikembalikan kepada rakyat.

Tiba-tiba kini Ikhwan memikul tanggungjawab memenuhi tuntutan rakyat yang mahukan demokrasi. Mereka menyertai pilihan raya ini melalui Parti Kebebasan dan Pembangunan (JDP) dengan mengambil Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) Turki sebagai model.

Setelah menang, Mursi melepaskan keanggotaannya dalam Ikhwan untuk menjadi presiden bagi semua rakyat Mesir. Beliau menimbangkan kemungkinan akan melantik seorang Kristian Kibti dan seorang wanita sebagai naib presiden.

Walaupun gambar menunjukkan beliau mengimamkan sembahyang selaku seorang pemimpin Muslim, tetapi komitmennya adalah untuk menjadi ketua negara bagi semua rakyat Mesir tanpa mengira agama dan aliran fahaman.

Beliau tentu sedar, kemenangan yang diterima adalah tipis dan banyak memberi undi kepadanya adalah kerana tidak ada calon lain. Tentulah pendokong perubahan tidak tergamak untuk memilih Ahmad Shafik, wakil daripada rejim tentera untuk menjadi presiden. Maknanya Mursi mesti tampil sebagai presiden sekular dan demokratik. Cita-cita asal dan awal Ikhwan mesti diketepikan dahulu.

Cabaran utama yang dihadapinya ialah bagaimana menghadapi pihak tentera yang hakikatnya belum melepaskan kuasa mereka.

Tetapi Mursi pada Jumaat lalu pergi ke Dataran Tahrir dan mengangkat sumpah secara simbolik sebagai presiden. Ia seolah-olah mahu memberitahu, beliau mendapat kuasa daripada rakyat yang berhimpun di dataran itu, dan bukannya pihak tentera. Majlis angkat sumpah rasmi berlangsung semalam.

Cabaran selanjutnya ialah bagaimana hendak memenuhi harapan tinggi rakyat yang telah lama terpinggir dan diabaikan oleh rejim Mubarak. Tentu perubahan tidak boleh dibuat mendadak kerana sememangnya tidak mungkin. Ia adalah suatu perjalanan panjang yang memerlukan banyak pengorbanan.

Sementara itu, pihak lain yang mahukan kuasa, umpamanya dari kalangan golongan nasionalis kiri, liberal sekular, golongan Salafi yang ekstrem dan pihak tentera sendiri akan terus mengganggu beliau serta Ikhwan.

Tambahan pula Mesir mempunyai kedudukan geopolitik yang unik dan penting. Ia bukan saja sewajarnya menjadi negara pemimpin Arab, tetapi juga umat Islam. Tanggungjawab bagi membebaskan Palestin juga ada pada bahu Kaherah. Apabila melibatkan Israel, sudah pasti Amerika Syarikat (AS) yang berjanji akan terus memberi bantuan kepada Mesir mengharapkan Mursi akan tetap menjadi sekutu mereka walaupun berlatar belakang gerakan Islam. Mursi diharapkan oleh AS akan menjadi pemimpin yang dapat menjayakan Mesir sebagai negara dan seterusnya mendapatkan penyelesaian bagi isu Palestin.

Cabaran

Tugas Mursi ternyata berat. Tetapi proses politik antarabangsa acap kali di luar perkiraan pelaku-pelakunya. Lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi di mana pemimpin hanya mampu memerintah paling lama ialah dua penggal. Keadaan akan terus dalam suasana tidak menentu.

Apa yang nyata, sesuatu perubahan besar yang tidak disangka-sangka boleh berlaku di Timur Tengah. Buat masa ini pertumpahan darah yang banyak di Syria menjadi perhatian. Pendokong-pendokong Ikhwanul Muslimin Syria banyak yang dibunuh.

Mursi pasti perlu memainkan peranan menyelamatkan rakyat Syria daripada terus menjadi mangsa kekejaman rejim Baath, lebih-lebih apabila bercampur dengan faktor mazhab. Hubungan Sunah-Syiah juga menghadapi cabaran.

Dalam keadaan ini, ia juga menarik campur tangan Iran. Mursi pun sudah memberi amaran bahawa beliau tidak akan menerima kunjungan duta Iran selagi Teheran tidak menghentikan sokongan kepada Damsyik.

Kalau dari segi persaingan antara AS melawan penentang-penentangnya, maka Mesir menjadi sekutu Barat.

Kebangkitan rakyat Arab yang walaupun telah menjatuhkan diktator-diktator sokongan Barat, tetapi penggantinya yang menang pilihan raya adalah terus bersekutu dengan mereka.

Maka bila rejim Damsyik akhirnya nanti tumbang, Syria juga akan bersama Barat. Maka negara yang tinggal menentang AS ialah Iran.

Pastinya menurut idealisme Ikhwan, mereka tidaklah mahu bersekutu dengan AS dan Barat.

Tetapi buat masa ini dalam melindungi kepentingan rakyat dan negara, mereka tidak dapat lari daripada bersekutu dengan AS .

Perkiraan rakyat biasa bukanlah percaturan geopolitik jangka panjang. Apa yang penting ialah kehidupan seharian yang lebih baik dengan anak-anak muda berpeluang mendapatkan perkhidmatan keperluan asas seperti kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan yang luas.

Tuntutan asas inilah yang mencetuskan kebangkitan rakyat Arab. Setelah gagal pada masa kediktatoran kiri dan kanan, kini orang muda terutamanya mengharapkan demokrasi dan kebebasan dapat memenuhi harapan mereka.

Tetapi jika dilihat terhadap apa yang berlaku di Eropah, sistem demokrasi dan kebebasan semata-mata tidak menjamin kejayaan sesebuah negara.

Untuk mendapatkan kejayaan akhirnya bergantung juga pada kepimpinan di semua peringkat dalam sesebuah negara. Termasuk juga pihak pembangkang dalam negara berkenaan.

Presiden-presiden Mesir terdahulu hebat-hebat belaka. Mohammad Naguib, Gamal Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Tetapi mereka gagal memberikan kesenangan kepada rakyat biasa Mesir.

Maka kini Mursi pula diberi amanah untuk memenuhi harapan rakyat. Bila pihak tentera benar-benar menyerahkan kuasa kepada Mursi, maka Mesir memasuki era demokrasi baru.

Tetapi kejayaan belum pasti lagi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan