Jumaat, 12 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Empat Lagi Hospital Sertai Projek Sekolah Dalam Hospital



PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat lagi hospital dipilih menyertai projek 'Hati Nurani' iaitu Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memberi kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, dengan pembukaan empat SDH itu, bilangannya kini bertambah kepada tujuh selepas Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang dibuka Julai tahun lepas.

Katanya, SDH yang bakal dibuka adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan fasa kedua SDH menandakan kejayaan tiga SDH yang menjadi perintis kepada projek tersebut.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) Pelaksanaan Projek Hati Nurani: Sekolah Dalam HOspital, di sini, Jumaat.

MoU tersebut adalah antara Kementerian Pelajaran, PPUKM, HUSM dan Yayasan Yaqeen manakala dua lagi hospital tersebut telah menandatangani MoU sebelum ini antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan yayasan tersebut.

Muhyiddin berkata, sejak dilaksanakan tahun lepas, seramai 6,550 pelajar dari pra sekolah hingga ke sekolah menengah telah mendapat manfaat daripada program itu di ketiga-tiga hospital tersebut.

Katanya, Hospital Serdang mencatatkan murid pra sekolah paling tinggi iaitu 328 murid, Hospital Kuala Lumpur mencatatkan bilangan murid sekolah rendah paling ramai (1,730) manakala pelajar sekolah menengah paling tinggi iaitu 855 murid dicatatkan di Hospital Ampang.

"Ini menunjukkan bahawa semakin ramai murid-murid pesakit yang mendapat manfaat daripada pembukaan SDH ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya.

Justeru itu, beliau telah meminta kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhyiddin turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam fasa kedua program itu agar memberi kerjasama penuh dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

Beliau berkata, pengurusan program itu juga perlu diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelajar yang menerima rawatan mendapat pembelajaran seperti mana rakan-rakan mereka di sekolah.

Katanya, kejayaan SDH bergantung sepenuhnya kepada kerjasama semua pihak termasuk doktor, jururawat, pentadbiran hospital, guru serta ibu bapa pesakit.

Muhyiddin berkata, kementerian juga memutuskan bahawa program SDH akan menjadi program kekal dan ia sedang diinstitusikan sebagai program kementerian secara tetap yang mana pegawai dan guru di bawah penyeliaan dan pengurusan kementerian ditempatkan di hospital yang berkenaan.

Beliau juga membayangkan dalam satu tempoh yang tidak berapa lama, program itu dapat diperluaskan kepada lebih banyak hospital di negara ini.

Projek 'Hati Nurani' merupakan cetusan idea isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman, bagi memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan