BANGI: Menteri
Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata
adalah penting untuk orang ramai berasa yakin dengan sijil halal yang
dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menjadikan
negara ini sebagai hab halal di rantau ini.
Beliau berkata kerana itulah kadang
kala pihak Jakim mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan sijil halal,
berikutan piawaian yang ditetapkan adalah tinggi dan ketat.
"Sekarang ini saya
difahamkan banyak negara yang bawa produk mereka ke negara kita, buat
pembungkusan di sini dan gunakan logo halal Jakim untuk dieksport ke luar
kerana negara luar seperti di Timur Tengah memang mempercayai logo halal Jakim
berbanding logo dari negara lain.
"Jadi kalau kita nak jadikan
Malaysia sebagai hab halal, ia akan berjaya kalau orang yakin," katanya
kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil halal kepada sembilan
francaisi Tutti Frutti Malaysia di sini, Isnin.
Dalam ucapannya sebelum itu
Ismail Sabri berkata walaupun undang-undang tidak mewajibkan pengusaha restoran
dan kedai makan di negara ini mendapatkan sijil halal, namun mereka perlu peka
dengan kehendak masyarakat yang mementingkan soal kebersihan dan kehalalan
makanan.
Beliau berkata sehingga kini
hanya kira-kira 30 peratus daripada rangkaian francais di negara ini yang
mempunyai sijil halal.
"Saya galakkan dan saya
harap lebih ramai pengusaha restoran mendapatkan sijil halal supaya dapat
menarik lebih ramai pelanggan terutama yang beragama Islam.
"Pengguna pula perlu bijak
buat pilihan dan tidak perlu menyalahkan kerajaan sekiranya sesebuah restoran
itu tidak mempunyai sijil halal kerana mereka mempunyai pilihan untuk menolak
restoran jenis itu," katanya.
Sementara itu Ismail Sabri
berkata beliau dan delegasi kementerian akan ke Hong Kong Rabu ini untuk
mempromosikan pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari negara
ini melalui program Taste of Malaysia.
Selain itu beliau juga akan
menghadiri Franchise Exhibition yang disertai oleh 12 francaisor dari
negara ini, katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan