Isnin, 15 Oktober 2012

ISU BAHASA : Setiap rakyat mesti fasih bahasa Melayu


Oleh : Ridzuan Yop
 
Selepas 55 tahun negara mencapai kemerdekaan, wajarkah lagi kita mempersoalkan tahap penguasaan dan kefasihan berbahasa Melayu, terutama kepada mereka yang mengaku rakyat negara ini untuk bertutur dalam bahasa itu yang sudah diangkat sebagai bahasa kebangsaan.

Apabila ada pihak membangkitkan tahap penguasaan bahasa Melayu warga Malaysia sudah pasti ada sesuatu yang perlu dilihat secara serius dan diperbetulkan.

Kebimbangan terhadap tahap penguasaan bahasa Melayu pasti turut dikongsi banyak pihak, terutama pejuang bahasa, apatah lagi bahasa Melayu tunjang kepada kekuatan dan penyatuan bangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada September lalu turut menggesa agar setiap rakyat Malaysia menguasai bahasa ini.

“Saya nak sebut selepas 55 tahun merdeka, kita mesti pastikan setiap rakyat mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Kalau tidak boleh menulis tetapi dari segi pertuturan, cakap dan sebutannya mestilah baik,” tegas Najib ketika berucap melancarkan PPPM.

Perdana Menteri menegaskan semua sekolah mesti menguasai bahasa kebangsaan dan ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan soal politik oleh mana-mana pihak tetapi lebih kepada kepentingan nasional.

Memastikan setiap murid boleh bertutur bahasa Melayu dan Inggeris antara 11 anjakan utama dalam PPPM.

Menurut laporan awal PPPM, penguasaan bahasa Melayu penting dalam mentransformasi pendidikan secara keseluruhannya. Antara lain sistem pendidikan semasa dapat meningkatkan keberhasilan murid melalui bahasa Melayu.

Menurut laporan itu, penyertaan murid dalam sekolah rendah berlainan membawa kepada keberhasilan berbeza dalam kalangan murid pelbagai etnik.

Pelajar Bumiputera menunjukkan pencapaian baik dalam Bahasa Melayu, iaitu 84 peratus mendapat kredit minimum dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbanding 63 peratus daripada pelajar Cina dan 57 peratus lagi daripada pelajar kaum India. Semua keputusan berdasarkan peperiksaan SPM 2010.

Teguran PM tepat

Sepuluh anjakan lain untuk transformasi sistem pendidikan negara iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai; transformasi keguruan sebagai profesion pilihan; memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi di setiap sekolah; mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; Mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian; bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas; memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan yang terakhir meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.

Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyifatkan teguran Perdana Menteri berhubung penguasaan bahasa Melayu itu sebagai tepat dan kena pada masanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM berkata, paling membimbangkan ada individu atau rakyat negara ini yang langsung tidak boleh berbahasa kebangsaan.

“Saya menyokong teguran Perdana Menteri kerana perkara ini sudah lama berlaku, tetapi apabila orang akademik membangkitkannya ia mungkin tidak memberi kesan seperti yang dibuat oleh pemimpin nombor satu negara.

“Bahasa Melayu adalah bahasa negara kita, berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, jika Perdana Menteri kata, selepas 55 tahun merdeka ada lagi sebutan tidak betul, penggunaan ayat salah dari segi tatabahasa kita pun tertanya kenapa ada pendatang asing yang mampu bertutur lebih baik daripada sesetengah rakyat negara ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan