MUKADIMAH :
SESI akademik 2012 / 2013 yang
akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / setaraf
memulakan sesi pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Jumlah itu menunjukkan pertambahan
lebih baik berbanding tahun lalu terutama membabitkan kemasukan ke aliran Sains
iaitu sebanyak 57 peratus berbanding 55 peratus pada tahun lalu, iaitu
menghampiri sasaran 60:40 antara aliran Sains dan Sastera.
Wartawan Utusan Malaysia, SITI
MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED
KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan
dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
UTUSAN : Boleh Datuk Seri
jelaskan mengenai jumlah kemasukan sesi akademik 2012 / 2013 tahun ini?
MOHAMED KHALED : Sesi
akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247
pelajar lepasan SPM, STPM / setaraf memulakan sesi pengajian di institut
pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan 46,698 (SPM/setaraf) dan
38,549 (STPM/setaraf) calon berjaya ditawarkan tempat pengajian berbanding
jumlah permohonan yang diterima masing-masing sebanyak 218, 931 dan 101,864
pemohon.
Boleh dikatakan pertambahan lebih
baik dari tahun lalu, pertama dari segi memberi tempat kepada pelajar jurusan
Sains berbanding Sastera. Jika dulu Sains tidak sampai 55 peratus tetapi kali
ini kita capai keseluruhan 57 peratus, iaitu menghampiri sasaran 60:40. Begitu
juga pertambahan pelajar lelaki, tetapi tidak bermakna mengurangkan tempat
perempuan. Ia bagi menentukan lelaki juga adalah modal insan untuk negara,
perkara ini akan diteruskan.
Begitu juga pelajar luar bandar,
seramai 13,484 pelajar dari kawasan tersebut berjaya ditawarkan tempat pengajian
dan ia membuktikan usaha kita untuk memastikan tidak ada pelajar dari kawasan
pedalaman tidak mendapat peluang.
UTUSAN : Bagaimana pula
jumlah kemasukan ke program teknikal?
MOHAMED KHALED : Jumlah
pelajar yang memohon dan ditawarkan kemasukan ke program teknikal dan teknologi
menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu seramai 1,555 pelajar berjaya
ditempatkan mengikuti program itu berbanding 950 pelajar pada sesi akademik
lalu.
Indikator yang kita ukur selain
gender, Sains dan Sastera, teknikal dan kemahiran juga diambil kira kerana
untuk mencapai negara maju adalah dengan membuat pengimbangan baik antara
pelajar teknikal bukan semata-mata akademik.
Ia sekali gus membuktikan usaha
kementerian untuk mengarus perdana program kemahiran apabila pelajar-pelajar
yang mendapat keputusan baik juga memohon program ini sebagai pilihan utama,
ini satu perkembangan baik.
UTUSAN : Bagaimana pula
langkah kementerian untuk memastikan semua pelajar yang memperolehi Purata
Nilai Gred Keseluruhan ( PNGK ) 4.0 mendapat program pengajian mengikut pilihan
pertama mereka?
MOHAMED KHALED : Bermula
tahun ini, seramai 600 pelajar cemerlang menjadi kumpulan pertama yang akan
ditempatkan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengikuti program
pengajian perubatan, pergigian dan farmasi. Langkah itu dibuat berikutan tiada
kekosongan di IPTA sekali gus memenuhi impian pelajar yang memperolehi PNGK 4.0
untuk mengikuti program berkenaan memandangkan ia merupakan pilihan pertama
mereka. Penempatan mereka di IPTS itu akan dibiayai Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA).
Apa yang penting seramai 3,536
pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 sebahagian besarnya mendapat program
pengajian mengikut pilihan pertama mereka. Kita mahu pelajar ini mempunyai
kesungguhan, keghairahan dan komitmen untuk belajar sebab ia merupakan pilihan pertama
mereka. Buat pertama kali juga kita turut memberi tempat kepada semua pelajar
lepasan matrikulasi dan pusat asasi yang mendapat PNGK 2.8 ke atas, dengan
syarat tidak memilih.
UTUSAN : Pengambilan
pelajar bagi peringkat Ijazah Pertama berkurangan berbanding tahun lalu, kenapa
ia berlaku?
MOHAMED KHALED : Ia
berlaku berikutan tiada unjuran khusus untuk program Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (ISMP) oleh Kementerian Pelajaran selain penyelarasan unjuran
Universiti Penyelidikan meningkatkan pelajar pasca siswazah. Bagaimanapun,
kementerian merancang untuk menampung kekurangan tempat di Universiti
Penyelidikan bagi peringkat Ijazah Pertama untuk ditempatkan di IPTA lain yang
melibatkan perancangan, peruntukan dan kesediaan infrastruktur serta tenaga
pengajar.
Ketiadaan unjuran daripada
Kementerian Pelajaran menyebabkan pelajar yang mengikuti program pendidikan di
IPTA tiada jaminan pekerjaan apabila keluar kelak. Oleh itu, kita mengambil
pelajar setakat 2,304 di sembilan IPTA berbanding 3,002 di 11 IPTA sesi
sebelumnya.
UTUSAN : Apakah sistem
meritokrasi masih menjadi amalan dalam pengambilan pelajar kali ini?
MOHAMED KHALED : Sistem
meritokrasi ini kita akan kekalkan. Kita perlu terima hakikat bahawa pelajar
luar bandar ada di kalangan mereka tidak mendapat keputusan yang begitu baik.
Oleh itu, kalau sistem meritokrasi tidak diberi perhatian mungkin mereka akan
tercicir, jadi kita mahu fikir bagaimana nak bantu golongan seperti ini.
Setakat hari ini kita tidak
berhadapan cabaran besar, kita berupaya untuk memberi tempat kepada pelajar
mengikut bidang dan universiti yang mereka pilih. Cabaran kita adalah tidak
cukup tempat terutama bidang kritikal. Bagaimanapun, masalah itu tidak boleh
diatasi sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu
yang ditentukan oleh badan profesional masing-masing seperti bidang perubatan,
farmasi, pergigian atau kejururawatan. Atas sebab itulah cabaran kita bukan
semata-mata kepada asas yang kita gunakan iaitu meritokrasi.
UTUSAN : Apakah nasihat
Datuk Seri kepada pelajar setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) bakal dilaksanakan pada sesi akademik kali ini dan pilihan raya kampus
yang akan diadakan September ini?
MOHAMED KHALED : Pindaan
AUKU membolehkan pelajar menyertai kegiatan politik kepartian di luar kampus
dalam masa sama mereka perlu tahu universiti adalah tempat di mana proses
pendidikan berjaya dilaksanakan. Universiti perlu bebas daripada politik
kepartian.
Pelajar perlu mematuhi akta itu
supaya universiti tidak dijadikan gelanggang politik. Ia bagi membolehkan
proses pendidikan dilaksanakan secara sempurna dalam universiti, oleh itu
mereka perlu menghormati segala perkara yang ditetapkan pihak universiti.
Begitu juga dengan pemilihan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui pilihan raya kampus September ini, saya
percaya pelajar akan memilih yang boleh menjaga kedudukan dan kebajikan mereka,
bukan ada hubung kait dengan perkara luar. Saya percaya MPP merupakan gerakan
bebas dan bermaruah dan tidak membenarkan mana-mana pihak memperalat mereka.
UTUSAN : Bagaimana akses
pengajian tinggi di masa hadapan? Apakah IPT yang sedia ada mampu menampung
permintaan?
MOHAMED KHALED : Kita
bernasib baik kerajaan melihat sektor pengajian tinggi sebagai satu pelaburan
dan memberi fokus soal pembangunan modal insan dan meletakkan golongan muda
sebagai sasaran fokus itu. Kerajaan juga berusaha untuk memberi peluang kepada
pelajar kita dalam meneruskan pengajian di peringkat tinggi.
Ini bermakna soal akses itu
menjadi satu perkara berterusan kerajaan sediakan. Dalam usaha ke arah itu
kerajaan akan meningkatkan kedudukan IPTA sedia ada selain memberi peluang
pihak swasta melengkapkan peranan kerajaan bagi membolehkan mereka mewujudkan
institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Selain itu, beberapa cawangan
IPTA akan dibuka dan mewujudkan hab pendidikan di Pagoh, Johor serta menyiapkan
beberapa politeknik baru. Kerajaan juga memberi jaminan kadar yuran pengajian
di IPTA tidak akan dinaikkan termasuk mengekalkan subsidi 90 peratus untuk
menanggung kos yuran pengajian itu dan mengekalkan Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai sebuah badan yang akan memberi pinjaman kepada
pelajar bagi menampung kos yuran dan sara hidup pelajar.
UTUSAN : Mengenai isu
Unisel, ada sesetengah pihak berpendapat agar kementerian dapat mengambil alih
pengurusan supaya masalah dapat diselesaikan, apa pendapat Datuk Seri?
MOHAMED KHALED : IPTS
diwujudkan berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan pihak yang mewujudkannya,
ini kerajaan negeri yang mewujudkan Unisel. Saya tidak lihat penyelesaian
kepada semua itu adalah Kerajaan Pusat ambil alih. Jika begitu, kita tidak akan
membangunkan kesungguhan dan keupayaan mencari penyelesaian masalah dan cabaran
akhirnya longgok kepada Kerajaan Pusat.
Kerajaan Selangor perlu ada
kesungguhan dan komitmen untuk menentukan Unisel berdaya tahan dan berdaya
saing agar terus kekal maju sebagai penyumbang kepada sektor pengajian tinggi
negara. Kerajaan setakat ini akan membuat keputusan memindahkan pelajar ke IPTS
lain jika keadaan memerlukan supaya mereka tidak teraniaya dan bukannya
Kerajaan Pusat ambil alih sebab kita dah cukup dengan 20 IPTA.
Sepatutnya isu ini tidak timbul
apatah lagi ia dimiliki oleh kerajaan negeri dan sudah tentu dapat menyediakan
kemudahan lebih baik. Saya percaya pelajar membuat bayaran mencukupi, jadi saya
tidak nampak perkara ini tidak diurus dengan baik oleh kerajaan negeri.
UTUSAN : Apa nasihat Datuk
Seri terutama kepada pelajar baru yang bakal memasuki alam baru pengajian?
MOHAMED KHALED : Saya
berharap agar sepanjang mereka berada di IPT, mereka dapat mencapai apa
matlamat mereka berada di universiti, apabila mereka keluar kelak dapat menjadi
seorang yang sempurna, berguna kepada bangsa, agama dan negara.
Saya berharap supaya mereka yakin
dari segi segala kemudahan yang kerajaan sediakan dan peluang pembelajaran yang
ada untuk mereka kerana mereka menjadi sebahagian daripada misi nasional iaitu
modal insan yang berguna kepada negara sehingga membolehkan negara bersaing di
peringkat dunia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan