Rabu, 12 September 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : KPT Tubuh Jawatankuasa Kaji Kemasukan Pelajar Pintar Ke IPT


PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji pandangan dan input berhubung transformasi bidang pendidikan termasuk mengenai kemas ukan pelajar pintar ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada usia lebih muda.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia selaras dengan pengumuman Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, dan antara input yang akan dikaji ialah mengenai pelajar pintar yang hanya melalui sembilan tahun zaman persekolahan berbanding 11 tahun yang dilalui pelajar-pelajar biasa.

"Kita bernasib baik kerana kita masih dalam peringkat di mana pandangan dan cadangan dibuka oleh Kementerian Pelajaran kepada semua pihak untuk kita bantu melahirkan dasar pendidikan yang baharu.

"Saya percaya kita akan merumus dan memberi pandangan dan input yang akan facilitate pelajar-pelajar pintar ini," katanya kepada pemberita selepasmenyampaikan insentif dan surat tawaran belajar kepada ratu terjun Negara Pandelela Rinong Pamg pada majlis sambutan Aidilfitri Bahagian Sukan KPT di sini, Rabu.

Mohamed Khaled berkata kementerian menyedari bahawa kerajaan ada menyediakan program-program khusus untuk pelajar-pelajar pintar, justeru pihak kementerian dan IPT tidak boleh mengetepikan program khas tersebut.

Kementerian dan IPT sebaliknya harus memikirkan bagaimana untuk menampung pelajar-pelajar pintar terbabit kerana ia sebahagian daripada usaha-usaha kerajaan, katanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan