Oleh : S. M. MOHAMED IDRIS
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang
(CAP) amat terkejut dengan satu laporan berita akhbar yang mendedahkan Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang
ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggotanya.
Menurut berita itu lagi, Panglima
Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, bayaran itu
merupakan jumlah yang berjaya dikurangkan hasil perundingan bersama pihak
berkenaan walaupun jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar RM370,000.
Katanya, kegiatan meminjam wang
daripada 'lintah darat' itu melibatkan anggota pelbagai pangkat dan dalam hal
itu, TLDM menggunakan pendekatan penerangan dan ceramah untuk membantu mereka.
CAP berpandangan pihak TLDM tidak
sepatutnya menggunakan wang awam untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah
long yang diambil oleh anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang
tidak baik.
Ini kerana ia akan memberikan
persepsi atau tanggapan dalam kalangan anggota TLDM bahawa adalah tidak salah
untuk meminjam dan berhutang dengan ceti haram atau ah long kerana sekiranya
gagal untuk membayarnya pihak berkuasa akan menyelesaikan hutang itu.
Pendedahan ini juga menunjukkan
bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja melibatkan anggota
TLDM yang mengamalkan dan terjebak dengan budaya meminjam wang dan berhutang
daripada ceti haram dan ah long walaupun sudah lama pihak kami berusaha
mendidik pengguna agar mengelakkan budaya hutang dan boros.
Eloklah kita menginsafi hakikat
bahawa hutang isi rumah di negara ini pada 2010 ialah sebanyak RM577 bilion.
Segenap lapisan masyarakat di negara ini sanggup berhutang bagi memenuhi
tuntutan gaya hidup moden termasuk mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000
sebulan.
Namun hidup mereka akhirnya
semakin merana apabila Jabatan Insolvensi Malaysia terpaksa mengisytiharkan
85,175 daripada mereka sebagai muflis kerana tidak mampu membayar hutang.
Tiga jenis hutang lazimnya dibuat
oleh peminjam yang sesetengahnya mahu hidup bergaya iaitu hutang sewa beli
kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit serta
pinjaman perumahan.
Kegilaan masyarakat negara ini
menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu
menggerunkan apabila maklumat terkini seperti yang tertera di atas. Kegagalan
menguruskan hutang mengakibatkan 85,175 rakyat negara ini menjadi bankrap ketika
usia muda.
Berikut adalah kes muflis di
Malaysia. Sebanyak 85,175 kes dari tahun 2007 hingga Mac 2012.
Sewa beli kenderaan 21,796 kes,
pinjaman peribadi 12,547 kes, pinjaman perumahan 12,098 kes dan pinjaman
perniagaan 9,865 kes (Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia).
Bagi mereka yang sudah pun
terjebak dengan budaya meminjam dan berhutang ini, tidak ada jalan lain kecuali
melunaskan hutang mereka sekiranya tidak mahu menanggung risiko berdepan dengan
pelbagai kerenah ceti haram dan ah long.
Terdapat pelbagai faktor yang
mendorong seseorang itu meminjam atau berhutang antaranya bermain judi tetapi
ada juga yang meminjam dan berhutang kerana hendak hidup mewah atau terpengaruh
dengan gaya hidup orang lain yang lebih mewah daripada mereka.
Inilah masalahnya yang sering
melanda masyarakat kita, kalau tidak mampu untuk memiliki sesuatu dalam hidup
kita ini, usahlah membebankan diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya
menjerat diri sendiri.
Terimalah hakikat kemampuan gaji
dan pendapatan kita serta hiduplah dengan sikap sederhana (terdapat satu hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Tidak akan kekurangan orang yang hidup
sederhana).
Orang yang membelanjakan harta
dengan secara berhemat dan sederhana tidak akan menjurus kepada pemborosan dan
berlebih-lebihan dan sudah tentu tidak akan kekurangan. Satu lagi sikap yang
perlu diamalkan ialah Qanaah iaitu cukuplah dengan apa yang ada, seperti kata
pepatah Melayu ukurlah baju di badan sendiri.
Jangan sekali-kali terpedaya
dengan iklan-iklan yang terpapar di dalam media massa baik media elektronik
atau media cetak terutama sekali pada musim-musim perayaan yang menonjolkan
budaya hidup mewah, boros dan membazir yang semuanya berpaksikan kepada wang.
Dalam masyarakat kita, memang
terdapat mereka yang suka meminjam wang, gemar hidup bergaya lebih daripada
kemampuan serta berbelanja lebih daripada pendapatan, banyak orang kelihatan
hidup senang walaupun pada hakikatnya kesenangan itu berasaskan kepada hutang.
Satu lagi amalan buruk di dalam
masyarakat kita ialah membazir. Kini amalan membazir di dalam masyarakat
nampaknya tidak dibendung malah semakin dibiarkan.
Perilaku membazir ini dapat
dilihat di dalam pelbagai bentuk seperti membazir makanan, aksesori dan hiasan
diri, pembaziran di dalam rumah, membazir di dalam pakaian, hiasan dan perabot
rumah serta pejabat.
Sehubungan itu, CAP menggesa
pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencegah menularnya
budaya meminjam, berhutang, membazir dan boros dalam kalangan rakyat negara
ini.
Pihak berkuasa juga digesa agar
mengawal dan memantau iklan-iklan yang disiarkan di dalam media massa agar tidak
menggalakkan masyarakat ke arah budaya hidup mewah, boros dan membazir.
Masyarakat perlu dididik untuk
mengamalkan cara hidup sederhana, berjimat-cermat, tidak boros dan membazir di
dalam hidup dan menginsafi bahawa masih ada anggota masyarakat yang hidup di
dalam kemiskinan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan