Khamis, 13 Disember 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : LHDN sudah buktikan cara betul kepimpinan, keprihatinan


Oleh : DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

GAHNYA berita kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi pengutip dana terunggul negara dengan angka baru memecah rekod yang dicipta pada tahun lepas, RM109.6 bilion. Sehingga ke tarikh ini, kutipan yang sudah direkod sudah menjangkau RM115 bilion dan dijangkakan menjangkau ke RM123 bilion dan ia sangat diyakini mampu dicapai.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga nampaknya sangat teruja dengan pencapaian itu sehingga berkongsi banyak pengalaman beliau bersama warga kerja LHDN menceritakan peranan LHDN semenjak dahulu dalam perkembangan ekonomi negara.

Banyak perincian dan peranan penting LHDN yang selama ini tidak begitu ketara sudah pun semakin jelas dan nyata kepada para pembaca yang meneliti butirannya secara ikhlas.

Membaca barisan demi barisan yang tercatat telah mengimbau pengalaman penulis berurusan dengan Lembaga ini yang selalunya menakutkan. Kerana sudah namanya pun 'lembaga' tentunya penampilan yang ditunjukkan selalu menimbulkan kegerunan kepada mereka yang pernah bertemu dengannya.

Aura kemesraan dan semangat membantu pelanggan amat terserlah dalam kalangan pegawai dan kakitangan LHDN dan para pembayar cukai tidak lagi dilayan seperti mana pesalah atau penjenayah. Mereka semua dilayani seperti rakan bestari, teman mencari rezeki dan kemesraan yang amat nyata. Sehingga terpacul sepotong ayat yang sangat molek kita jadikan teladan ketika berurusan dengan khalayak "sedangkan musuh pun mempunyai hak inikan pula pembayar cukai yang menyumbang kepada pembangunan negara" .

Menurut apa yang difahamkan bahawa LHDN berhasrat untuk memecahkan rekod kutipan tahun lepas beberapa kali, kerana bukan sahaja sudah mencapai angka kutipan yang serupa pada tahun ini tetapi sudah melebihinya dengan angka puluhan bilion lagi. Ini memang sangat luar biasa dan diluar jangka.

Lantas, tentu ada yang boleh kita pelajari bagaimana cara dan apa formula yang diguna pakai oleh LHDN sehingga sampai ke tahap ini. Mungkin juga banyak iktibar boleh dijadikan ikutan supaya kejayaan yang sama boleh diukir oleh pihak lain tanpa mengorbankan keselesaan dan kesejahteraan rakyat marhaen negara ini.

Perkara pertama yang paling ketara apabila melihat kepimpinan terkanan yang menerajui LHDN ketika ini dilihat terdiri daripada mereka yang sangat profesional dan prihatin. Ini kerana dalam proses rundingan untuk mencapai keputusan menang-menang dilihat mereka mampu menghayati konsep membantu pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka dan tidak semata-mata menjadi regulator yang hanya mencari kesalahan dan mengenakan tindakan semata-mata.

Pepatah yang diguna pakai amat menarik yakni 'jangan menyembelih angsa yang bertelur emas' kerana apabila ibu angsa mati, tentunya ia tidak berguna lagi.

Amat hebat impaknya jika diteliti pepatah mudah berkenaan dan alangkah indahnya jika institusi kewangan dan perbankan juga sudi mengaplikasikan pepatah ini dalam membantu para pelanggan mereka yang sedang menghadapi masalah. Bukan mencari jalan membuat untung segera dan menolak risiko hingga ke tahap sifar.

Ia bukan slogan semata-mata malah dibuktikan dengan Ketua Pegawai Eksekutif malah seluruh warga kerja LHDN membantu pembayar cukai untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan mengelak malah cuba sedaya upaya tidak menyukarkan proses itu supaya pembayar merasa selesa dan LHDN mampu mencapai sasaran mereka.

Paling menarik apabila pegawai-pegawai tertinggi LHDN mengambil sikap komunikasi dua hala dan tidak hanya mereka sahaja yang benar. Setiap permasalahan yang dikemukakan diberi perhatian khusus meskipun berkaitan perkara yang remeh. Kerana seperti mana yang sedia dimaklumi tidak semua manusia mempunyai tahap intelektualisme yang sama. Sesetengah individu itu sukar memahami malah kadang kala menjengkelkan apabila terpaksa diterangkan secara berulang kali. Namun kesabaran mereka melayan kerenah berkenaan mencerminkan sikap profesionalisme dan kesabaran yang tinggi. Syabas sekali lagi.

Bagaimana agaknya satu revolusi telah berlaku dengan begitu pantas di LHDN setelah begitu lama sunyi selepas generasi Tan Sri Abu Bakar dan Datuk Hassan Ibrahim yang agak popular sebelum ini.

Rupa-rupanya pengurusan baru LHDN telah mengorak langkah dengan pendekatan baru yang sangat radikal tetapi praktikal dengan memperkenalkan perkongsian idea, pemikiran di luar kotak dan penerapan usaha Strategi Lautan Biru bagi melengkapkan transformasi badan pengutip dana utama negara berkenaan supaya roh perubahan bukan sahaja terpamer di atas kertas kerja atau wacana semata-mata tetapi dihayati oleh seluruh warga kerja mereka.

Tidak sia-sia LHDN meletakkan bos baru yang mempunyai gelaran Dr. dipangkal nama itu. Terdapat juga beberapa kepimpinan kanan mempunyai gelaran yang sama dan saling berusaha memperkukuhkan pencapaian LHDN setiap masa dengan pelbagai pendekatan yang sangat kreatif dan berinovasi.

Meskipun kadang-kala ada yang tidak bersetuju bahawa intelektualisme bukan penentu kejayaan tetapi sebenarnya merupakan satu daripada elemen terpenting kerana ilmu umpama suluh di malam kelam. Tentunya, semakin terang suluh semakin terang jalan dan mudah berurusan dan mudah mencari tujuan.

Apa yang menarik hasil daripada pengalaman berurusan dengan LHDN ini adalah pengajaran - tunduk tidak semestinya kalah, undur tidak semestinya rugi. Memang menjadi resam padi makin tunduk makin berisi.

Kalaulah semua jabatan dan agensi kerajaan di negara ini mengamalkan budaya yang serupa tentunya perkhidmatan awam negara kita akan menjadi sebuah tempat yang amat digemari rakyat untuk berurusan dengannya.

Seperti mana peniaga yang bijaksana, pelanggan mestilah diutamakan kerana tanpa pelanggan bagaimana kita mahu menjana keuntungan dan pendapatan. Malahan slogan pelanggan selalunya betul bukannya sekadar hiasan dinding tetapi sepatutnya perlu dihayati makna yang tersirat di sebaliknya.

Lantas, keampuhan modal insan yang dimiliki oleh sesebuah institusi dan organisasi itu perlu sentiasa diberi perhatian. Mereka perlu diasah, digilap dan diberikan peningkatan ilmu supaya mampu melaksanakan amanah yang diberi secara yang lebih kreatif.

Latihan yang berterusan, pendedahan dengan pelbagai pembaharuan serta teknologi tentu sangat membantu. Kerana asas pemodenan adalah memperkenalkan inovasi sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri melalui pelbagai wacana yang diperkenalkan lewat mutakhir kini. Ia mesti disambut segera oleh para pentadbir seluruh jabatan dan agensi kerana kita mahu mencapai tahap negara maju. Semuanya perlu bergerak pantas dengan mekanisme yang tepat serta jitu.

Kejayaan, keprihatinan dan daya kepimpinan yang ada di LHDN memang mengagumkan. Sebagai individu yang bergerak aktif dalam badan bukan kerajaan, penulis tabik kerana jarang berjumpa dengan situasi sebegini baik di pihak swasta - tentu lebih sukar di pihak awam.

Kepada para pemimpin negara dan pembuat dasar, diharapkan juga dapat melihat usaha-usaha LHDN ini sebagai sumbangan besar dan jika mungkin diberikan perhatian wajar supaya mereka turut menerima imbuhan hasil kerja keras yang berterusan. Usaha sihat ini akan menjadi dorongan kepada yang lain untuk sama-sama bersaing dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih baik pada masa hadapan dan tentunya menggembirakan seluruh rakyat negara kita

PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen