KUALA LUMPUR - Tan Sri
Muhyiddin Yassin menyarankan pihak berkenaan memberi perhatian terhadap
penggunaan bahasa ringkas yang tidak mengikut kaedah betul kerana bahasa yang
popular dalam kalangan generasi muda itu kini menular dalam aktiviti pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri berkata,
penularan hasil perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu perlu
dibendung segera supaya tidak berleluasa seterusnya merosakkan keindahan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Hari ini ejaan-ejaan
ringkas yang digunakan dalam mesej pesanan ringkas telah mula dipakai secara
agak meluas, termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di
institusi-institusi pendidikan.
"Ini adalah satu fenomena yang
perlu dipantau dan dibendung dengan segera supaya ia tidak terus
berleluasa," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Hadiah
Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,
Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar.
Muhyiddin, yang juga Menteri
Pelajaran berkata pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melyau yang
dijalankan DBP diharap berupaya mengelak keindahan bahasa kebangsaan itu
daripada dirosakkan.
Beliau berkata, selain inisiatif
itu, rakyat juga diseru agar dapat memupuk sikap cintakan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dengan menggunakannya secara betul pada setiap masa, sama ada
dalam urusan rasmi atau tidak rasmi.
Program audit tersebut adalah
inisiatif terbaru DBP di bawah pelan strategik bagi 2011-2015 untuk
meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat tempatan.
Di bawah program itu, DBP akan
bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan
bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia dalam
kehidupan seharian.
Timbalan Perdana Menteri berkata,
kecenderungan generasi muda yang hanya membaca karya yang bersifat popular juga
perlu diberi perhatian dengan mengimbanginya melalui penerbitan karya sastera
yang lebih serius.
Beliau berkata khalayak
masyarakat harus menyeimbangkan
pembacaan mereka dengan memilih karya sastera yang serius untuk menggarap
pemikiran yang lebih kritis dan membina nilai estetika.
"Dalam kerancakan penerbitan
novel popular dan mudah, ia juga harus diseimbangkan, dan apa yang ingin saya
lihat adalah wujudnya keseimbangan dalam penerbitan karya sastera dan pemilihan
bahan bacaan kerana tamadun bangsa berkembang seiring dengan kemajuan budaya
dan nilai kemanusiaan," katanya.
Dalam perkembangan sama,
Muhyiddin berharap Jawatankusa Penilai dan Pemilihan Teks sastera memberi
keutamaan kepada karya sastera yang memenangi HSPM untuk digunakan dalam mata
pelajaran kesusasteraan, bahasa Melayu dan Komponen Sastera (Komsas) di
sekolah.
Beliau berkata, semua karya yang
memenangi hadiah itu telah dinilai kualitinya, bukan sahaja daripada nilai
sasteranya yang tinggi, malah aspek bahasanya juga amat baik.
Seramai 35 pemenang HSPM daripada
tiga kategori yang dipertandingkan meliputi genre buku, eceran serta
kanak-kanak dan remaja menerima hadiah wang tunai bernilai lebih RM100,000 pada
majlis itu.
Antara pemenang ialah Kamaludin
Endot atau nama penanya Pelita Di Dalam Kaca menerusi karya berjudul Baldatun
Thoiyyibatun dan S.M Zakir dengan buku Serigala dan Sekuntum Tulip,
tokoh sastera Zaen Kasturi, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Fatimah
Busu dan novelis terkenal Allahyarham Azizi Abdullah. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan