Oleh : PROF. DR. AHMAD HIDAYAT BUANG
AKTA atau Undang-undang Halal
yang diuar-uarkan dalam media cetak dan elektronik sebagai mendapat kelulusan
Kabinet dan sebagainya tidaklah semudah sebagaimana yang digambarkan.
Perbincangan yang dianjurkan oleh
Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerlahkan beberapa
masalah dasar yang masih belum dapat diselesaikan.
Cadangan akta ini adalah untuk
menyelaraskan semua peruntukan undang-undang berkaitan urusan halal dan memberi
Jakim kuasa perundangan berkaitan halal terutama dari segi pengeluaran sijil
halal, pemantauan dan penguatkuasaan.
Perkara pokok yang dijelaskan
menghalang pelaksanaan cadangan Akta Halal ini nampaknya masih berkait rapat
dengan persoalan kuasa negeri khususnya dalam perkara agama Islam sebagaimana
yang ditetapkan Perlembagaan.
Memandangkan cadangan Akta Halal
ditafsirkan sebagai perkara yang berkaitan agama Islam maka ia terletak di
bawah bidang kuasa negeri dan oleh itu Parlimen tidak berhak untuk membuat
undang-undang yang berkaitan dengannya.
Hujah untuk menyamakan perkara
halal ini dengan kewangan dan perbankan Islam pun tidak dapat diterima,
memandangkan perkara mengenai perniagaan dan perbankan memang jelas
diperuntukkan dalam Perlembagaan terletak di bawah senarai Persekutuan.
Begitu juga alasan untuk
menyamakan dengan urusan tanah tidak dapat diterima kerana terdapat peruntukan
dalam Perlembagaan yang berkaitan penyelarasan pentadbiran tanah.
Oleh yang demikian mengapa tidak
dibiarkan sahaja urusan halal ini ditangani oleh pihak negeri, tanpa campur
tangan Kerajaan Persekutuan. Mengapa pihak Jakim perlu bersusah payah mahu
mencadangkan satu undang-undang atau akta yang jelas sukar untuk dilaksanakan?
Jikalau dalam perkara-perkara
lain seperti Mahkamah Syariah, perkahwinan, perceraian, wakaf, zakat,
baitulmal, fatwa dan lain-lain boleh diuruskan oleh pihak negeri sebagaimana
biasa mengapa tidak pula urusan halal?
Bahkan mengikut pengamatan
penulis, sudah ada pun peruntukan mengenai makanan halal di dalam undang-undang
negeri terutamanya Enakmen Jenayah Syariah. Daripada segi fatwa pula sudah
banyak pandangan dan nasihat agama dikeluarkan mengenai perkara halal.
Tambahan pula pihak negeri
sendiripun mahu menguruskan perkara halal sebagaimana dengan kewujudan
sijil-sijil halal negeri. Jawapan kepada persoalan ini harus dilihat dari segi
keberkesanan undang-undang.
Sudah banyak rungutan mengenai
urusan pentadbiran agama Islam di Malaysia akibat kepelbagaian dari segi
undang-undang, pentadbiran, proses dan amalan. Sungguhpun perkara ini telah di
atasi namun masih terdapat beberapa perkara yang kerap kali dibangkitkan di
media massa.
Jika dilihat secara kos-efektif
dan keberkesanan pentadbiran sudah tentulah perkara ini adalah lebih baik jika
ditadbir secara bersepadu dan terselaras.
Namun begitu realiti
undang-undang dan institusi yang diwarisi sejak dari dahulu menjadikan urusan
agama itu diuruskan secara tersendiri oleh negeri-negeri. Mungkin ada kebaikan
atau keunikan tertentu di dalam sistem yang diamalkan kini. Itu tidak dapat
dinafikan.
Sungguhpun demikian, akibat
perubahan masa terdapat perbezaan dalam urusan halal ini dengan urusan
keagamaan lain. Jika pada masa dahulu urusan halal dan haram adalah perkara
keperluan persendirian umat Islam, namun kini ia sudah menjadi satu industri, satu
bentuk perniagaan multinasional dan internasional.
Urusannya lebih hampir kepada
industri kewangan Islam. Oleh yang demikian meletakkan urusan halal dalam
situasi masa dahulu mungkin akan menjejas keberkesanan urusannya dari segi
proses, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.
Berbeza dengan urusan agama lain,
urusan halal ini sejak dari dahulu lagi diuruskan oleh Jakim kerana melibatkan
agensi-agensi kerajaan lain terutama dalam perkara import dan eksport. Apatah
lagi untuk melindungi kemaslahatan masyarakat Islam daripada penyelewengan dan
penyalahgunaan logo halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Oleh yang demikian mahu tidak
mahu urusan halal ini perlu ditangani oleh satu pihak di peringkat Pusat,
khususnya apabila melibatkan pihak badan perniagaan yang bersifat merentas
sempadan negeri-negeri dan antarabangsa.
Memang tidak dinafikan bahawa
pada masa kini pihak Jakim bagi pihak Kerajaan Pusat telah diberi tanggungjawab
bagi menguruskan urusan halal seperti pengeluaran sijil dan penguatkuasaan logo
halal. Namun tanggungjawab ini hanya berpunca daripada arahan eksekutif dan
bukan daripada kuasa undang-undang melalui akta tertentu.
Ini kerana urusan produk dan
makanan halal di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti
Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dan pihak kerajaan tempatan.
Kementerian-kementerian dan
jabatan ini mempunyai kuasa melalui akta mereka bagi menjalankan tanggungjawab
dan fungsi masing-masing. Oleh demikian Akta Halal ini boleh memberikan Jakim
kuasa undang-undang yang dikehendakinya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya
dalam urusan halal.
Memang tidak dapat dinafikan
kerjasama yang erat diberikan oleh agensi kerajaan lain kepada Jakim untuk
menjalankan tanggungjawabnya dalam perkara halal.
Sebagai contoh Akta Perihal
Dagangan 2011 yang diluluskan baru-baru ini telah mengiktiraf penggunaan logo
halal Jakim dan Majlis Agama Islam negeri sebagai logo halal yang boleh
dipamerkan oleh badan perniagaan. Begitu juga kakitangan Jakim dilantik sebagai
pegawai penguat kuasa di bawah Akta berkenaan. Namun begitu Akta diletakkan di
bawah KPDNKK.
Perlembagaan Malaysia telah
digubal sejak 50 tahun lalu. Dalam tempoh masa itu kita melihat banyak pindaan
dibuat kepada Perlembagaan.
Tujuan pindaan ini dibuat adalah
bagi menyesuaikan Perlembagaan berkenaan dengan perkembangan semasa. Sebagai
contoh utama ialah pindaan kepada perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia pada
1988 terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes yang
berkaitan dengan undang-undang Islam secara eksklusif.
Kita melihat selepas pindaan ini
Mahkamah Syariah berkembang menjadi institusi agama Islam yang mantap dan
kukuh. Persoalan halal haram dalam kerangka Perlembagaan mungkin sesuai pada
masa dahulu.
Dengan perkembangan perniagaan
dan industri halal pada masa ini kerangka ini mungkin tidak sesuai lagi. Ramai
pihak kurang selesa dengan pendekatan pindaan perlembagaan ini bagi membolehkan
penggubalan Akta Halal kerana melibatkan banyak perkara yang sensitif dan
seterusnya menjadikan usaha yang murni ini sesuatu yang sukar terutama dalam
keadaan politik semasa yang tidak menentu.
Namun begitu didapati banyak
perkara berkaitan kemaslahatan umat Islam di Malaysia pada hari ini nampaknya
bukan dihalang oleh kehendak masyarakat atau rakyat, dan bukan juga oleh
pengaruh politik atau pemerintahan, tetapi halangannya banyak kepada
aspek-aspek kuasa dan teknikal perundangan serta pentadbiran.
Jika dilihat kepada pengalaman
negara-negara Islam lain yang cuba untuk melaksanakan prinsip-prinsip Syariah
dalam pemerintahan dan pentadbiran negara, kegagalan berlaku bukan kerana tiada
kehendak atau peruntukan undang-undang, namun berpunca daripada kekurangan
kepakaran dalam sistem pentadbiran yang menyokong usaha-usaha itu.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan
Syariah dan Undang-undang Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan