Jumaat, 15 Februari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Meteor Terhempas Di Rusia - Angka Kecederaan Meningkat


MOSCOW : Kira-kira 1,000 orang dilaporkan cedera apabila meteor dari angkasa terhempas di bandar Chelyabinsk, Ural, Rusia pagi Jumaat, waktu tempatan.

Angka terkini kecederaan disahkan Jabatan Kesihatan Chelyabinsk yang turut mengesahkan kecederaan melibatkan 200 kanak-kanak.

Kebanyakan mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca yang pecah akibat letupan yang mengakibatkan bola api yang terhempas di bangunan dan kawasan perumahan.

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.

Meteor yang dilaporkan terhempas membentuk lubang bulat di kawasan ais dan bersalji berhampiran tasik di Chelyabinsk kira-kira 1,500 kilometer dari timur Moscow.

Itar-Tass, agensi berita rasmi melaporkan cahaya terang berwarna putih kelihatan di langit untuk beberapa saat diikuti bunyi letupan yang sangat kuat.

Dilaporkan bahawa letupan berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.

Letupan mengejutkan itu menyebabkan trafik dan komunikasi mudah alih tergendala.

“Pada pukul 9.20 pagi (waktu Rusia), sebuah objek dilihat di atas Chelyabinsk. Objek tersebut terbang dengan kelajuan yang tinggi dan meninggalkan kepulan asap di belakangnya. Dalam masa dua minit, terdapat dua letupan,” kata pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini.

“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya.

Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island.

Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah musnah.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/


Nota Hujung : Tahi Bintang (Meteor)

* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk ke atmosfera bumi
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer sejam
* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya melepasi atmosfera bumi lima hingga 10 kali setahun
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku setiap lima tahun
* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670 (RM2,010) satu gram
* Tahi bintang bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu
* 20,000 petugas kecemasan ditempatkan di kawasan kejadian untuk membantu penduduk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan