Rabu, 24 Oktober 2012

ISU AGAMA : Pelajaran kebapaan daripada perintah korban


KISAH mengenai korban mencernakan pelajaran mengenai  kebapaan dan aplikasi dalam bidang kehidupan lain.

Pelajaran Pertama

Al-Quran mementingkan kebapaan yang positif. Hal ini dapat dilihat daripada interaksi dan komunikasi Nabi Ibrahim as dan anaknya. Mengapa Nabi Ibrahim as yang bercakap soal korban, bukan ibu Nabi Ismail as?

Lebih menarik lagi, dalam semua dialog antara anak dan orang tuanya melibatkan si bapa - iaitu dialog antara Lukman dan anaknya (Lukman:12-19), Yaakob dan anaknya Yusuf (lihat seluruh surah Yusuf) dan Nuh dan anaknya (Hud:42-3). Al-Quran tidak merakam walau satu pun dialog antara ibu dan anaknya.

Kesemua ini mengajar bahawa Al-Quran menganjurkan para bapa memainkan peranan aktif dan positif dalam pendidikan anak yang dimanifestasikan dalam komunikasi yang baik dan berkesan, walaupun tradisi Islam juga mengakui kepentingan ibu dalam pendidikan anak di rumah.

Ertinya, Muslim yang baik bukan seorang 'bapa kerusi malas' yang menyerahkan persoalan pendidikan anak di rumah kepada si ibu sahaja.

Pelajaran Kedua

Pendidikan yang baik bagi anak dan peranan kaum bapa dalam hal ini adalah penting.

Respons Nabi Ismail as apabila diberitahu tentang perintah Tuhan menunjukkan beliau seorang yang beriltizam dengan agama dan sanggup berkorban untuknya. Beliau juga seorang yang taat, hormat dan sopan terhadap bapanya.

Cara respons beliau juga menunjukkan kematangan yang tinggi sedangkan beliau hanya seorang 'ghulam' (remaja) pada ketika itu.

Pastinya, segala sifat ini tidak akan ada pada Nabi Ismail as tanpa didikan baik oleh ibu bapanya.

Oleh itu, cara pendidikan Nabi Ibrahim as terhadap anaknya - pendidikan berpandu wahyu Tuhan (Al-Quran) - harus dicontohi.

Pelajaran Ketiga

Komunikasi yang baik dan berkesan oleh bapa (juga ibu) dalam berhubungan dan mendidik anak adalah penting.

Hal ini dicerna melalui cara dialog Nabi Ibrahim as. Perkataan "ya bunayya" yang bermaksud "wahai anakku" yang dituturkan Nabi Ibrahim as amat relevan. Dalam bahasa Arab, perkataan "bunayya" berbanding "ibni" menggambarkan kehalusan bahasa, sopan dan fokus pada sifat kasih sayang si bapa dan bukan kuasanya.

Pelajaran Keempat

Cara pendidikan anak bukanlah melalui pendekatan 'dengar dan patuh' sahaja. Hal ini dapat dilihat sekali lagi dalam dialog Nabi Ibrahim as dan anaknya.

Beliau tidak hanya menyampaikan perintah dan meminta anaknya patuh tanpa banyak soal. Beliau meminta anaknya berfikir melalui kata-katanya, "Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" (Al-Saffat:102).

Ertinya, pendidikan anak dalam Islam haruslah menjurus pada pemikiran yang kritikal. Ketaatan hendaklah berdasarkan keyakinan dan iman, bukan kepatuhan buta pada kuasa dan tradisi sahaja.

Hakikat ini disokong contoh-contoh lain dalam Al-Quran iaitu:

- Malaikat menyoal Allah Taala tentang penciptaan Adam sebelum akur padanya (Al-Baqarah:30-3)

- Kisah Uzair yang menyoal bagaimana Tuhan dapat menghidupkan sesuatu yang telah mati (Al-Baqarah:259)

- Kisah Ibrahim mencari kebenaran dan menerima perintah Tuhan dalam ayat-ayat Al-Baqarah:260, Al-An'am:75-9, Hud, 74:75.

- Firman Allah tentang peranan ilmu dan kejelasan pada hujah dalam amalan agama dalam  Surah Yusuf: : 108.

Pelajaran Kelima

Musyawarah dalam hubungan keluarga adalah penting. Hal ini dilihat juga dalam dialog yang sama. Nabi Ibrahim as bersikap konsultatif sebelum melaksanakan perintah Tuhan, walaupun ketika itu beliau seorang nabi dan bapa dan anaknya hanya seorang remaja.

Amalan musyawarah antara bapa dan anak (juga ahli keluarga lain) dapat disokong oleh pelbagai ayat-ayat Al-Quran yang lain (Ali Imran:159, Al-Syura:38).

Bahkan, Al-Quran menganjurkan musyawarah antara suami dan isteri pada perkara sekecil soal penyusuan anak. Ertinya, kuasa tidak menjadikannya seseorang kuku besi ke atas bawahannya.

Pelajaran Keenam

Menguji dan menilai adalah aspek penting dalam pendidikan dan pembangunan diri. Pelajaran ini diperolehi melalui ujian yang Allah kenakan ke atas Nabi Ibrahim dan Ismail as.

Hal ini juga memberitahu Muslim bahawa bala, yang asalnya bermakna ujian (Al-Saffat:106), bukanlah semestinya berlaku sebagai hukuman ke atas dosa seseorang dan tanda kemurkaan, tapi juga sebagai satu rahmat dan tanda kasih Tuhan. Pastinya, Nabi Ibrahim dan Ismail as bukan insan yang dimurkai Tuhan. Sebaliknya, mereka adalah nabi-nabi yang maksum dan kekasih-Nya.

Oleh itu, seorang Muslim tidak seharusnya cepat membuat kesimpulan setiap kali berlaku bala bahawa ia kerana kemurkaan Tuhan, dosa atau azab. Muslim hendaklah menilai bencana yang berlaku dari segala sudut.

Ujian yang dikenakan Tuhan juga mengajar Muslim akan kepentingan penilaian bagi pencapaian seseorang kerana salah satu daripada sebab ujian diturunkan Tuhan ialah untuk menilai iman dan amal manusia (Al-Mulk:2), selain untuk mendidik.

Atas dasar ini, ibu bapa juga perlu menguji anak-anak mereka sebagai sebahagian daripada proses pendidikan dan penilaian mereka. Ujian dan penilaian tidak harus berlaku dalam pendidikan di sekolah sahaja.

Pelajaran Ketujuh

Berilah ganjaran setimpal, sama ada adalam bentuk hadiah atau pujian, apabila anak-anak kita berjaya dalam sesuatu ujian.

Dalam kisah yang dibicarakan, Allah Taala memuji dan memberi ganjaran korban kambing kepada Nabi Ibrahim dan Ismail setelah kededuanya berjaya dalam ujian-Nya (Al-Saffat:110-1). Maka, jangan seorang bapa lokek memberi ganjaran kerana Allah amat pemurah apabila mengganjari kesolehan hamba-hamba-Nya.

Kesimpulan:

Jika diteliti dengan mendalam, kita akan dapati bahawa ketujuh-tujuh pelajaran ini boleh dijadikan amalan dalam bidang-bidang lain selain kekeluargaan, iaitu pelajaran:

- kepimpinan dalam berurusan dengan pengikut di peringkat organisasi atau masyarakat

- pembangunan sumber manusia dalam organisasi

- bagi para pendidik di sekolah

- tentang nilai-nilai kecemerlangan sebuah organisasi

Boleh juga disimpulkan kejayaan sesuatu unit, daripada yang kecil seperti keluarga hingga yang besar seperti negara, memerlukan:

- pemimpin baik (Nabi Ibrahim as)

- pengikut baik (Nabi Ismail as)

- sistem baik (pendidikan dan pembangunan sumber manusia, penilaian, komunikasi dan musyawarah serta lain-lain.)

- nilai yang baik (berfikiran kritikal, taat, hormat menghormati dan sebagainya.)

Nota: Penulis adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa  S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Makalah ini adalah pandangan peribadinya.

Tiada ulasan:

Catat Komen