Ahad, 7 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : JPJ Sasar Pasang 831 Kamera AES Dalam 18 Bulan


PEKAN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan pemasangan 831 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini 14 kamera AES telah dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak sejak 23 September lalu.

"Lokasi pemasangan AES ini dipilih berdasarkan kadar kemalangan atau kesalahan jalan raya (di tempat berkenaan) setelah kajian terperinci oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), JPJ, Jabatan Kerja Raya dan polis," katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ)' di sini.

Ismail berkata, AES akan turut dipasang di negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

"Bagi negeri Pahang, AES akan dipasang di 52 kawasan perangkap laju dan tujuh di lampu isyarat," katanya.

Program SKSJ memudahkan orang ramai khususnya di luar bandar memiliki lesen motosikal dengan lebih mudah dan cepat. - BERNAMA


INFO :

·         AES fasa pertama melibatkan 14 lokasi dengan pengoperasian 10 kamera tetap dan empat kamera mudah alih yang terdiri daripada kamera statik dan visual serta mampu mengesan dua kesalahan utama iaitu memandu laju serta melanggar lampu isyarat.

·         Papan tanda bagi lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera manakala lokasi kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat, diletakkan antara 50 hingga 500 meter daripada persimpangan lampu isyarat berkenaan.

·         Apabila sesuatu kesalahan dilakukan, rakaman oleh pengendali operasi akan dianalisis  dan disemak semula oleh JPJ sebelum saman dikeluarkan bagi memastikan kesalahan itu benar-benar berlaku.

·     Sebanyak 63,558 imej kesalahan lalu lintas dirakam di seluruh negara melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak sistem itu beroperasi 23 Sept lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan