Jumaat, 14 September 2012

ISU BAHASA : Nilai ekonomi bahasa Melayu di Nusantara


Oleh : Johan Jaaffar
 
Baru-baru ini saya telah menemui sekumpulan pemimpin muda Republik Singapura. Mereka terdiri daripada ahli politik, pimpinan NGO, budayawan, penulis dan wartawan daripada pelbagai bangsa. Kami membincangkan banyak isu, paling menarik tentunya ialah pengalaman Singapura menangani isu bahasa.

Antara tokoh muda itu terdapat beberapa orang anak Melayu. Mereka ternyata menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan apabila bercakap dalam bahasa Melayu terasa benar kekoknya. Mereka mengakui bahawa bahasa Melayu, walaupun menjadi salah satu bahasa rasmi republik itu, amat kurang peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan. Perjalanan Singapura dalam soal kebahasaan amat berbeza dengan pengalaman Malaysia, Indonesia, Brunei atau Filipina. Saya mendapat kesan bahawa persepsi mereka ialah kepentingan bahasa Inggeris tidak ada galang gantinya hari ini. Mereka boleh hidup dengan hanya menguasai bahasa Inggeris. Memang terbukti sejak Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, republik itu menjadi kuasa ekonomi serantau. Salah satu daripada kunci kejayaannya ialah penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Saya memperingat mereka tentang buku bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew, My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey. Memang Lee Kuan Yew bertanggungjawab menghapuskan sistem sekolah vernakular pada peringkat awal kemerdekaan negara itu. Beliau membuat keputusan itu ekoran tindakan pelajar aliran Cina yang militan ketika itu.

Walau bagaimanapun Lee Kuan Yew percaya perlunya pemimpin Singapura menguasai pelbagai bahasa. Beliau sendiri mendalami bahasa Mandarin dan memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Akhir-akhir ini beliau mengakui bahawa akibat penekanan pada bahasa Inggeris, bahasa ibunda menjadi korban. Beliau mencadangkan ‘Lee Kuan Yew Bilingualism Fund’ bagi menyemarakkan pengajaran dalam bahasa ibunda di sekolah. Beliau sedar bahawa anak-anak perlu menguasai bahasa ibunda sekurang-kurangnya sehingga usia 12 tahun sebelum memberikan tumpuan kepada bahasa Inggeris.

Rata-rata pemimpin Singapura hari ini terbentuk dalam sistem satu bahasa. Bahasa vernakular yang lain semakin diabaikan. Alasan yang diberikan ialah bahasa-bahasa vernakular tidak penting lagi. Bahasa Cina hanya diberikan perhatian serius apabila Negara China bangkit sebagai raksasa ekonomi baharu.

Saya menghujahkan bahawa bahasa Melayu dituturkan oleh tidak kurang 400 juta manusia di rantau ini. Angka itu sahaja sudah menjamin nilai ekonominya. Singapura merupakan satu-satunya negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di tengah lautan pengguna bahasa Melayu. Berdasarkan perhitungan strategik ekonomi sahaja, Singapura akan kerugian sekiranya bahasa Melayu diabaikan.

Mengetepikan kuasa beli 400 juta manusia tentulah tidak masuk akal. Bukan itu sahaja, hanya dengan menguasai lingua franca serantau, akan dapat difahami minda, sikap dan pandangan dunia penduduk setempat. Penjajah Inggeris satu masa dulu menghantar para pengkaji mempelajari bahasa dan sastera Melayu bagi memahami minda orang Melayu. Hanya dengan cara itu mereka memenangi hati dan perasaan orang Melayu.

Kita harus menerima hakikat bahawa bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa utama penduduk di rantau ini. Tidak ada dasar bahasa, dasar pendidikan atau kuasa politik yang akan mengubah hal itu. Bahasa Melayu dalam pelbagai variasinya (bahasa Indonesia, bahasa Brunei, bahasa Melayu Singapura, bahasa Melayu Selatan Thailand, bahasa Melayu Mindanao, serta bahasa sukuan sekian banyak kelompok etnik dan daerah) akan terus menjadi bahasa ilmu, komunikasi, budaya dan sastera. Kemajuan negara-negara di rantau ini tidak akan mengubah hal itu. Seperti juga China, Korea dan Jepun tidak mengubah dasar bahasa, negara-negara di rantau ini tidak akan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan mereka. Kenyataan ini kadangkala dilupakan oleh banyak pihak.

Kita juga harus menerima hakikat bahawa pada masa ini bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di kesemua negara di Nusantara, kecuali Singapura. Penduduk di rantau ini tidak akan membuang bahasa ibunda mereka semata-mata untuk maju dan berjaya.

Ini bermakna, bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa kelompok elitis, kaum pedagang dan bahasa komunikasi di alam siber. Sifat elitisnya akan melahirkan pula generasi elitis yang selalunya akan dituduh terpisah daripada akar dan teras bangsa mereka. Elit pemerintah, elit peniaga dan elit ilmuan ini selalunya memperagakan nilai dan psyche yang berbeza daripada rakyat terbanyak.

Tuntutan kelompok elit ini biasanya akan menjadi lantang kerana mereka mempunyai keupayaan menghujahkan pendirian mereka secara meluas. Mereka didukung pula oleh media elitis. Tetapi gelombang rakyat selalunya tidak menyebelahi mereka. Penentangan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan contoh klasik bagaimana kelompok majoriti yang selama ini kelihatan membisu bangun ‘memberontak’ terhadap dasar yang mereka anggap bertentangan dengan kehendak terbanyak.

Politik bahasa harus ditangani dengan waspada. Seperti mana lantangnya pendidik Cina mempertahankan bahasa Cina atas dasar perlunya pendidikan asas dalam bahasa ibunda begitulah lantangnya tuntutan massa untuk melihat bahasa kebangsaan dimuliakan.

Saya percaya pemimpin Singapura hari ini menyedari pentingnya memberikan empowerment kepada orang Melayu Singapura. Pada waktu yang sama mereka ingin melihat bahasa ibunda setiap kaum diberikan tumpuan. Perjalanan dwibahasa Singapura yang baharu akan mencorakkan sikap mereka terhadap rantau Nusantara.

Kita mempunyai kelebihan dalam soal ini. Soalnya sama ada kita tahu memanfaatkannya dengan baik?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan