Khamis, 10 Januari 2013

ISU BAHASA : 'Pelancongan sastera' perlu digalakkan


Oleh :  Johan Jaaffar
    
Saya membayangkan sekurang-kurangnya pelancong dalam negeri akan singgah di Banggol Derdap, di daerah Sik, Kedah. Apakah istimewanya kampung itu? Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengabadikan tempat kelahirannya dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Ratusan ribu pelajar telah membaca novel itu sebagai buku teks selain ratusan ribu lagi pembaca umum dan peminat sastera. Novel yang ditulis pada tahun 1966 itu mengisahkan kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha serta tujuh orang anak-anak perempuan mereka.

Ranjau Sepanjang Jalan merupakan salah sebuah novel yang paling popular yang berlatar belakangkan negara ini. Banyak lagi novel, cerpen, drama dan sajak yang menggunakan pelbagai bandar dan desa di negara ini sebagai latar belakangnya. Karya-karya ini mencerminkan kehidupan setempat dengan nilai dan keunikannya. Novel-novel awal dalam Bahasa Melayu seperti Iakah Salmah (Ahmad Rashid Talu) dan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (Ahmad Kotot) jelas menggambarkan masyarakat Melayu abad ke-20.

Entah ribuan lagi novel, cerpen, drama dan sajak nukilan Usman Awang, A. Samad Said, Latiff Mohidin, T. Alias Taib, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Baharuddin Zainal, Suhami Haji Muhammad, Adibah Amin, Azizi Haji Abdullah, Ismail Abas, Kalam Hamidi, Bidin Subari, Hatta Azad Khan, Dinsman, Zaen Kasturi, Faisal Tehrani yang mempunyai latar cerita dan sejarah di belakangnya. Di manakah karya-karya ini terhasil, siapakah di belakang mereka dan apakah inspirasi di sebaliknya?

Berlatarbelakangkan sastera

Istilah literary tours atau pelancongan sastera merupakan industri besar di banyak negara. United Kingdom (UK) memanfaatkan sepenuhnya pelancongan cara ini. Menggunakan kemasyhuran karyawan mereka daripada Shakespeare hingga J.K. Rowling (novelis siri Harry Potter), tempat-tempat di mana lahirnya karya tersebut atau tempat bersejarah yang membabitkan karyawan itu sendiri telah dipopularkan. Stratford-upon-Avon, tempat lahir, kematian dan bermulanya karier Shakespeare kini menarik jutaan pelancong. Bandar kecil itu mendapat manfaat daripada kunjungan ini. Pelancongan Shakespeare dipercayai merupakan industri beratus juta ringgit setahun.

Banyak lagi penulis Inggeris yang dijadikan bahan untuk menarik pelancong. Tempat-tempat yang ada kaitannya dengan novelis Jane Austen (karyanya antara lain Pride and Prejudice, Emma dan Persuasion) kini amat dikenal. Demikian juga tempat-tempat yang membabitkan karyawan Charles Dickens, D.H. Lawrence, Thomas Hardy, Agatha Christie, George Orwell, Lord Byron dan ramai lagi.

Filem The French Lieutenants Women arahan Karel Reisz muncul pada tahun 1981, berdasarkan novel John Fowles. Filem ini menggunakan sebuah bandar pelabuhan kecil yang indah bernama Lyme Regis di Dorset, England. Hari ini tempat tersorok yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk ini menjadikan salah satu tarikan pelancongan. Keindahan Lyme Regis telah menjadi inspirasi dan latar belakang oleh karyawan lain seperti Jane Austin, Thomas Hardy dan ramai lagi.

Kita seharusnya menggalakkan industri pelancongan domestik yang berlatar belakangkan sastera. Sekurang-kurangnya ia memberikan pemahaman tentang dunia kreatif tanah air. Sastera adalah cerminan sebenar masyarakat. Ia juga merakamkan nilai dan pandangan dunia manusia yang tercatat di dalamnya. Tidak ada bahan yang lebih tepat menggambarkan psyche dan budaya masyarakat selain karya kreatif yang terhasil.

'Wacana kolonialis'

Pelancongan sastera sama sekali belum berkembang di Asia Tenggara. Sayang sekali, kerana wilayah ini mempunyai demikian banyak karyawan terkenal yang telah mencorakkan landskap seni, budaya dan sastera. Novel Di Bawah Lindungan Kabah karya Hamka terkenal sejak sekian lama. Kisah cinta yang malang itu baru sahaja difilemkan oleh Hanny R. Saputra. Demikian juga novel-novel Indonesia lain yang terkenal seperti Salah Asuhan (Marah Rusli), Layar Terkembang (Sutan Takdir Alisjahbana), Keluarga Gerilya dan Nyanyi Sunyi Seorang Bisu (kedua-duanya karya Pramoedya Ananta Toer) yang mempunyai sejarah unik penulisannya. Banyak penyair terbilang Indonesia dari Amir Hamzah, W.S. Rendra hingga Goenawan Mohamad yang karya mereka lahir dalam suasana yang unik. Singapura tempat lahirnya novel A. Samad Said yang awal seperti Salina dan Sungai Mengalir Lesu, juga novel-novel A. Samad Ismail dan banyak cerpen-cerpennya.

Rantau ini juga dijadikan bahan latar belakang banyak penulis novel Barat seperti Joseph Conrad, Anthony Burgess dan W. Somerset Maugham. Salah sebuah novel Conrad kini diadaptasikan oleh Uwei Haji Shaari sebagai Hanyut. Wacana kolonialis (colonialist discourse) merupakan satu cabang ilmu yang mengkaji perspektif penulis orientalis mengenai orang tempatan.

Banggol Derdap tentulah sudah jauh berbeza daripada desa yang dijadikan latar belakang novel Shahnon pada tahun 50-an itu. Besar kemungkinan kemiskinan tegar yang dihadapi oleh keluarga Lahuma sudah tidak wujud lagi di situ. Sik sebagai daerah sudah membangun. Tetapi Banggol Derdap dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan tetap merupakan sejarah bermakna sebuah kehidupan pada era pembangunan sebuah negara bangsa yang baru merdeka. Itu sahaja menjadi alasan yang baik untuk mengenal Banggol Derdap dari dekat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan