Khamis, 27 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Tangguh buka sekolah jika banjir tidak reda


PUTRAJAYA :  Sekolah-sekolah di negeri yang terjejas banjir mungkin terpaksa menangguhkan permulaan sesinya bagi tahun depan yang dijadualkan pada 1 atau 2 Januari ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Encik Sufa'at Tumin.

Bagaimanapun, keputusan itu akan dibuat oleh para pengarah pendidikan negeri masing-masing berdasarkan kepada maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Bilik Operasi Banjir.

"Kami akan melihat kepada suasananya kerana masih ada seminggu lagi sebelum sekolah bermula. Banjir mungkin surut ketika itu dan sekolah-sekolah boleh bermula seperti dirancang," kata Encik Sufa'at kepada pemberita kelmarin seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Bernama .

Encik Sufa'at berkata langkah-langkah telah diambil bagi memastikan peralatan dan perabot sekolah seperti kerusi, meja dan komputer tidak rosak akibat banjir.

Sekolah-sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan sesinya pada 1 Januari ini, manakala sesi sekolah negeri-negeri lain akan bermula pada 2 Januari.

Tempoh persekolahan dijangka membabitkan 205 hari, termasuk hari cuti awam dan 84 hari cuti sekolah.

Sementara itu, sekitar 425,665 pelajar akan memulakan tahun pertamanya di sekolah rendah manakala 533,135 pelajar akan ke Tingkatan Satu.

Sejumlah 23 sekolah baru akan dibuka, yang terdiri daripada 14 sekolah rendah, lapan sekolah menengah dan satu sekolah sukan di Sabah.

Program Jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-Qaf) akan mula diluaskan kepada 2,053 sekolah yang mempunyai pelajar Islam termasuk di sekolah kebangsaan aliran bahasa Cina dan Tamil.

Bantuan Persekolahan Khas sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah menengah  akan diagihkan mulai 15 Januari hingga 15 Februari ini.

Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan mengagihkan baucar buku bernilai RM250 mulai 1 Januari hingga 31 Mei tahun depan kepada para pelajar prauniversiti dan institusi pengajian tinggi.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Tiada ulasan:

Catat Komen