Oleh : Dr Burhanuddin Jalal
Muhasabah diri, hindari perbuatan bertentangan syariat
Esok, kalendar Islam akan
bertukar ke tahun baru 1434 hijrah. Sambutan awal Muharam atau Maal Hijrah di
Malaysia disambut pada peringkat negara dan tema kali ini ialah ‘Wasatiyyah
Tonggak Kesatuan Ummah’.
Hijrah bertitik tolak daripada
peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan banyak peristiwa penting berlaku selepas
itu. Pastinya, banyak pengajaran dapat dipelajari daripada perjuangan
Rasulullah yang sewajarnya dijadikan iktibar.
Allah SWT tidak menjadikan
sesuatu peristiwa itu sia-sia bahkan ada pengajaran atau ‘ibrah’ di sebaliknya
bertujuan sebagai pengajaran serta panduan kepada umat berikutnya.
Firman Allah SWT: “Demi
sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan
iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang
terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia
mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan
ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah
petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Begitu juga dengan apa yang
terjadi kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa
kebenaran kepada seluruh umat. Banyak sirah Baginda yang berlaku untuk
membimbing kepada jalan kebenaran.
Maksud hijrah
Perkataan ‘hijrah’ bermaksud
berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan dalam konteks lain,
hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku. Dalam hal ini
Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman lebih kukuh dan mantap.
Setiap manusia yang hidup pasti
akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang yang beriman. Semakin tinggi darjat
keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan
dihadapinya.
Antara ujian itu disebut dalam
firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan)
kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum
musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu -
sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110)
Hijrah juga dapat dikaitkan
dengan aspek pengorbanan dan jihad kerana hijrah adalah antara cara untuk
mempertahankan akidah Islam yang suci serta menjaga kehormatan diri.
Ini bertepatan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada
jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang
mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)
Sempena sambutan tahun baru
hijrah 1434 ini, sewajarnya setiap kita bermuhasabah diri atau memperbetulkan
amalan supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan syariat Islam agar
sambutan yang diadakan lebih bermakna.
Transformasi lebih berjaya
Ini selaras persetujuan ulama
yang memahami peristiwa hijrah nabi adalah titik perkembangan dakwah Islamiah
bagi membina masyarakat dan menjurus seluruh umat Islam melakukan transformasi
ke arah lebih berjaya.
Umat Islam di negara ini
hendaklah mengambil peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW untuk menghayati ajaran
Islam supaya hidup mereka lebih bermakna serta berjaya. Biarlah niat hijrah
kita menjanjikan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT: “Dan sesiapa
yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya
ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang
makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada
Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya
telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)
Selain itu, semoga kita sama-sama
dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering dibaca bagi menyambut tahun
baru hijrah yang bermaksud: “Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang
qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang
melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami
memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan
pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri
yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu
Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari
mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi
yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke
atas mereka.”
Semoga kehadiran 1 Muharam 1434
akan membawa kebaikan dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat. Marilah
bersama menghayati firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian
kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu
bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang Islam yang bersaudara dan kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka
(disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari
neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada
kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
(Surah Ali-Imran, ayat 103)
Penulis ialah Pegawai KAGAT
dan kini bertugas di Pusat Psikologi dan Kaunseling Markas Tentera Darat,
Kementerian Pertahanan Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan