Oleh : Ku Seman Ku Hussain
SEJAK tertubuhnya "negara
Israel" di tanah air Palestin pada 1948, Israel telah melakukan ratusan
siri pembersihan etnik dan mahu mengusir Palestin dari tanah air mereka. Ini
bukan peperangan. Ini pembersihan etnik seperti yang berlaku di Eropah Timur
semasa Perang Dunia Kedua termasuk di Bosnia pada awal 1990-an. Bukanlah
peperangan namanya kalau kekuatan antara kedua-dua pihak bagai langit dengan
bumi.
Israel menggunakan senjata
pembunuh termoden termasuk penangkis berteknologi tinggi berbanding Palestin
yang masih menggunakan senjata konvensional dan selebihnya menggunakan lastik.
Dalam serangan terbaru, 168 orang awam Palestin terbunuh dan lebih 1,000 orang
lagi cedera. Tetapi di sebelah Israel hanya mengorban lima tentera. Daripada
angka ini, siapakah yang melakukan kekejaman?
Khamis lalu Perdana Menteri
Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan
pejuang Hamas. Walaupun semasa menghadiri sidang Kemuncak ASEAN ke 21 di Phnom
Penh, Kemboja minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama
berjanji menghentikan serangan, reaksinya terhadap gencatan senjata adalah
berbeza. Obama tetap berat sebelah apabila berkata, "Israel perlu
mempertahankan diri." Ini memberi gambaran bahawa Israel diserang bukan
menyerang yang mengakibatkan 168 orang awam Palestin terbunuh.
AS memang terlibat dalam perang
ke atas Palestin. Buktinya AS menyumbangkan sebanyak AS$290 juta kepada Israel
untuk membangunkan sistem penangkis peluru berpandu, Iron Dome. Sistem
penangkis ini digunakan dalam serangan terbaru untuk menangkis serangan balas
pejuang Hamas. Israel kini menggunakan lima bateri pelancar yang menelan
belanja AS$50 juta dan memerlukan tujuh lagi untuk mendepani Hamas.
Pembiayaan tambahan bateri dan
pelancar penangkis itu ditanggung oleh AS. Obama telah memohon kepada Kongres
pada 2011 untuk menyalurkan dana kepada Israel bagi mempertingkatkan sistem
pertahanannya. Semua ini membuktikan bahawa dalang di sebalik pembersihan etnik
di Palestin adalah AS. Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dalam reaksinya tidak
yakin gencatan senjata ini akan bertahan lama. Ini terbukti apabila tentera
Israel membunuh seorang awam Palestin dan mencederakan sembilan yang lain.
Israel telah mencabul gencatan senjata yang hanya bertahan sehari.
Sejak tercetus konflik Israel -
Palestin pada 1948, lebih 100,000 orang awam Palestin terbunuh dan dianggarkan
1.8 juta cedera. Angka ini tidak sepadan dengan hanya 3,700 tentera Israel yang
terbunuh dalam konflik tersebut. Perkara ini berlaku kerana Israel menyerang
dan melakukan pembersihan etnik.
Lautan darah
Lihat sahaja apa yang berlaku di
kem pelarian Sabra dan Shatila di sempadan Lebanon pada 16 hingga 18 September
1982. Kem itu menjadi lautan darah apabila rejim zionis membunuh lebih 3,000
orang awam sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, tidak ada seorang pun
pejuang Palestin di situ. Kekejaman itu berterusan apabila Israel dinaungi oleh
kuasa besar seperti AS. Di Sabra dan Shatila adalah pembersihan etnik walaupun
dinafikan oleh rejim zionis.
Dalam serangan terbaru Israel
menafikan mereka mensasarkan orang awam, sebaliknya kepada pejuang Hamas.
Penafian ini sama dengan serangan di kem Sabra dan Shatila, alasannya mereka
memburu pejuang Palestin tetapi yang dibunuh adalah wanita dan kanak-kanak.
Serangan di Masjid Dahmash pada
11 Julai 1948 juga serupa. Pasukan komando Israel yang diketuai oleh Moshe
Dayan telah membunuh lebih 100 orang awam yang sedang sembahyang. Katakan
apakah ini bukan pembersihan etnik? Moshe Dayan yang kemudian menjadi Menteri
Luar Israel digelar "syaitan mata satu" kerana sebelah matanya cedera
dan memakai penutup mata di majlis rasmi. Dia telah menyumbangkan banyak
catatan berdarah pembersihan etnik ketika mengetuai pasukan tentera Israel.
Kenyataan Obama bahawa Hamas pengganas
ternyata berat sebelah kerana statistik menunjukkan hanya lima tentera Israel
yang terbunuh berbanding lebih 168 orang awam Palestin terkorban.
Obama terus menafikan hak
Palestin yang menuntut status negara di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB). Walaupun menjadi sasaran pembersihan etnik, Palestin terus dihalang
untuk mendapat status negara bukan anggota di PBB. Semua ini kerana status itu
akan membolehkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague mendakwa
Israel melakukan jenayah perang.
Kerana itu yang menjadi kunci
kekuatan Palestin adalah Mesir. Negara yang baru merdeka dari menjadi proksi AS
ini adalah faktor kebangkitan Palestin. Perubahan politik Mesir yang
menyaksikan tumbangnya diktator pro Israel, Hosni Mubarak menjanjikan harapan
kepada Palestin.
Kemenangan Morsi menggugat Israel
apabila secara terbuka beliau menyatakan sokongan kepada Palestin dan pejuang
Hamas. Keadaan ini telah mengubah geopolitik Asia Barat apabila Palestin
mendapat tenaga baharu daripada jiran seperjuangan seperti Mesir. Ketika era
rejim Hosni Mubarak yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel,
Palestin dijadikan mangsa penindasan Mesir.
Janji Obama tidak membawa makna
berbanding kewujudan "Mesir baharu" yang lebih dekat dengan
perjuangan Palestin di Gaza. Malah sepenggal yang lalu Obama tidak
memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh membela Palestin yang dizalimi
Israel. Sebaliknya kenyataan awal Obama semasa Palestin diserang baru-baru ini
menyalahkan Palestin dan melabelkan Hamas sebagai pengganas yang mengancam
Israel.
Menebus derhaka
Ketika rakyat Palestin menderita
diserang Israel pada 2008 yang mengakibatkan lebih 250 orang terbunuh, beribu
tan makanan untuk Palestin terbiar dan rosak apabila Hosni Mubarak menutup
sempadannya. Kerana itu perkara pertama yang boleh dilakukan Mesir ketika ini
ialah membuka sempadan untuk membolehkan dunia menyalurkan bantuan kepada
Palestin.
Sebelum perancangan jangka
panjang untuk membebaskan Palestin, usaha jangka pendek yang diperlu
dilaksanakan adalah membuka pintu masuk melalui Mesir. Morsi mesti menebus
derhaka Presiden Anwar Sadat kepada saudara Islamnya di Palestin apabila
menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 26 Mac 1979. Anwar Sadat
dibunuh pada 6 Oktober 1981 ekoran bantahan perjanjian damai dengan Israel.
Bermula dengan Anwar Sadat hingga Hosni Mubarak, Presiden Mesir adalah kalangan
tentera dan mereka mendapat dana khas daripada AS.
Bantuan menerusi laut seperti
sebelum ini telah disekat oleh Israel dan sukarelawan dari pelbagai negara
telah dibunuh. Maka pilihan utama adalah jalan darat menerusi sempadan Mesir.
Ketika ini Palestin menderita ketiadaan air bersih, makanan, perubatan, sumber
tenaga dan juga bahan-bahan binaan untuk membangunkan semula kediaman yang
dimusnahkan Israel. Dengan adanya laluan di sempadan Mesir, bantuan dunia
kepada Palestin dapat diuruskan dengan lebih berkesan. Kunci untuk membebaskan
Palestin adalah kesepakatan Islam khususnya di Asia Barat. Kahadiran Mesir
telah menunjukkan petanda positif kepada Palestin. Kesediaan Iran dan Jordan
dengan sendirinya memberi tekanan kepada Israel. Obama tidak akan membuat
sesuatu untuk Palestin kerana itu bertentangan dengan dasar Yahudi. Obama akan
meneruskan dasar luar AS yang menyokong Israel dan menindas Palestin.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan